VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 24/01/2002

Kayu jelutung istimewa untuk hutan komersial

Sains
Jangan ditebang sembarangan pokok-pokok hutan yang tumbuh melata di pinggir kampung atau dusun buah-buahan!

Demikian nasihat Dr. K. Baskaran, salah seorang yang turut bertanggungjawab menjayakan dasar pengurusan hutan secara mapan dan menggalakkan pembukaan lebih banyak ladang hutan sebagai imbuh-ganti kepada kemerosotan hasil hutan asli.

Selaku Pengarah Perladangan Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Baskaran berkata, ada di antara pokok-pokok liar itu kini terbukti mempunyai nilai komersial yang tinggi serta mampu membantu memperkayakan khazanah rimba belantara negara, termasuk pokok jelutung (Dyera costulata) dan sesenduk (Endospermum diadenum).

Walaupun nilai pasarannya tidaklah setinggi kayu cengal, jati atau meranti, tidak banyak di kalangan kita yang mengetahui bahawa kayu jelutung umpamanya, turut memainkan peranan besar dalam perkembangan tamadun manusia sejagat amnya dan rakyat Malaysia khasnya dalam bentuk pemindahan ilmu serta turut menyumbang kepada pertukaran wang asing.

Menurut Dr. Baskaran, ketika artikel ini sedang dibaca, ratusan ribu rakyat Malaysia dan beberapa buah negara lain di Eropah, Australia dan Asia termasuk Jepun dan Thailand, khususnya anak-anak sekolah, sedang memegang pensel yang diperbuat daripada kayu jelutung yang dibalak di hutan negara.

Pensel itu dihasilkan oleh sebuah syarikat pengeluar alat tulis terkemuka iaitu Staedtler (Malaysia) Berhad.

Pengarah Urusan syarikat itu Manfred K. Lewandrowski berkata, kayu jelutung mempunyai kualiti yang setaraf, kalau tidak lebih baik, daripada kayu cedar Amerika Syarikat yang juga digunakan untuk membuat pensel.

Menurutnya, 25 peratus daripada lebih 100 juta unit pensel yang dikeluarkan oleh kilang di Johor Bahru yang dibuka sejak 1967, dan sebahagian kepingan papan pensel di kilangnya di Temerloh yang mula beroperasi pada 1995, untuk dieksport.

Staedtler kini menggunakan kira-kira 6,000 tan kayu jelutung setiap tahun bagi operasi kedua-dua kilang berkenaan.

Timbalan Pengarah Perhutanan Pahang, Wan Yusoff Wan Ahmad pula berkata, selain untuk kegunaan membuat pensel, kayu jelutung juga digunakan secara meluas untuk membuat pelbagai barangan termasuk perabot yang tidak memerlukan daya ketahanan tinggi, bingkai gambar, kotak mancis, papan lukis, siling dan terompah.

Sebelum diguna untuk membuat pensel, pokok jelutung yang hanya membiak di hutan Sumatera, Borneo dan Semenanjung Malaysia (kecuali Perlis dan Langkawi) terkenal sebagai penghasil getah untuk bahan asas gula-gula getah atau chewing gum.

Bagaimanapun, permintaan terhadap getah jelutung untuk tujuan itu mula menurun sejak tahun 1930. Selepas itu permintaan terhadapnya meningkat sedikit untuk beberapa ketika bagi dijadikan bahan asas makanan kunyahan (masticatory) sebagai ganti kepada gula-gula getah taban (gutta-gum).

Penemuan kegunaan komersial yang lain selepas itu menyebabkan permintaan terhadap kayu jelutung semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Jumlah pengeluaran pensel Staedtler daripada hanya 7.2 juta batang pada 1967 kepada lebih 100 juta batang sekarang menjadi bukti kepada peningkatan itu.

Malangnya, seperti pokok-pokok balak spesies lain, permintaan melambung itu serta pembalakan melulu dan pembukaan besar-besaran rancangan kemajuan tanah telah menyebabkan populasi pokok jelutung di hutan asli negara ini kini semakin merosot.

Menurut perangkaan Jabatan Perhutanan, kadar pengeluaran kayu jelutung daripada hutan Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah. Johor, Negeri Sembilan dan Selangor merosot daripada 27,026 meter padu pada tahun 1999 kepada 26,874 meter padu pada tahun 2000.

Semua pihak kini akur bahawa langkah sewajarnya perlu diambil segera dengan mengambil kira permintaan yang kian meningkat terhadap kayu jelutung serta kayu-kayu tropikal yang lain, selain keperluan pengekalan keluasan tanah berhutan untuk tujuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

Langkah yang dikira paling berkesan ke arah itu ialah penanaman semula pokok jelutung dan pokok-pokok lain secara perladangan. Dalam hubungan itu, FRIM, Jabatan Perhutanan Pahang dan Staedtler telah mengambil inisiatif bagi membuka sebuah ladang jelutung percubaan seluas 20 hektar di Hutan Simpan Kemasul, kira-kira 20 kilometer dari Temerloh.

Dr. Baskaran berkata, pada peringkat percubaan selama lima tahun itu, sebanyak 6,000 anak jelutung mula ditanam pada Mac tahun lepas di kawasan terbuka seluas 10 hektar dan 2,000 lagi di kawasan yang masih mempunyai pelbagai jenis tumbuhan tetapi kayu-kayu bermutu tinggi di dalamnya sudah habis dibalak.

Turut disulami di antara anak-anak pokok jelutung itu ialah anak pokok sesendut yang menurut kajian FRIM juga sesuai untuk dibuat pensel dan beberapa barangan lain.

Dr. Baskaran berkata, ladang percubaan itu penting kerana ia akan menjadi asas panduan kepada FRIM, Jabatan Perhutanan, pihak swasta dan pengusaha persendirian yang berminat untuk menanam jelutung secara perladangan atau dijadikan tanaman mengayakan hutan.

Menurutnya, pokok jelutung tergolong sebagai spesies cepat membesar dan mencapai tahap kematangan pada umur 20 hingga 25 tahun. Pokok jelutung berusia 20 tahun boleh mencapai garis pusat 30 cm dan sudah sesuai untuk pembuatan pensel.

Wan Yusoff berkata, potensi penanaman jelutung amat cerah kerana harganya di Semenanjung Malaysia terus meningkat dari setahun ke setahun. Umpamanya, pada tahun 1999 harga purata balaknya ialah RM560 semeter padu tetapi pada tahun 2000 ia telah meningkat kepada RM620.

Bagi kayu papan jelutung pula, harganya meningkat daripada RM959 semeter padu pada 1999 kepada RM1,050 pada tahun 2000. - Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.