VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 13/01/2002

Novel, majalah bantu pengajaran BM

MAJALAH Dewan Bahasa antara rujukan terbaik terbitan DBP.


Oleh: DR. OTHMAN PUTEH
KOMPONEN sastera dan majalah adalah bahan pengajaran dan pembelajaran yang relevan, signifikan dan efektif dalam pendidikan. Malah, kedua-dua bahan tersebut saling melengkapi dan berfungsi kepada individu, khususnya pelajar untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu baik dalam pertuturan mahupun tulisan.

Bagi merealisasikan keberkesanan pendidikan dalam bidang ini, maka buku-buku teks Komponen Sastera dan majalah yang berwibawa serta bermutu seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Budaya dan Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran itu.

Komponen Sastera (Komsas) wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak Mac 2000 untuk pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat, diuji pelaksanaannya di kalangan pelajar tingkatan lima (SPM) November 2001 dan akan diuji di peringkat tingkatan tiga (PMR) pada 2002.

Sementara pelaksanaan ujian sepenuhnya termasuk kertas Bahasa Malaysia Julai hanya bermula pada 2003. Teks wajib Komsas seperti jadual 1.

DBP menerbitkan satu Siri Penghayatan Sastera Sekolah Menengah (SPSSM). Ini termasuklah Penghayatan Novel Aku Anak Timur oleh Mahaya Mohd. Yassin, Penghayatan Novel Bukit Kepong dan Penghayatan Novel Terminal Tiga ulasan oleh Rozaini Yahya, Penghayatan Novel Meniti Kaca oleh Amin Minhad dan Penghayatan Novel Pasir Salak oleh Napisah Muhammad.

SPSSM ini disediakan bagi membantu para pelajar menghayati dan memahami aspek-aspek luaran dan dalaman setiap teks wajib. Di samping itu pada bab pertama setiap buku kajian tersebut diberikan gambaran tentang perkembangan novel tanah air untuk makluman dan pengetahuan para pelajar. Ini diyakini dapat membantu pelajar mengetahui sejarah perkembangan novel remaja dan umum sejak 20-an sehingga akhir dekad 1990-an.

Majalah seperti surat khabar juga merupakan produksi media cetak yang dapat dimanfaatkan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Melayu secara efektif.

Namun, sebagai wahana pengajaran dan pembelajaran ia bergantung kepada kebijaksanaan pendidik memilih muatan isi yang sesuai, kepersisannya dengan situasi, lokasi dan variasi di samping pemilihan atau penggunaan kaedah yang tepat.

Sesungguhnya majalah berfungsi sebagai alat komunikasi. Ia terlibat dalam proses penyampaian dan penerimaan.

Lazimnya, isi muatan majalah mempunyai variasi, pola, klasifikasi atau kategorinya seperti rencana, wawancara, naratif, puisi, syarahan, pendapat, perbahasan, peribahasa, ceramah, laporan, esei, perbincangan, iklan, komik dan berita. Menjadi tanggungjawab pendidik untuk memilih bahan-bahan yang sesuai. Ini boleh diperoleh dalam majalah terbitan DBP seperti Dewan Siswa, Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Pelita Bahasa.

Bahan-bahan di dalam majalah tersebut mungkin berupa idea, gagasan, saranan, perutusan atau maklumat. Sementara keberkesanannya bergantung kepada kefahaman pendidikan terhadap sesuatu pola tulisan yang dikaitkan dengan penulisnya. Contohnya, majalah bulanan Pelita Bahasa sejak Julai 2000 telah menyediakan ruangan sastera dalam bahasa Melayu dengan fokus dan rujukan kepada teks Komponen Sastera.

Sementara, majalah Dewan Siswa menyediakan ulasan atau kritikan cerpen dan puisi karya pelajar-pelajar oleh para sarjana. Di samping itu majalah Dewan Sastera menyediakan sisipan Mekar dengan memberikan ulasan terhadap teks sastera elektif SPM dan STPM.

Transformasi dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berlangsung dengan amat pesat dan kencang. Justeru, kaedah pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran, termasuk Bahasa Melayu, perlu seiring malah saling melengkapi dalam perkembangan dalam jagat ini. Hal ini menjadi afdal justeru pendidikan Bahasa Melayu sewajarnya menyeronokkan.

Dalam usaha merealisasikan keberkesanannya, guru Bahasa Melayu perlulah sensitif dengan segala transformasi dan perkembangan, bersikap positif, kreatif dan berupaya menyepadukan multiilmu dengan menerapkan multikaedah, strategi, teknik dan aktiviti.

Malah, dalam aspek tertentu ia perlu dieksploit agar pelajar sentiasa terdedah, tercabar dan tergugat untuk membaca, menghayat, menafsirkan pelbagai bahan majalah pilihan, disediakan atau disarankan.

Antara kaedah, strategi, teknik dan aktiviti yang relevan ialah sumbang saran, interaktif, forum, pantomim, peta cerita, teater cerita, imlak, piramid cerita, kerusi panas, mestamu, tangga berita, main peranan, kuiz dan tablo.

Ini haruslah dilaksanakan secara bersepadu dengan Kemahiran Berfikir dan Kemahiran Kreatif atau KBKK. Guru Bahasa Melayu harus sentiasa peka, prihatin dan berupaya memanfaat dan mengeksploitasi teknologi maklumat dan komunikasi sebagai wahana kontemporari dalam proses membudayakan bahasa Melayu melalui ilmu, penulisan, komunikasi, penyelidikan dan kreativiti dengan menggunakan majalah sebagai bahan pengajaran & pembelajaran Bahasa Melayu.

Kejayaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu banyak bergantung usaha, pengorbanan dan bakti semua pihak serta merentasi pelbagai batasan atau status agar ia menjadi lebih efektif untuk mempertingkat dan mengukuhkan keterampilan berbahasa.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.