VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 06/01/2002

Cita rasa pelanggan rahsia kejayaan - Bibi Safura

BIBI Safura melayani pelanggan-pelanggan.


Oleh NOR ZAINAH NORDIN
BIDANG jualan runcit tidak terhad kepada menjual barangan keperluan harian atau rumah, malah terbuka luas kepada barangan lain termasuk intan permata dan barang kemas.

Sementelah, barang kemas terutama yang diperbuat daripada emas, perak dan platinum yang dihiasi dengan batu permata bermutu tinggi memang menjadi idaman kaum wanita, khususnya orang Melayu.

Walaupun begitu, tidak ramai kaum wanita bumiputera yang berani menceburi perniagaan menjual barang kemas secara serius.

Namun, bagi Bibi Safura Ghulam Hyder, 37, pembabitannya dalam perniagaan barang kemas yang banyak dipelopori oleh kaum lain di bandar raya Ipoh, Perak, mengundang banyak cabaran.

Melihat kepada corak persaingan dan cara kaum lain berniaga, sudah cukup untuk membuatkan hatinya ``seram'' memikirkan cabaran yang bakal dihadapinya.

Dorongan suami dan pengalaman menjual emas permata secara langsung kepada rakan-rakan rapat, memberikan satu kekuatan untuk beliau meneruskan kelangsungan dalam perniagaannya.

Ketika ditemui di kedai emas miliknya di Gunung Rapat, Ipoh, Bibi Safura berkata, pemilihan Ipoh sebagai tapak perniagaannya tidak disengajakan.

Ini kerana, katanya, rancangan awal ialah membuka kedai di tempat kelahirannya di Alor Setar, Kedah atau Seremban, Negeri Sembilan.

``Memandangkan di Alor Setar banyak kedai emas Melayu yang sudah terkemuka, suami saya mencadangkan agar kedai emas dibuka di tempat asalnya iaitu di Ipoh.

``Sedangkan saya lebih suka berniaga di Seremban sebab kami telah lama tinggal di situ dan sudah ada pelanggan tetap yang sebelum ini membeli secara langsung.

``Tapi, mungkin rezeki kami ada di sini (Ipoh) maka pada tahun 1997, terdirilah Kedai Emas Safura di Gunung Rapat,'' katanya.

Menurut Bibi Safura, pada ketika itu, tidak ada kedai emas Melayu di bandar raya itu dan Kedai Emas Safura merupakan satu-satunya yang dimiliki dan dijalankan oleh wanita Melayu.

Katanya, kedai-kedai emas berhampiran mula mengadakan perang harga apabila ramai pelanggan Melayu beralih ke kedai beliau.

Bagaimanapun, katanya, khidmat dan harga berpatutan yang diberikan kepada pelanggan membuatkan Kedai Emas Safura terus bertahan dan maju dari setahun ke setahun.

``Saya mementingkan cita rasa pelanggan yang mahu barang kemas yang berkualiti dan cantik serta harga yang berpatutan,'' katanya.

Bibi Safura menegaskan, memandangkan barang kemas yang diambil dari kilang tidak boleh dipulangkan, beliau perlu berhati-hati dan peka dengan perubahan rekaan semasa dan kesukaan pelanggan.

Katanya, dia juga tidak menolak untuk mengambil tempahan pelanggan yang menggunakan rekaan sendiri, selain menyediakan perkhidmatan membaiki dan membaik pulih barang kemas yang rosak.

``Pelanggan yang pelbagai mempunyai banyak ragamnya dan ada yang cerewet. Tetapi sebagai tuan kedai dan peniaga, kita perlu memberi khidmat dengan sebaik-baiknya.

``Yang penting kita mesti jaga budi bahasa, muka perlu manis walaupun hati tengah marah. Sifat jujur, amanah dan ikhlas juga dipertahankan kerana sekali kita mungkir janji, pelanggan akan ingat sampai bila-bila,'' ujarnya.

Menurut Bibi Safura, pelanggan tetapnya memainkan peranan besar dalam perkembangan perniagaan beliau.

Katanya, promosi percuma dari mulut ke mulut oleh pelanggannya yang menceritakan barang kemas yang dibeli di kedainya merupakan satu rahmat kepada beliau.

Sebab itu, katanya, beliau dan suami sanggup ke rumah pelanggan untuk menghantar pesanan mereka walaupun pada waktu malam dan hari cuti.

Berikutan potensi bidang jualan barang kemas, Bibi Safura sedih dengan keadaan semasa yang melihat ramai kaum lain yang mempelopori bidang itu sedangkan wanita Melayu hanya pandai membeli.

Katanya, orang Melayu harus mengambil kesempatan itu untuk menceburi dan menguasai bidang perniagaan yang amat sebati dengan diri mereka, seperti mana orang Kedah dan Kelantan menguasai perniagaan emas di

negeri mereka.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.