VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 11/11/2001

Punca kemurungan remaja

Remaja terlibat dengan aktiviti tidak sihat akibat menderita masalah kemurungan.


Oleh Najibah Hassan
KES
AZMAN Ali (bukan nama sebenar) ialah seorang pelajar tingkatan tiga. Dia merupakan pelajar yang bijak, aktif dan mempunyai ramai kawan di sekolah.

Di kalangan rakan-rakan Azman terkenal sebagai seorang pelajar periang dan tidak pernah menghadapi masalah dalam pembelajarannya.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini prestasi pelajaran Azman agak merosot berbanding keputusan ujian-ujian sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, dia juga sering dimarahi oleh guru ekoran kegagalannya menyiapkan kerja-kerja rumah.

Di sekolah, Azman tidak dapat memberi tumpuan penuh pada pelajaran, suka menyendiri dan seolah-olah tidak mengetahui apa yang berlaku di kelilingnya.

Anak kedua daripada enam beradik ini juga sering mengadu bahawa dia tidak dapat tidur, sakit kepala, keletihan, tiada selera makan, tidak dapat memberi tumpuan pada pelajaran dan tidak berminat melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dialami oleh Azman, kedua ibu bapanya dipanggil ke sekolah oleh guru.

Malang sekali, Azman telah dimarahi oleh bapanya di hadapan rakan-rakan.

Ekoran kecewa dan perasaannya yang semakin tertekan, Azman terdorong membeli ubat tidur dengan niat untuk membunuh diri.

Bagaimanapun, salah seorang daripada rakan rapatnya menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada diri Azman.

Kawan itu memberitahu ibu dan bapa Azman. Keluarga Azman telah berjumpa dengan guru di sekolah dan menjelaskan bahawa Azman tidak pernah menunjukkan sikap seperti itu sebelum ini.

Dengan inisiatif gurunya, Azman dibawa berjumpa pakar psikiatri.

Selepas mendapat rawatan, doktor mendapati Azman sebenarnya mengalami gejala awal kemurungan kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam keluarganya.

Azman begitu hampa terhadap bapanya yang selama ini dianggap sebagai idola.

Kekecewaan Azman memuncak berikutan tindakan bapa yang meninggalkan ibunya dan kemudian berkahwin dengan wanita lain.

Dalam sesi perbincangan bersamanya, Azman menyuarakan luahan hatinya.

Katanya, tindakan bapa mengahwini wanita lain adalah sesuatu yang `memalukan' kerana bapanya adalah seorang individu yang begitu dihormati pada mata masyarakat.

Setelah mendapat rawatan selama dua bulan, Azman akhirnya menunjukkan perubahan sikap yang ketara.

Dia juga dapat tidur dengan nyenyak, berselera dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran seperti biasa.

PENYAKIT sering ditakrifkan oleh sebahagian besar daripada kita sebagai sesuatu yang hanya dapat dilihat dengan mata kasar.

Namun, hakikatnya penyakit merangkumi sama ada ia dapat dilihat dengan mata mahupun sebaliknya.

Gangguan mental seperti kemurungan sehingga hari ini masih sukar diterima oleh masyarakat sebagai salah satu daripada jenis penyakit meskipun mereka yang menghidapnya lebih ramai berbanding penyakit yang dapat dilihat secara fizikal.

Apa yang menyedihkan ialah mereka yang menghadapi masalah gangguan mental seperti kemurungan ini menderita dalam diam.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar M. Zain berkata, manusia di setiap peringkat umur sebenarnya terdedah kepada masalah kemurungan.

Menurut beliau, selain orang dewasa yang sering dikaitkan dengan kemurungan, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah ini.

``Jika sepuluh tahun yang lalu trend kemurungan lebih banyak dihidapi oleh orang dewasa yang berumur 45 tahun ke atas, trend itu telah berubah,'' katanya.

Trend kemurungan di kalangan remaja sekarang dikatakan hampir sama dengan orang dewasa apabila mereka juga semakin terdedah kepada teknik-teknik membunuh diri apabila berdepan dengan masalah.

Hasil kajian mendapati lima peratus golongan remaja di Barat dikatakan menghadapi masalah gangguan emosi termasuk kemurungan yang serius.

``Daripada jumlah itu, tiga peratus mengalami gangguan emosi yang berterusan kerana sentiasa berasa tertekan dan tidak gembira tetapi mereka tidak mengambil keputusan untuk membunuh diri,'' katanya.

Kemurungan boleh dihidapi oleh sesiapa saja tanpa mengenal usia.

``Dalam peringkat perubahan hormon seperti remaja, golongan ini amat mudah terdedah kepada masalah kemurungan,'' katanya.

Berdasarkan kepada kes-kes remaja yang dirujuk, 15 peratus daripadanya adalah kes-kes kemurungan.

Dr. Azhar memberitahu, berdasarkan statistik kes-kes tersebut, ia didapati lebih banyak berlaku di bandar-bandar jika dibandingkan dengan luar bandar.

``Di luar bandar sistem sosial di sana lebih baik berbanding di bandar kerana jiran atau sanak saudara turut memainkan peranan dalam perkembangan hidup generasi muda.

``Malah, ikatan kekeluargaan mereka amat rapat kerana saudara-mara tinggal berhampiran,'' ujarnya.

Kemurungan diertikan sebagai satu keadaan di mana seseorang mengalami perasaan atau emosi rendah yang berterusan selama dua minggu berturut-turut.

Walaupun pesakit sedar keadaan mood mereka tetapi apa yang berlaku adalah di luar kawalan mereka.

Masalah ini disebabkan oleh gangguan bahan kimia yang terdapat dalam otak (neuro transmitter).

Berbeza dengan kesedihan, mereka yang mengalami kemurungan bukanlah bermakna pesakit dalam keadaan yang sedih.

Sebaliknya, mereka sebenarnya mempunyai perasaan yang normal cuma ia disulami perasaan kecewa.

Menurut Dr. Azhar, oleh kerana kemurungan tidak diterima sebagai salah satu daripada jenis-jenis penyakit, maka mereka yang menghidapnya terpaksa berdepan dengan stigma masyarakat.

``Stigma yang dibentuk oleh masyarakat ini menyebabkan mereka yang berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mengubati kemurungan berasa malu kerana menjadi bahan ejekan,'' ujarnya.

Seperti juga penyakit-penyakit biasa seperti demam atau selesema, kemurungan boleh dirawat.

Kemurungan bukan disebabkan oleh personaliti atau sikap yang tidak baik.

Gejala
- Somatik. Mereka yang menghidapnya mengakui tidak dalam keadaan yang murung tetapi mengadu sakit kepala, cepat marah, tegang dan letih

- Kurang tumpuan

- Daya ingatan dan prestasi semakin menurun

- Hilang keinginan untuk bersosial yang mengakibatkan guru-guru tidak memahami masalah mereka.

Ramai di kalangan guru beranggapan bahawa pelajar yang kemurungan tidak pandai atau malas belajar.

Bagaimanapun, mereka yang mengalami kemurungan ini tidak bertindak ganas pada orang lain. Mereka hanya membenci diri sendiri.

Pada masa yang sama, kemurungan mengakibatkan mereka enggan makan mengikut jadual yang sepatutnya.

Lama-kelamaan, keadaan yang berterusan ini menyebabkan sistem pertahanan diri mereka semakin menurun sekali gus mendedahkan mereka kepada jangkitan virus atau penyakit-penyakit fizikal.

Ini termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru seperti pneumonia dan hepatitis.

Punca
- Genetik

- Tekanan sosial. Tekanan sosial seperti kehilangan insan atau sesuatu yang disayangi, penceraian ibu bapa dan kegagalan dalam peperiksaan antara faktor yang boleh mencetuskan kemurungan.

Selain itu, tekanan di sekolah atau tekanan rakan sebaya turut menjadi faktor penyumbang kepada wujudnya tekanan.

Kebanyakan remaja yang mengalami kemurungan mempunyai latar belakang ibu bapa yang tidak begitu prihatin dan mengambil berat hal anak-anak.

Kesan kemurungan
Remaja yang menderita kerana masalah kemurungan boleh terbabit dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti:

- Minum minuman keras

- Menghisap rokok

- Penyalahgunaan dadah.

Rawatan
- Ubat-ubatan yang sesuai

- Psikoterapi bergantung kepada kes. Secara purata pesakit mengambil masa selama tiga bulan untuk sesi ini.

Melalui kaedah ini, pesakit akan meluahkan perasaan dan masalah yang mereka hadapi.

Berdasarkan luahan perasaan pesakit, pakar psikoterapi menemui konflik yang dialami oleh pesakit.

Remaja yang mengalami kemurungan dapat dipulihkan 100 peratus kerana personaliti diri yang negatif belum terbentuk dalam diri mereka.

Justeru, mereka bukan saja boleh dibantu, malah dapat dibimbing membentuk personaliti yang sesuai dan bersikap lebih realistik terhadap kehidupan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.