VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 09/11/2001

Dakwah tugas semua pihak

Rencana Pilihan
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
(norza@tm.net.my)
Allah s.w.t menegaskan bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang Dia redhai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah itu ialah agama Islam, (al-Imran, ayat 19).

Malah Islam juga merupakan agama setiap rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia, bermula dari Adam a.s. hinggalah Rasulullah s.a.w. Justeru, menjadi kewajipan semua utusan Allah itu menyeru manusia kepada akidah yang benar, ibadat yang sahih dan akhlak yang luhur.

Biarpun ajaran dan hukum antara seorang rasul dengan rasul yang lain berbeza, namun perbezaan ajaran itu hanya dari segi syariatnya sahaja, selaras dengan perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah s.a.w. diutus sebagai Nabi akhir zaman, agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w ini telah menjadi akidah, syariat dan ikutan yang sempurna serta lengkap untuk seluruh umat manusia.

Dari sini, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa. Islam tidak terbatas kepada satu umat atau satu kabilah sahaja, lebih-lebih lagi Rasulullah s.a.w. tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga `Ajam (bukan Arab). Baginda merupakan Nabi dan Rasul kepada manusia dan jin.

Perutusan Muhamad s.a.w. yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul-rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa. Firman Allah s.w.t pada ayat 107, surah al-Anbia' (maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah adalah antara kewajipan umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Perintah supaya berdakwah banyak terdapat dalam ayat-ayat suci al-Quran dan juga himpunan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Antaranya, firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nahl, ayat 125 (maksudnya): Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.

Firman-Nya lagi (maksudnya): Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata; Sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman. (Surah Fussilat, ayat 33).

Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulb menjelaskan, ayat-ayat tersebut menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Kewajipan berdakwah telah dijelaskan oleh al-Quran dan sunah dan ia merupakan satu kewajipan yang amat besar lagi getir, menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam.

Menyedari kepentingan berdakwah, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran menegaskan bahawa tugas itu adalah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya kerana seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila sesebuah masyarakat itu berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka ia telah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya jika lalai, ia sebenarnya menempah `tiket' kesengsaraan dan penyesalan yang tiada penghujungnya.

Perlu diketahui bahawa tugas berdakwah adalah salah satu sifat yang wajib para nabi dan rasul . Ia juga antara perkara yang diperintah dan diwasiatkan oleh Allah s.w.t. kepada rasul-rasul-Nya.

Perintah itu kemudiannya telah diwarisi dan diikuti oleh para ulama yang ikhlas, para pemerintah dan orang-orang soleh. Sebab itulah, golongan ulama tersebut akan wujud secara berterusan menyeru manusia kepada jalan Allah dan mentaati-Nya dengan perkataan mahupun perbuatan pada setiap zaman.

Sementara itu, golongan Muktazilah berpendapat, tugas dakwah dan menyeru manusia kepada Allah adalah `fardu ain' ke atas setiap individu Muslim. Sebaliknya, Ahli Sunnah wal Jamaah pula berpendapat, ia hanya fardu kifayah ke atas orang yang berkemampuan iaitu golongan ulama yang berwibawa dengan ilmu, pengalaman dan pengaruh mereka yang kuat di dalam masyarakat.

Persoalannya, apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi? Hakikatnya, ia tidak menghalang orang ramai daripada berdakwah, malah sesiapa sahaja daripada umat Islam, tidak kira kedudukan dan pangkat, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu juga, maka (ubahlah) dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.

Ini bermakna, kewajipan berdakwah sebenarnya terletak atas bahu setiap Muslim daripada pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kepada kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Misalnya, seorang pemimpin bertanggungjawab menyeru rakyatnya agar bekerjasama dalam memelihara keluhuran agama, keharmonian masyarakat dan kestabilan negara daripada sebarang pencerobohan musuh yang cuba menghancurkan umat Islam.

Oleh itu, setiap individu Muslim seharusnya insaf dan menyedari peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam memikul amanah dakwah agar ia dapat disampaikan kepada umat lain dan seterusnya dapat menyaksikan Islam dapat mentadbirkan bumi Allah ini dengan penuh keadilan. Kecuaian melaksanakan amanah dakwah Islam tersebut hanya mengundang kemurkaan Allah dan akhirnya umat Islam sendiri akan menerima akibat dan kesengsaraan yang tiada penghujungnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.