VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
EKONOMI

ARKIB : 15/09/2001

Perbankan Islam - Konsep dan produk

(Siri Kedua)
SISTEM perbankan Islam mempunyai fungsi-fungsi perbankan yang sama seperti sistem perbankan konvensional. Walau bagaimanapun, ia perlu mematuhi hukum-hukum Syariah yang telah ditetapkan. Syariah merupakan satu hukum kanun, iaitu undang-undang dan norma-norma yang berlandaskan dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-Sunah (cara hidup Nabi Muhammad s.a.w).

Sehubungan itu, prinsip-prinsip asas yang menjadi teras yang diterimapakai di dalam urus niaga Islam adalah pengharaman riba dan juga perkongsian untung dan rugi di antara pihak bank dan para pelanggan.

Terdapat pelbagai konsep boleh digunakan di dalam sistem kewangan Islam. Walau bagaimanapun, empat konsep utama yang sering digunakan iaitu:

Mudharabah (perkongsian keuntungan): Satu perjanjian yang dimeterikan antara pemodal dan pengusaha di mana pemodal bersetuju untuk membiayai projek yang akan diusahakan oleh pengusaha dan berkongsi untung mengikut nisbah pembahagian yang dipersetujui bersama terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, kerugian hanya akan ditanggung oleh pemodal sahaja.

Murabahah (pertambahan kos): Jualan barang dengan harga yang meliputi kos belian dan kadar untung yang disetujui oleh kedua-dua pihak. Jenis kontrak jualan ini adalah sah sekiranya harga jualan, lain-lain kos dan kadar keuntungan penjual telah termaktub sewaktu perjanjian jualan.

Musyarakah (usaha sama): Perkongsian atau usaha sama dalam menjalankan sesuatu perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan, di mana keuntungan akan dibahagikan mengikut perjanjian yang telah ditandatangani oleh rakan-rakan kongsi. Jika berlaku sebarang kerugian, kesemua pihak yang terlibat akan menanggung kerugian tersebut mengikut pembahagian penyertaan.

Wadiah Yad Dhamanah (Simpanan dengan jaminan): Barangan atau deposit yang disimpan di dalam jagaan bukan pemiliknya, bagi tujuan jaminan keselamatan. Penyimpan tidak berhak ke atas perkongsian keuntungan tetapi penerima simpanan dibenarkan memberi pulangan sebagai tanda penghargaan.

Di samping itu, terdapat juga konsep-konsep perniagaan Islam yang lain seperti:

Bai Bithaman Ajil (jualan dengan harga tertangguh).

Penjualan barangan dengan bayaran tertangguh pada harga jualan yang ditetapkan dengan kadar keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Bai al-Dayn (jual beli hutang).

Jual beli hutang kepada pihak lain. Hanya dokumen-dokumen yang membuktikan hutang yang wujud secara sabit melalui aktiviti perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh untuk diurusniagakan.

Al-Ijarah Thumma Al-Bai (pajakan diikuti dengan jual beli).

Dua kontrak yang terlibat adalah seperti berikut :

i. Kontrak Al-Ijarah (sewaan); dan

ii.Kontrak Al-Bai (jual beli)

Di dalam kontrak yang pertama, penyewa menyewa sesuatu barang daripada pemilik untuk satu jangka masa yang telah dipersetujui bersama dan kedua-dua pihak berjanji untuk membuat urusniaga jual beli selepas tempoh sewaan tamat. Apabila tempoh sewaan itu tamat, penyewa membuat kontrak yang kedua untuk membeli barang tersebut daripada pemilik pada harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Al-Ijarah (pajakan).

Satu perjanjian di mana pemilik menyewakan peralatan, bangunan atau lain-lain kemudahan kepada penyewa pada satu kadar tetap yang dipersetujui bersama.

Qardul Hassan (pinjaman kebajikan).

Pinjaman yang diberi tanpa mengharapkan pulangan atau faedah. Peminjam hanya perlu membayar balik jumlah wang yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang faedah. Walau bagaimanapun, peminjam digalakkan membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam sebagai tanda penghargaan atau terima kasih.

Bai As-Salam (tempahan).

Satu perjanjian di mana pembayaran harga dibuat secara tunai, iaitu menyerupai bayaran pendahuluan, manakala barangan akan dihantar kemudian pada satu tarikh yang dipersetujui bersama. Barangan yang ditempah mestilah ditetapkan spesifikasinya dengan lengkap.

Bai Al-Istijrar (kontrak bekalan).

Perjanjian di antara pembekal dan pelanggan, di mana pembekal bersetuju untuk membekalkan barangan tertentu secara berterusan kepada pelanggan (sebagai contoh secara bulanan) pada harga dan cara pembayaran yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Al-Kafalah (jaminan).

Jaminan yang diberikan oleh individu kepada pemilik barangan, di mana pemilik menyimpan atau mendeposit barangannya kepada pihak ketiga. Penjamin dan pihak ketiga perlu bertanggungjawab untuk memenuhi sebarang tuntutan pemilik ke atas barangannya.

Ar-Rahnu (pajak gadai).

Skim pajak gadai Islam yang meletakkan aset yang berharga sebagai jaminan ke atas hutang. Aset yang dijadikan jaminan akan dijual oleh pemiutang bagi mendapatkan kembali hutangnya sekiranya penghutang gagal untuk melangsaikan hutangnya seperti yang dijanjikan.

Al-Wakalah (pelantikan wakil/ejen).

Seseorang melantik individu lain untuk melaksanakan suatu tugasan sebagai wakilnya.

Al-Hiwalah (pemindahan hutang).

Pemindahan wang/hutang dari akaun penyimpan/pemiutang kepada akaun penerima/penerima hutang, dan bayaran perkhidmatan akan dikenakan.

As-Sarf (tukaran wang asing).

Pembelian dan penjualan mata wang asing.

Al-Ujr (upah).

Komisen atau yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan yang diberi.

Al-Hibah (hadiah).

Pemberian hadiah secara sukarela ke atas pinjaman yang diberikan.

Rencana mengenai perbankan Islam ini diterbitkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.