VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 11/09/2001

Aktivisme pengangkutan lestari

Oleh NOOR AZAM SHAIRI
(Wartawan Utusan)
SEMINAR Kebangsaan Ke Arah Pengangkutan Lestari di Malaysia anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang berlangsung sejak Jumaat lalu berakhir semalam dengan mengangkat resolusi dan deklarasi setebal 46 muka surat.

Resolusi dan deklarasi yang dipecahkan kepada tujuh isu mengemukakan tidak kurang 137 cadangan yang dibangkitkan dengan satu harapan iaitu agar sistem pengangkutan negara dapat dipertingkatkan demi keselesaan pengguna hari ini tanpa mengabaikan kesejahteraan generasi akan datang.

Kalau resolusi dan deklarasi itu diibaratkan sebuah loceng gergasi, loceng itu sudah berbunyi lagi. Tetapi soalnya, apakah gemanya kali ini cukup kuat untuk mengejutkan sebahagian besar daripada kita yang telah lama tertidur?

Sepanjang empat hari - siang dan malam, dari dewan seminar hingga ke dewan makan - tiada hal lain yang mengambang dalam kepala lebih kurang 100 peserta yang berkampung di RECSAM, Pulau Pinang kecuali hampir segala masalah berkaitan tentang sistem pengangkutan di negara ini.

Mereka berbincang, berdebat, mengkritik dan memberi cadangan yang menyentuh segala aspek pengangkutan negara: tentang jalan sesak, tentang banyaknya orang memakai kereta dan tidak mahu naik pengangkutan awam, tentang bandar yang sombong kepada pejalan kaki dan penunggang basikal serta tentang tiadanya penyelarasan dalam pentadbiran pengangkutan negara.

Dan itulah yang telah dilakukan oleh sebahagian besar mereka - aktivis pengguna, pensyarah pengangkutan, perancang bandar dan perunding jalan - sejak hampir 15 tahun lalu.

Pada hari ketiga, ketika perbincangan terasa semakin hangat dengan cadangan demi cadangan yang dikemukakan baik oleh pembentang kertas kerja mahupun daripada peserta, pensyarah di Pusat Penyelidikan Pengangkutan Malaysia, Prof. Madya Sabariah Jemali bangun dan mengingatkan betapa semua cadangan itu bukanlah sesuatu yang baru.

``Hampir semua cadangan itu pernah disuarakan hampir 15 tahun lalu. Apakah selepas ini kita akan berkumpul semula pada majlis lain dan mengemukakan cadangan yang sama, sekali lagi?'' tanya ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Beliau merujuk kepada beberapa cadangan yang dibangkitkan termasuk menyelaraskan pentadbiran pengangkutan negara melalui penubuhan sebuah badan tunggal dan langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seperti yang disuarakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ling Leong Sik di Ipoh kelmarin.

Menurut Ling, masalah kesesakan jalan raya di bandar besar dapat diatasi dengan menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta selain mengurangkan jumlah tempat letak kereta itu sendiri.

Suara Dr. Sabariah itu mungkin nadanya sedikit kecewa. Tetapi kenyataan jujur pensyarah itu merentap semula para peserta balik berpijak ke alam nyata. Mereka yang sudah terbuai dengan cadangan demi cadangan yang dilihat penuh yakin dapat menyelesaikan segala masalah pengangkutan negara akhirnya kembali kepada hal yang asas.

Mereka kemudiannya berbincang bagaimana caranya dapat meyakinkan semua pihak yang terlibat dalam perancangan sistem pengangkutan negara bahawa keadaannya hari ini sudah begitu meruncing dan sesuatu harus dilakukan dengan segera.

``Seminar ini adalah langkah awal yang berada pada landasan yang betul,'' kata Dr. Abdul Rahman Paul Barter dari Universiti Nasional Singapura.

Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Abdul Rahman itu. Seminar kali ini menghimpunkan bukan saja ahli akademik, perancang bandar, perunding pengangkutan dan aktivis pengguna malah turut disertai oleh beberapa wakil dari agensi kerajaan yang terlibat.

``Kami tidak mahu seminar kali ini hanya menjadi seperti sembang-sembang di kedai kopi, kata Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris.

Kerana masalah pengangkutan adalah segenap lapisan anggota masyarakat, seminar kali ini juga menjemput beberapa editor akhbar untuk terlibat secara langsung mempengerusikan pembentangan kertas kerja di samping liputan penuh wartawan. ``Hanya dengan cara ini orang ramai boleh mengikuti apa yang berlaku, tambahnya.

Kehadiran pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dengan kajian dan perancangan sistem pengangkutan tersebut nyata mendapat reaksi positif. Sungguhpun ada yang berpendapat bahawa sektor kerajaan tidak diwakili dengan sepenuhnya tetapi hakikat yang tidak dapat ditolak ialah langkah itu adalah satu permulaan yang baik.

Seminar ini secara tidak langsung telah menjadikan semua pihak yang terlibat saling faham-memahami kemampuan, tanggungjawab, kekuatan, kekurangan dan paling penting batas tugas masing-masing.

Namun ada satu hal lain yang menarik yang berbangkit daripada seminar kali ini. Banyak yang melihat bahawa semua masalah yang dibincangkan di seminar kali ini, dan sejak 15 tahun lalu, berlaku kerana perancangan pembangunan pengangkutan amat jarang melibatkan peringkat akar umbi iaitu orang ramai yang akhirnya akan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan itu.

Abdul Rahman dalam kertas kerjanya yang menyentuh tentang usaha menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam dan tidak terlalu bergantung kepada kereta ada menyebut hal itu.

Katanya, pengalaman menunjukkan bahawa penglibatan orang ramai pada peringkat awal perancangan adalah sesuatu yang konstruktif dan menjadikan dasar awam itu boleh dilaksanakan dengan baik.

``Mendengar suara lain dalam proses perancangan pengangkutan boleh membantu pandangan sehala di kalangan pembuat keputusan yang mungkin mempunyai sedikit pengalaman menggunakan pengangkutan awam, kata Abdul Rahman.

Ganesh Rasagam, seorang perunding dan perancang pengangkutan di Pulau Pinang mempunyai pandangan yang pada umumnya senada. Menjawab satu soalan tentang bagaimana mahu menjadikan seminar kali ini bukan satu usaha sia-sia, beliau mencadangkan supaya satu kumpulan pendesak ditubuhkan terdiri daripada kelompok masyarakat yang mahu menyuarakan pandangan mereka tentang sistem pengangkutan yang mereka mahu.

Menurut beliau, kumpulan itu nantinya boleh menjalinkan kerjasama dengan kerajaan yang akan menentukan dasar dan keputusan akhir tentang sistem pengangkutan.

``Kita bukannya mahu berkonfrontasi tetapi menjalin kerjasama dengan kerajaan demi kebaikan semua, kata Ganesh.

Itulah juga cadangan yang dibangkitkan oleh perunding pembangunan sosial, Dr. Collin Abraham yang menjadi pembentang kertas kerja terakhir tengah hari semalam. Beliau membicarakan tajuk Pengangkutan Lestari di Persimpangan Jalan.

``Kita perlu ada kumpulan pemantau pengangkutan di peringkat daerah di setiap bandar kecil dan bandar besar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,'' katanya.

Jelas beliau, hanya dengan cara demikian usaha menggerakkan perubahan bagi mewujudkan satu sistem perancangan yang bermula dari bawah ke atas iaitu dari akar umbi ke peringkat pentadbiran tertinggi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Namun ada perkara lain yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya iaitu bagaimana hendak memastikan suara kumpulan-kumpulan itu dapat sampai ke matlamatnya. Apa yang perlu dilakukan tentulah bukan dengan cara konfrontasi seperti kata Ganesh tetapi dengan memberikan gambaran keadaan yang sebenar agar masalah itu dapat difahami dengan lebih jelas.

Dalam konteks itu, pensyarah dari Kumpulan Penyelidik Pengangkutan Universiti Malaya, Dr. Jamilah Mohamad yakin bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran pengangkutan faham apa yang berlaku ``cuma mereka tidak tahu bagaimana hendak mengatasinya.''

``Itulah tugas kita untuk menyebarkan kesedaran ini di kalangan mereka,'' katanya.

Dan usaha menyemai kesedaran itu juga perlu digerakkan di kalangan para pengguna yang dilihat sudah menerima masalah pengangkutan sebagai satu takdir yang ditentukan Tuhan.

CAP dan SAM akan menyerahkan resolusi dan deklarasi seminar itu kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam perancangan sistem pengangkutan negara dengan harapan sesuatu tindakan yang wajar dan bermakna dapat diambil segera.

``Kita sangat berharap hasil seminar ini akan menjadi katalis perubahan kepada masa depan perancangan dasar pengangkutan dan pelaksanaannya,'' kata Mohamed Idris dalam ucapan penutupnya.

Semoga selepas ini kita tidak lagi banyak berbincang tentang masalah tetapi mula duduk dengan serius mencari jalan penyelesaiannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.