VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 Ogos 2014 / 24 Syawal 1435  
  Carian Arkib
PENDIDIKAN

ARKIB : 05/09/2001

Patriotisme -- Semai semangat dari kecil

MUKADIMAH
SATU cabaran paling utama dalam dunia tanpa sempadan ialah menanamkan semangat kecintaan kepada negara di kalangan generasi muda terutamanya pelajar dan golongan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Mohamad Mansor Abdullah menyuarakan pendapatnya mengenai usaha menyuntik semangat patriotisme di kalangan mahasiswa dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas penting ini.

Ikuti temu bual beliau dengan wartawan Pendidikan, Rohana Man baru-baru ini.

Soalan (S): Di peringkat universiti banyak juga program atau aktiviti diadakan oleh mahasiswa untuk menyambut kemerdekaan. Sejauh mana ia boleh menyemai semangat patriotisme di kalangan para mahasiswa?

Jawapan (J): Mahasiswa merupakan produk dari sekolah menengah dan rumah.

Sebagai sebuah institusi, universiti hanya berusaha memperkukuhkan semangat patriotisme yang dimiliki oleh mahasiswa.

Bagi mahasiswa yang belum ada semangat itu maka universiti cuba menimbulkan kesedaran dan rasa cintakan tanah airnya melalui aktiviti kokurikulum.

Jadi tidak hairanlah ada universiti berusaha membuat jalur gemilang terpanjang, membentuk pasukan koir yang menjulang lagu-lagu patriotik dan tidak ketinggalan pula mengasuh pelajarnya dengan debat dan pidato bertemakan semangat patriotik dan perjuangan kemerdekaan tanahair.

Setidak-tidaknya, kita boleh melihat semua IPTA ada acara tersendiri dalam menyambut dan memperingati Hari Kebangsaan dengan memasang bendera di sekitar kampus.

Jika usaha itu dapat diadakan secara istiqamah dengan penuh kesedaran dan dedikasi, saya yakin para mahasiswa yang bakal keluar nanti boleh menjadi warganegara yang sentiasa cintakan negara, bangsa dan agamanya serta menghormati pemimpinnya.

S: Apabila para mahasiswa sentiasa cintakan negaranya maka ia secara tidak langsung akan menggalakkan mereka berkhidmat di tanah air sendiri daripada berhijrah ke luar negara. Bukan begitu, Prof.?

J: Ya. Apabila sudah timbul kesedaran maka akan timbullah rasa cinta dan rasa tanggungjawab serta bersedia dan penuh rela untuk berkorban apa saja demi bangsa dan Malaysia yang tercinta ini.

S: Sambutan Hari Kebangsaan ke-44 tanah air tercinta berlalu dengan penuh meriah. Sebagai `orang lama', apakah pandangan Prof. mengenainya?

J: Saya mula belajar menyambut sesuatu majlis sejak zaman penjajahan iaitu sewaktu saya di sekolah Melayu. Antara sambutan itu ialah hari lahir King George dan hari pertabalan Queen Elizabeth.

Apabila negara merdeka pada 31 Ogos 1957, kami juga diminta menyambutnya di peringkat daerah.

Kemeriahan sambutan itu masih terasa dan kekal ke hari ini. Ia berjaya menanam semangat cintakan negara yang masih menyala dan belum padam sehingga hari ini.

Justeru para mahasiswa perlu menghayati sambutan majlis kemerdekaan dan biarkan ia terus menyala dalam hati nurani sehingga ke akhir hayat.

S: Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ada menyebut tentang semangat patriotisme harus disemai sejak kecil. Apa komen Prof. mengenainya?

J: Saya amat setuju dengan saranan Dr. Mahathir dan saya yakin jika kita hendak menanamkan semangat patriotik di kalangan generasi muda hari ini, biarlah usaha itu dilakukan sejak mereka kecil.

Pepatah Melayu ada menyebut: ``Jikalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya''.

Kalau sejak awal, mereka telah diperkenalkan, dibentuk dan diasuh rasa kecintaan terhadap negara, insya-Allah, apabila dewasa kelak, jiwa mereka akan sebati untuk mencintai negara sendiri.

S: Ini bermakna, ibu bapa atau penjaga memainkan peranan lebih penting berbanding guru untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

Bagaimana usaha itu boleh dilakukan?

J: Sudah semestinya, ibu bapa dan penjaga memikul tanggungjawab dan peranan itu.

Ini kerana mereka merupakan institusi pendidikan pertama yang tidak formal kepada kanak-kanak.

Sejak lahir, ibu bapa dan penjaga sentiasa di sisi mereka, seterusnya menjaga, mendidik dan mengasuh mereka sehingga dewasa.

Dalam Islam ada menyebut bahawa ibu bapalah yang mencorakkan sama ada anaknya itu menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Oleh itu saya berpendapat, ibu bapa dan penjaga yang memiliki semangat patriotik akan lebih mudah membentuk anak-anak agar menurut dan mengikut semangat yang sama.

S: Apa pula peranan yang sepatutnya dimainkan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan para pensyarahnya dalam usaha memupuk dan membaja semangat patriotisme di kalangan mahasiswa?.

J: Kami selaku tenaga pengajar di IPTA memang tidak ketinggalan dalam usaha memupuk dan mendidik para mahasiswa agar mencintai bangsa, negara, agama dan pemimpinnya.

Di universiti, terdapat subjek berkaitan kenegaraan yang diwajibkan kepada semua mahasiswa.

Menerusi subjek itu, mereka diterangkan mengenai semangat dan gerakan nasionalisme, perjuangan kemerdekaan, ketaatan sebagai rakyat sebuah negara merdeka seperti Malaysia, perlembagaan dan undang-undang negara, persefahaman dan integrasi kaum, hak-hak sebagai rakyat termasuklah hak keistimewaan bumiputera dan lain-lain.

Ia bertujuan supaya mahasiswa menyedari, memahami dan menghayati erti kemerdekaan sesebuah negara.

Selain itu, mahasiswa akan lebih faham dan sedar bagaimana mereka boleh memberi komitmen terhadap pembangunan negara apabila memasuki alam pekerjaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.