VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 23/08/2001

Ellie hilang di Gunung Kinabalu ditemui mati

MAYAT Ellie James dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu semalam. - Gambar GHAZALI BASRI.


Oleh: NAZERI NONG SAMAH
KOTA KINABALU 22 Ogos - Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui mayat gadis Britain, Ellie James, 17, yang hilang minggu lepas semasa menuruni Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap di kedudukan curam 65 darjah pada pukul 10.21 pagi, dekat St. John Peak iaitu pada ketinggian 4,090.75 meter.

Ketua Polis Daerah Ranau, Asisten Supritendan Dzulbaharin Ismail berkata, usaha sedang dilakukan untuk membawa turun mayat Ellie.

``Mayat Ellie dijumpai kira-kira 500 meter dari tempat adik lelakinya, Henry, 15, yang diselamatkan pada 15 Ogos lalu,'' katanya kepada pemberita di kaki gunung tersebut, dekat Ranau hari ini.

Tambah beliau, keluarga mangsa yang sama-sama mendaki gunung itu Khamis lalu telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.

``Usaha mencari Ellie yang hilang sejak tujuh hari itu mengalami kesukaran kerana cuaca buruk dan kabus tebal yang menghalang penglihatan di puncak Gunung Kinabalu,'' katanya.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada Ellie meninggal dunia akibat terjatuh dari curam itu atau terdedah kepada suhu beku.

``Punca sebenar bagaimana kejadian itu berlaku masih disiasat,'' kata Dzulbaharin.

Dzulbaharin berkata, mayat Ellie yang masih dibaluti jaket merah jambu ditemui tanpa kecederaan teruk.

Ellie dan Henry bersama-sama ibu bapa mereka adalah antara sekumpulan pelancong yang mendaki gunung itu pada 15 Ogos dan berehat semalam di Laban Rata (pada ketinggian 3,270 meter).

Laban Rata ialah tempat para pendaki biasanya berehat semalaman sebelum meneruskan pendakian mereka pada awal pagi esoknya untuk menyaksikan matahari terbit dari puncak gunung itu.

Selepas menyaksikan matahari terbit dan berada di puncak itu selama sejam, para pendaki biasanya akan terus menuruni gunung itu.

Semasa menuruni gunung itu, ibu bapa Ellie iaitu Bruce James, 54, dan Claire, 49, dari Cornwall, England menyedari kedua-dua anak mereka tidak ada bersama dan segera memberitahu renjer taman negara.

Ellie dikatakan memberitahu Henry supaya menunggu di tempat itu sementara dia mendapatkan pertolongan.

Itulah kali terakhir Henry melihat kakaknya.

Pada masa itu, cuaca sangat sejuk dan dianggap sebagai yang terburuk dalam masa 15 tahun dengan angin kencang lebih 110 kilometer sejam dan suhu hampir di paras beku manakala tahap penglihatan sangat rendah.

Henry ditemui enam jam kemudian dalam kawasan South Peak dan St. John Peak, tidak jauh dari puncak tertinggi gunung itu, Low Peak.

Operasi mencari Ellie yang disertai oleh polis, bomba dan penyelamat, renjer taman negara serta pemandu tempatan menghadapi masalah berikutan keadaan cuaca buruk sepanjang lima hari pertama.

Cuaca pulih dua hari lepas dan harapan menemui gadis itu hidup adalah cerah berikutan penemuan beberapa petunjuk seperti pembungkus plastik, pelapik, serta tapak-tapak kaki yang dikatakan tanda-tanda yang ditinggalkan oleh gadis itu.

Selain daripada 21 anggota SMART, pasukan mencari dan menyelamat turut dianggotai oleh 22 anggota tentera, 11 anggota pasukan gerakan am, 19 anggota renjer taman negara, tujuh anggota bomba dan lima anggota polis serta jurupandu gunung dan penduduk kampung yang biasa dengan persekitaran gunung itu.

Pelatih-pelatih Sekolah Latihan Bina Semangat di Kinarut, kira-kira 40 kilometer dari sini, turut membantu dalam operasi mencari itu. Abang Ellie, Thomas, ialah seorang daripada jurulatih sekolah itu.

Dzulbaharin berkata, pasukannya telah berusaha sedaya upaya untuk mengesan gadis itu dan berasa sedih apabila mengetahui keadaan Ellie.

``Kita sudah berusaha sebaik mungkin,'' katanya.

Mana-mana pendaki dengan tahap kecerdasan sempurna dapat mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, yang dikenali sebagai "tempat tinggal orang mati" oleh penduduk tempatan.

Sejak tahun 1970-an, hanya tiga dilaporkan hilang dan tidak pernah ditemui walaupun gerakan mencari dilakukan.

Seorang daripadanya ialah budak lelaki berusia 14 tahun yang hilang di Laban Rata pada akhir 70-an dan dua lagi ialah rakyat Sarawak yang hilang di puncak gunung itu semasa cuaca ribut pada 1989.

Insiden yang melibatkan Ellie adalah kejadian kematian kedua yang diketahui berlaku di gunung itu. Satu lagi ialah seorang pelajar perempuan juga berusia 17 tahun yang dipercayai mati akibat serangan sakit jantung di puncak itu.

Kuburnya ditempatkan di sebelah kanan pagar Timpohon, yang merupakan tempat bermulanya pendakian ke puncak itu.

Pada 1998, seramai 18 tentera Britain sesat selama sebulan di gunung itu sebelum dapat diselamatkan.

Kira-kira 30,000 orang mendaki gunung itu setiap tahun.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.