VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 29/07/2001

Hukum wanita Islam berkahwin lelaki Kristian

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi pengajian Islam)
SOALAN: Saya mempunyai teman lelaki beragama Kristian. Justeru pengetahuan agama saya agak cetek, saya terus hanyut dengan teman lelaki itu. Ini tidak bermakna saya mengamalkan ajaran Kristian. Saya tetap bersama Islam, cuma saya tidak mengamalkan gaya hidup Islam sahaja.

Soalan saya, bolehkah saya kahwin dengan lelaki beragama Kristian itu tanpa dia memeluk Islam. Saya keliru kerana ada orang mengatakan lelaki beragama islam harus kahwin wanita beragama Kristian, tetapi tidak harus sebaliknya. Harap tuan jelaskan hukum sebenarnya. - SARAH, Sungai Tua, Selangor.

JAWAPAN: Saya berasa dukacita kerana anda merelakan diri anda untuk berteman lelaki seorang Kristian sehingga hanyut dibawa arus. Walaupun anda masih tetap bersama Islam, tetapi saya tidak ketahui setakat mana anda dihanyutkan teman lelaki itu. Saya harap anda pulang segera ke pangkal jalan, makin segera makin baik bagi anda.

Di samping berdukacita, saya masih mampu juga bersyukur kepada Allah kerana anda tidak mengamalkan ajaran Kristian, tetapi saya sedih kerana anda tidak juga mengamalkannya gaya hidup Islam. Mungkin ertinya tidak bersembahyang dan tidak menunaikan rukun Islam yang diwajibkan.

Dalam situasi ini ada sedikit kebaikan jika anda cuba pengaruhi lelaki itu supaya dia memeluk Islam. Jangan merelakan diri anda dipengaruhinya, kemudian bolehlah dibincangkan soal perkahwinan. Jika dia benar-benar meminati anda, nescaya dia bersedia melakukan apa sahaja yang anda sukai.

Sebagai seorang wanita beragama Islam, anda tidak dibenarkan sama sekali menjadi isteri kepada lelaki bukan Islam sekalipun dia merupakan seorang penganut agama Kristian kerana dibimbangi nanti dia akan mempengaruhi anda supaya menukar agama.

Sesebuah rumah tangga hendaklah didirikan di atas asas-asas kebahagiaan dan kerukunan, di atas prinsip keimanan dan ketakwaan. Islam meragui bagaimana keamanan boleh diwujudkan dalam sebuah rumah tangga yang isterinya beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. sedang suami memusuhinya. Lambat laun sama ada rumah tangganya runtuh atau isteri secara paksa atau sukarela akan menurut agama suaminya.

Lain halnya dengan suami yang beragama Islam, berkahwin dengan wanita ahli kitab (beragama langit). Suami ini tetap beriman kepada nabi-nabi Isa dan Musa yang diimani oleh penganut agama Yahudi dan Kristian. Pasangan mungkin beroleh kebahagiaan sepenuhnya kerana suami tidak perlu memaksa isteri menurut agamanya. Hanya jika isteri yang beragama Kristian atau Yahudi itu menyatakan kesediaannya beragama Islam, maka itulah yang diharap-harapkan dan selesailah masalahnya.

Rujukan perkahwinan antara pasangan berlainan agama ini, antaranya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan jangan kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman memeluk Islam dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik (al-Baqarah: 221).

Islam tidak membenarkan perkahwinan antara seorang muslim dengan wanita kafir musyrik (penyembah berhala) kerana perbezaan akidah antara pasangan ini terlalu jauh. Mereka berbeza tentang hari akhirat, syurga, neraka, dosa dan pahala, kira-kira sukar untuk dicari jalan damai antara mereka padahal perkahwinan itu suatu usaha bagi mencari kedamaian.

Islam juga melarang wanitanya mengahwini lelaki bukan Islam, seperti dinyatakan terdahulu, kerana Islam tidak membuka jalan bagi orang kafir berkuasa terhadap orang Islam. Jika jalan perkahwinan dibuka kepada bukan Islam dengan membenarkan mereka mengahwini wanitanya bermakna tiada halangan bagi bukan Islam berkuasa terhadap orang Islam, sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: Dan Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman (an-Nisa': 141).

Perkahwinan antara lelaki muslim dengan wanita ahli kitab, Islam membenarkannya. Ini selaras dengan pandangan khas Islam terhadap kafir kitabi, sekalipun telah diketahui mereka telah mengubah kandungan kitab suci mereka sejak awal-awal lagi.

Dalam konteks perkahwinan, wanita ahli kitab dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Wanita yang tinggal dan menjadi warganegara kepada sebuah negara Islam. Wanita ini juga disebut ahl al-zimmah (kafir yang tertakluk kepada pemerintahan Islam). Ulama berpendapat lelaki beragama Islam harus kahwin dengan wanita ini.

2. Wanita ahli kitab yang tinggal dan menjadi warganegara kepada negara bukan Islam. Ulama sepakat berpendapat lelaki beragama Islam tidak harus berkahwin dengan wanitanya kerana kedudukannya lebih kuat, mungkin pengaruhnya juga lebih besar.

Sejarah menunjukkan terdapat beberapa orang sahabat rasulullah s.a.w. mengahwini wanita ahl al-zimmah yang tinggal di bawah pemerintahan Islam, antaranya Uthman ibn Affan. Beliau mengahwini Nailah bt al-Farafisah seorang wanita penganut agama Kristian yang kemudian memeluk Islam.

Sejarah juga meriwayatkan Huzaifah ibn al-Yaman berkahwin seorang wanita Yahudi dari al-Mada'n, Iraq. Demikian juga dengan Jabir ibn Abdullah yang mengahwini wanita beragama Yahudi atau Nasrani pada masa pembukaan Kufah ketika pemerintahan Saad ibn Abu Waqqas (Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/153).

Ada hikmat mengapa Islam membenarkan lelaki Islam berkahwin wanita Yahudi atau Nasrani tetapi tidak membenarkan sebaliknya, kerana seorang lelaki muslim beriman kepada semua rasul dan mempercayai prinsip-prinsip asas yang dibawa mereka. Akidah isterinya yang belum Islam itu tidak dibimbangi. Sebaliknya lelaki ahli kitab tidak mengiktiraf agama dan nabi yang dianuti isterinya yang beragama Islam.

Selain hukum syarak seperti yang dinyatakan di atas, ada lagi beberapa perkara yang perlu diambil sebelum sesuatu perkahwinan diteruskan termasuk soal-soal keluarga, suasana semasa, politik dan budaya bangsa.

Sesetengah penulis berpendapat wanita beragama Yahudi pada zaman ini sepatutnya tidak dipilih untuk dijadikan isteri oleh lelaki muslim kerana sikap mereka yang angkuh dan tidak berperikemanusiaan. Faktor ini cukup membuktikan tidak ada jaminan kesetiaan kepada keluarga Islam jika mereka dikahwini.

Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pilihlah wanita yang beragama, rugilah anda jika tidak memilihnya. Hadis ini jelas menyatakan wanita yang kuat agama lebih baik daripada wanita yang lemah agama. Secara tidak langsung ia juga bermakna wanita yang beragama Islam lebih baik daripada wanita yang beragama Yahudi atau Nasrani.

Ulama dari mazhab Maliki dan Hanafi memfatwakan, kalaupun sah tetapi terlalu makruh berkahwin dengan wanita Yahudi dan Kristian, kerana wanita-wanita ini bebas memilih makanan dan minuman yang halal menurut agamanya, mereka harus makan babi dan minum arak, mereka boleh pergi ke gereja, sedangkan suami tidak berhak melarangnya.

Dalam suasana ini para suami banyak haknya yang terhakis. Suami tidak berupaya melarang isteri makan babi, minum arak dan ke gereja. Kita juga boleh mengambil kesimpulan, jika makan minum tidak dapat dikawal, maka tiada apa lagi yang boleh dikawal oleh suami, oleh itu apalah ertinya beristeri jika pinggan mangkuk terpaksa berasingan buat selama-lamanya.

Kalangan ulama ada juga yang melihat perkahwinan ini dari aspek al-Qawamah (penguasaan suami dalam rumah). Islam hanya mengharuskan lelaki beristerikan ahli kitab jika mereka mempunyai kekuatan menentukan pendidikan anak-anak dalam keluarga dan berhak membuat pilihan untuk mereka. Jika suami gagal dalam menguasai rumah tangga dan membuat keputusan, maka demi menjaga keselamatan agama anak-anak dan zuriat akan datang, perkahwinan dengan mereka wajar dilarang (Muhmud Syalt, al-Fatawa, halaman 279-280).

Ada lagi pandangan menyatakan jika bilangan umat Islam sedikit dalam sesebuah negara, iaitu mereka merupakan kumpulan minoriti, lelaki Islam diharamkan berkahwin dengan wanita bukan Islam. Ini kerana jika hukum keharusan itu diteruskan ia akan menimbulkan masalah kepada wanita Islam seperti sukar mendapatkan pasangan dan sebagainya.

Saya setuju dengan pendapat ini. Malah zaman ini sepatutnya ada peraturan khas melarang mana-mana orang Islam berkahwin dengan orang bukan Islam sama ada Yahudi atau Kristian, sekalipun mereka bernaung di bawah pemerintahan Islam atau bukan Islam.

Suasana pada zaman ini jauh berubah di mana wanita lebih banyak menguasai rumah tangga. Memang benar apa yang dikatakan oleh Ibn Umar, Yahudi dan Kristian juga kafir musyrik apabila mereka mempersekutukan Allah dengan makhluk-Nya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.