VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/07/2001

1,001 macam khasiat herba - Lapan produk herba Nasuha di pasaran bulan ini

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
BARU-BARU ini, Mingguan menyiarkan mengenai kegiatan penanaman dan pengeluaran herba secara besar-besaran oleh syarikat Nasuha Enterprise Sdn. Bhd. di Pagoh dekat Muar.

Dengan memiliki ladang seluas lebih 1,000 hektar dan lebih sejuta pokok daripada 130 spesies herba dari serata dunia, Nasuha Enterprise menjadi pelopor ke arah pembangunan industri perubatan alternatif di negara ini.

Pengarah urusan syarikat itu, Nasuha Kasian yang ditemui di ladangnya baru-baru ini optimis industri tersebut boleh berkembang maju di negara ini sekiranya mendapat sokongan daripada semua pihak, khususnya kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan perlu memberi kelonggaran dan pelepasan tertentu termasuk aspek percukaian kepada pengusaha terbabit terutama dalam menggiatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

``Penyelidikan dan pembangunan industri perubatan berasaskan herba amat penting untuk memastikan lebih banyak tumbuhan yang berpotensi untuk dijadikan ubat-ubatan didedah dan dipasarkan,'' jelas beliau.

Selain bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dan beberapa universiti tempatan, Nasuha Enterprise mendapatkan perkhidmatan kajian saintifik dan genetik tumbuhan daripada universiti di Singapura, Indonesia dan Australia.

Nasuha Enterprise telah mengeluarkan 16 produk teh dan sup herba jenama C. T. Herbs Spices yang dijadual dipasarkan oleh sebuah lagi syarikat milik Nasuha, Budayatama Corporation Sdn. Bhd. bulan ini.

Produk tersebut ialah Teh dan Sup Noni, Gora, Allspice, Cinnamon, Serico, Scaphium, Garcinia dan Centella.

Produk tersebut yang akan turut dipasarkan ke luar negara dihasilkan menggunakan ramuan campuran 11 jenis pokok herba yang terdapat di ladang Nasuha.

Jika dalam rencana minggu lalu pembaca dipaparkan dengan keindahan dan keunikan di ladang berkenaan serta sedikit maklumat tentang kelebihan herba-herba yang ditanam di sana, kali ini anda berpeluang mengetahui khasiat-khasiat herba tersebut.

Pokok mengkudu atau noni dengan nama saintifiknya Morinda citrifolia berfungsi untuk memulihkan fungsi sel dan merangsang pertumbuhan semula tisu-tisu dalam badan.

Ia mengandungi proxeronia yang tinggi yang berfungsi sebagai pemangkin dan enzim yang boleh memulihkan sistem tubuh di samping menjadi imun tubuh.

Mengkudu mampu merangsang sistem imun tubuh dan mengandungi selenium untuk mencegah barah.

Penduduk Hawaii yang terkenal dengan tumbuhan mengkudu atau noni, menggunakannya untuk merawat kencing manis, ulser, sakit jantung, darah tinggi serta masalah buah pinggang dan pundi air kencing.

``Mengkudu mempunyai sifat-sifat antioksidan di samping boleh mengatasi sengal-sengal sendi dan baik untuk pesakit gout,'' kata Nasuha.

Habitat dari Afrika, pokok gora atau juga dikenali sebagai cola, kola, kekacang gurru dan bissy pula mampu menyaingi kehebatan tongkat ali terutama untuk menguatkan tenaga.

Dengan nama saintifik cola nitida, gora dari keluarga tumbuhan sterculiaceae mengandungi caffeine, polyphenolic, choline, betaine, starch, gula dan galian.

Gora popular sebagai tonik yang telah terbukti dan diakui di serata dunia mempunyai pelbagai khasiat dan fungsi untuk meningkatkan kesihatan.

Berdasarkan kajian saintis Australia, kandungan dalam buah gora aktif sebagai anti kemurungan dan mempertahankan pengawalan kekuatan mental dan fizikal.

Gora juga mengatasi neuralgia kronik atau sakit saraf, lemah otot, keletihan fizikal, migrain dan penyakit psikatri.

Nasuha memberitahu, kajian juga mendapati gora boleh menambah tenaga, menambah selera makan, melegakan cirit-birit dan membantu penghadaman.

Pokok renek serico atau pecah beling dengan nama saintifiknya Strobilantes crispus Bl yang juga dikenali sebagai keci beling dan ngokilo di Indonesia juga mengandungi khasiat daripada kandungan kalium, natrium dan silikat.

Ia boleh mengawal dan mengubati penyakit kencing manis, hepatitis, sembelit, penyakit kulit dan keracunan makanan.

``Kalium dengan kadar yang tinggi dan pekat pada daunnya bersifat diuretic yang dapat melarutkan batu yang terbentuk sekali gus melancarkan perjalanan air kencing di samping,'' jelas Nasuha.

Manakala pokok allspice atau nama saintifiknya Pimenta dioica digunakan untuk mengubati kembung perut, cirit-birit, masalah penghadaman dan urat saraf.

Kata Nasuha, ia turut mengatasi masalah otot dalam dada, sengal-sengal sendi, melegakan sistem pernafasan dan bertindak sebagai pembersih darah.

Kajian saintis juga mendapati, pati minyak daripada daun allspice begitu baik untuk ramuan barangan kosmetik dan penjagaan badan di samping mengubati sakit perut.

Pokok gingko atau nama saintifiknya Gingko biloba pula terbukti berkesan untuk meningkatkan daya ingatan, mengawal mental dan psikologi serta kewarasan mental.

Ia berfungsi memperbaiki peredaran darah di serabrum dan memperbetul sel-sel otak, sekali gus mampu mengubati penyakit nyanyuk.

Menurut kajian, ia juga boleh merawat lelah, ulser atau seriawan kaki, pening kepala, hilang ingatan, sembelit dan masalah buah pinggang serta jantung.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, asam gelugur atau nama saintifiknya Garcinia atroviridis yang mengandungi asid hydroxycitris sebagai agen mengurangkan kolesterol adalah jawapan terbaik.

Ia juga mengurangkan asid lemak, meningkatkan pengeluaran glycogen di hati, mengurangkan selera makan, meningkatkan suhu badan dan merangsang proses thermogenesis.

Pegaga yang dijadikan ulam-ulaman oleh masyarakat Melayu sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat yang tidak diketahui selama ini.

Menurut Nasuha, ia merawat sistem urat saraf, luka, sakit kulit, selesema, sakit tekak, gatal-gatal dan memperbaiki fungsi otak untuk meningkatkan daya ingatan.

Kajian saintis Barat pula mendapati pegaga membantu dalam perubatan sakit kusta, komplikasi sifilis, kerosakan hepar, radang sendi, sembelit, buasir, membuang lemak di bawah kulit, menggeletar dan jangkitan saluran pernafasan.

Kembang semangkuk atau nama saintifiknya Scaphium macropodium boleh mengubati penyakit batuk dan lelah, mengurangkan panas badan dan melegakan sistem pernafasan.

Manakala pokok kayu manis yang turut dijadikan teh dan sup oleh Nasuha Enterprise pula mempunyai khasiat mengubati sakit perut, cirit-birit, masalah haid dan sakit belakang.

Pati minyak daripada kayu putih atau nama saintifiknya Melaleuca leucadendron linn, satu lagi pokok yang terdapat di ladang Nasuha juga mempunyai khasiat tersendiri.

Ini termasuklah melegakan dan mengatasi sakit perut kembung, pening kepala, kejang otot, kurang selera makan, batuk, cirit-birit, lelah dan angin.

Satu lagi lagi herba yang turut mempunyai kelebihan tersendiri ialah eculyptus atau nama saintifiknya Eucalyptus globulus.

Selain batangnya yang dijadikan kertas, daun dan pati minyaknya juga boleh mengubati penyakit tibi, jangkitan paru-paru, radang tenggorok, sakit tekak, sakit otot, sengal sendi dan sebagai antiseptik.

Pokok royal stevia atau nama saintifiknya Stevia rebaudiana yang benihnya diimport dari Jepun pula setakat ini lebih popular sebagai campuran atau bahan pemanis dalam makanan.

Sementara itu, antara herba lain yang ditanam besar-besaran di ladang Nasuha termasuklah buah keras dari Indonesia, egg fruits dari Amerika Syarikat, tee tree besar-besaran ialah kunyit, sambung nyawa, ginseng Korea, buah naga dan salak pondoh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.