VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 18/05/2001

Definisi filem ...keliru antara seni dan komersial


Satu adegan dari filem Sembilu yang selalu dianggap filem komersial.


Seorang pengarah yang sedang menyiapkan filem arahannya yang ke-22 berkata, filem dia bukan sebuah karya seni tetapi filem komersial. Dalam sebuah program televisyen, dia seterusnya bertanya, apa sudah jadi dengan filem-filem yang dikatakan filem seni? Tak laku.

Dengan itu dia memutuskan untuk tidak mahu buat filem seni. Aneh juga setelah mengarahkan 22 buah filem, pengarah ini tidak mahu mengakui filem-filemnya bukan karya seni. Malah filem seni itu dikatakan tidak bermakna, sukar difahami dan susah untuk diterima oleh masya-rakat, lalu menyebabkan ia tidak laku di pasaran.

Sukar juga untuk memahami mengapa Z. Lokman yang sudah mengarahkan puluhan filem (filem terbaru arahannya No Problem hanya mengambil masa 18 hari pengambaran) harus berkata demikian.

Apakah untuk mengejar keuntungan maka dia harus menolak keyakinan terhadap filem-filem yang telah dilakukannya selama ini. Seharusnya dialah yang cukup memahami dengan bidang yang dilakukannya.

Sememangnya perang antara seni dan komersial dalam sesebuah filem telah lama berlaku. Ia menjadi debat yang berpanjangan. Perbezaan pendapat ini bertolak pada soal keyakinan dan pemahaman. Filem boleh sahaja dilihat dari pelbagai sudut. Bagi seorang seniman, filem adalah medium seni yang tiada tolok bandingnya, mencabar kreativiti yang batasannya hanyalah imaginasi.

Manakala bagi seorang peniaga, filem adalah komoditi dagang yang tiada taranya, yang cuba dilihat dari sudut keuntungan. Filem baginya tidak ubah seperti barangan komoditi lainnya. Lalu ia akan menangani filem seperti dia menangani barangan niaga lainnya.

Komersial adalah dasarnya, dia mengeksploit medium ini sebaik mungkin dan memaksimumkan keuntungannya melalui strategi pemasarannya yang canggih dan manipulatif.

Benarlah agaknya seperti kata penulis lakon layar William Goldman bahawa tiada seorang dalam industri filem yang benar-benar pasti filem yang bagaimana yang cukup berhasil. Steven Spielberg, antara pengarah filem yang paling berjaya dalam sejarah filem pernah berkata, tidak ada sesiapa yang pasti bagaimana reaksi masyarakat terhadap sesebuah filem.

Secara mudahnya pembikinan sebuah filem adalah kerja seni kerana ia melibatkan aspek kesusasteraan, pemikiran dan kreativiti. Manakala komersial adalah kerja-kerja pemasaran.

Benarkah filem yang mengutamakan kerja seni yang berkualiti membosankan dan sukar difahami? Ini adalah pendapat yang salah. Sebuah hasil kerja seni yang baik pasti akan menghiburkan dan tidak akan membosankan.

Tidak semua yang seram, ngeri dan keganasan itu tidak menghiburkan. Selera hiburan bagi seseorang penonton adalah sesuatu yang sukar diukur dan ditentukan.

Disebabkan semua filem adalah sebuah hasil seni, maka yang membezakannya hanya sebuah filem yang baik (berkualiti) atau tidak baik.

Apa yang dimaksudkan filem yang baik? Kata Usmar Ismail, tokoh filem Indonesia, filem yang baik haruslah memenuhi syarat-syarat struktur dramatis yang baik.

Katanya, pendapat yang mengatakan penonton tidak mahu menonton filem yang baik adalah salah. Pada hakikatnya penonton umumnya tidak mahu menonton filem yang tidak dimengertikan, yang tidak dapat diterima oleh akalnya, yang tidak ada tujuannya yang nyata. Maka bagi seniman yang bersungguh-sungguh dia tidak perlu risau.

Bagi seorang seniman filem adalah medium seni yang istimewa. Filem adalah bentuk seni yang muncul dari kesan kemajuan teknologi. Inilah istimewanya medium seni ini, di mana seni dan teknologi bergabung.

Tetapi bagi Andrey Tarkovsky pembikin filem Rusia, filem sebagai sebuah kerja seni mempunyai makna puitisnya sendiri. Ia mempunyai matlamatnya sendiri - untuk menyalurkan sebahagian daripada pengalaman dalam ruang kehidupan.

Sebuah filem belum lengkap jika ia tidak ditonton. Istimewanya filem ia adalah untuk tontonan massa. Oleh itu hubungan filem dengan massa adalah hubungan istimewa. Aspek inilah yang sering dimanfaatkan oleh strategi pemasaran seseorang produser. Inilah aspek komersial dalam sesebuah filem. Pihak produser sentiasa mahu menghasilkan filem yang disukai oleh penonton.

Ciri-ciri atau bentuk cerita yang disukai oleh penonton atau masyarakat akan diulang atau dikekalkan. Ciri atau pendekatan inilah yang kemudiannya menjadi formula kepada Hollywood. Pendekatan ini juga sebenarnya tidak sepenuh salah. Tetapi bagi seorang pembikin filem yang kreatif dia tidak akan mengulang ciri-ciri atau bentuk cerita yang sama dalam filem-filemnya.

Biarpun ia dijangka akan disukai penonton, tetapi pada masa yang sama penonton tidak akan menggemari pengulangan bentuk cerita dalam filem. Di sinilah bagaimana kreativiti mengatasi pendekatan atau jangkaan komersial.

Pendekatan komersial akan mempertahankan sesuatu formula dan mengulang pendekatan yang sudah diketahuinya disukai oleh massa demi kepentingan perniagaannya. Tetapi bagi seorang seniman yang kreatif dia perlu perubahan, tidak statik dan sentiasa mahu memberikan pengalaman yang baru kepada penonton.

Memang filem yang membawa cerita atau pendekatan yang lain dan baru tidak mudah diterima penonton massa tetapi tidak juga bermakna akan ditolak penonton.

Apatah lagi jika penonton massa itu sudah terbiasa menonton sejenis bentuk filem sahaja sehingga ia sukar menerima filem yang memberikan kelainan.

Oleh itu kita harus faham aspek seni dan komersial dalam pembikinan filem. Mengatakan filem seni itu sukar, susah difahami dan tidak digemari oleh penonton adalah salah. Dengan pendapat yang mengatakan saya hanya menghasilkan filem komersial sahaja adalah pendapat yang jahil.

Filem yang digemari penonton sangat berkait dengan seni bercerita dan kearifan pembikin filem. Mengatakan filem seni tidak menghiburkan jelas menunjukkan pendapat yang dangkal. Menghasilkan filem adalah sebuah kerja seni dan semua filem adalah karya seni. Yang membezakannya hanyalah sama ada ia sebuah karya seni yang baik atau buruk.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.