VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Julai 2014 / 3 Syawal 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 01/05/2001

KWSP disyor wujud skim khairiat kematian

KUALA LUMPUR 30 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengesyorkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mewujudkan Skim Khairat Kematian bagi menggantikan bantuan kematian.

Pertubuhan itu turut mencadangkan agar Skim Hilang Upaya yang lebih baik diadakan bagi membolehkan pencarum mendapat pampasan yang lebih berpatutan daripada caruman mereka di KWSP.

Presiden CUEPACS, N. Siva Subramaniam berkata, skim yang dicadangkan oleh pihaknya itu adalah jauh lebih baik kerana waris setiap pencarum yang meninggal dunia boleh mendapat bantuan kewangan sehingga melebihi RM30,000 berbanding RM2,000 sekarang.

Beliau berkata, berdasarkan cadangan tersebut, setiap ahli KWSP akan diwajibkan mencarum sebanyak 50 sen sebulan untuk tabung itu begitu juga dengan majikan bagi setiap pekerja.

``Skim yang ada sekarang tidak adil kerana itu kita akan meminta Menteri Kewangan mewujudkan Skim Khairat Kematian dengan segera.

``Skim ini menjamin faedah lebih tinggi dan tidak memakan simpanan pokok pencarum,'' katanya ketika ditemui pada majlis taklimat KWSP kepada CUEPACS di sini.

Siva menambah, CUEPACS tidak bersetuju sama sekali dengan skim sedia ada kerana ia mengurangkan simpanan pokok pencarum serta menjejaskan jumlah faedah yang mereka peroleh.

Beliau berkata, Skim Khairat Kematian dan Skim Hilang Upaya yang baru itu bakal memberi faedah yang besar kepada pencarum tanpa membebankan mereka.

Ini kerana, ujarnya, terdapat 9.8 juta pencarum di negara ini yang berkeupayaan menyumbang sebanyak RM117.6 juta setahun kepada tabung itu.

``Wang ini cukup untuk membiayai bayaran bantuan kematian serta pampasan hilang upaya pencarum,'' katanya.

Siva juga meminta KWSP mencari kaedah lain untuk mempercepatkan proses pengeluaran wang oleh pencarum di bawah pelbagai skim.

Jelas beliau, pada masa ini masih terdapat kira-kira 300,000 borang yang belum selesai diproses sehingga menyebabkan berlaku kelewatan pengeluaran wang oleh pencarum.

Beliau berkata, pihaknya menghargai tanggungjawab serta peranan yang telah dimainkan oleh kakitangan KWSP, namun dalam masa yang sama ia tidak boleh mengabaikan keperluan pencarum yang mahukan wang dengan segera.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II KWSP, Rusma Ibrahim memberitahu, pihaknya mengalami peningkatan beban kerja yang mendadak sejak akhir-akhir ini ekoran pelbagai skim yang ada.

``Pada masa ini proses pengeluaran permohonan memang terjejas teruk tetapi kita tetap menyelesaikannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.