VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/04/2001

Atasi konflik etnik untuk selamatkan ASEAN

Oleh: NORDIN JONID dan AZLINARIAH ABDULLAH
BERITA mengenai mayat-mayat tanpa kepala dan kubur besar bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai semakin kerap menghiasi media massa sejak kebelakangan ini.

Gambar-gambar yang menyayat hati dan berita yang mencabar nilai kemanusiaan mengenai pembunuhan itu adalah cerminan daripada sebahagian konflik etnik yang sedang mengancam kehidupan kita.

Kalangan ahli sejarah dan pakar sains politik bersetuju terhadap faktor utama mengenai punca sebenar konflik etnik adalah akibat ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan pengagihan kuasa.

Mereka juga sependapat bahawa toleransi dan pengorbanan sesuatu etnik adalah penting dalam mewujudkan keharmonian dan seterusnya kestabilan negara atau wilayah masing-masing.

Konflik etnik sebenarnya, bukan sahaja berlaku di rantau Asia Tenggara, tetapi juga di Eropah dan Amerika. Tetapi perkembangan mutakhir memperlihatkan konflik etnik yang berlaku di beberapa negara di Asia Tenggara perlu diberikan perhatian serius dan ditangani dengan sebaik mungkin.

Ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan kawasan atau negara di mana sesuatu konflik itu berlaku tetapi pada akhirnya ia boleh mengancam kestabilan serta meruntuhkan kekuatan dan kelebihan rantau ini.

Ketua Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nabir Abdullah berkata, secara amnya sesuatu konflik perlu dilihat secara tersendiri dari segi sejarah, faktor penyebab, dimensi dan skop, ciri-ciri, kaedah konflik dan pengurusan konflik yang digunakan serta pengaruh luar.

Beliau menjelaskan, konflik yang wujud pada zaman prakolonial adalah berbeza dengan konflik di zaman kolonial. Konflik sebelum berakhir Perang Dingin berbeza dengan era selepas Perang Dingin.

Usaha pembinaan negara bangsa disertai oleh pembangunan am. Kesemua itu menuntut toleransi serta pengorbanan `dalam memberi dan menerima' yang dikira adil.

Bagaimanapun, kadangkala tuntutan toleransi dan pengorbanan itu tidak seimbang kerana kepentingan golongan atau mempunyai objektif tertentu.

``Faktor ketidakseimbangan adalah faktor yang dominan dalam mewujudkan sesuatu konflik,'' kata Dr. Nabir.

Menurut beliau, ketidakseimbangan itu termasuk juga perbezaan antara pendirian tradisi dengan kemajuan, antara kawasan, antara etnik, antara fahaman, antara kelas dan sebagainya.

Ketidakseimbangan yang terasas oleh faktor-faktor ini di peringkat ekstrem akan menyebabkan usaha-usaha pemisahan entiti dan politik berlaku.

Bagi menjelaskan perbezaan itu, faktor sejarah, perbezaan asal usul, budaya dan agama telah dijadikan landasan perjuangan. Misalnya, seperti apa yang berlaku di selatan Filipina dan sempadan Myanmar-Thailand. Malah, apa yang berlaku di Acheh dan beberapa konflik sebelumnya di Kalimantan, Sulawesi dan selatan Thai turut termasuk dalam kategori ini.

Menurut Dr. Nabir, faktor ketidakseimbangan itu akan melonjak lagi apabila tercetus perasaan cemas tentang robohnya benteng pertahanan (kelangsungan) sesuatu puak atau etnik, sama ada ancaman itu memang wujud atau sekadar tanggapan.

``Persoalan maruah terkandung dalam perasaan cemas itu. Maruah ini dilihat dalam bentuk agama, bangsa, bahasa, budaya, ekonomi dan kuasa,'' katanya.

Peristiwa di Kalimantan menunjukkan kewujudan unsur cemas tersebut. Puak Dayak melihat pencerobohan kawasan tradisi mereka sebagai mengancam kelangsungan atau survival mereka.

Sebenarnya, kehadiran orang Madura sudah lama berlaku tetapi kehadiran mereka dalam bilangan yang terlalu ramai dan berlakunya pencerobohan yang ketara telah mencetuskan konflik etnik Dayak-Madura.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Tengku Mohar Mokhtar berkata, konflik etnik boleh dilihat daripada banyak perspektif seperti pembentukan sistem politik.

``Ambil contoh di Indonesia, sistem politiknya agak berlainan, tidak seiring dengan masyarakatnya yang pelbagai kaum. Pada suatu masa Amien Rais (speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat) cuba mengubah sistem kepada sistem federalisme, sistem itu ada diamalkan di Malaysia sekarang.

``Ia (sistem itu) mempunyai kuasa tertentu yang sesuai dengan unit-unit iaitu negeri-negeri seperti yang diamalkan di Malaysia. Di Indonesia, kuasanya terlampau berpusat, tetapi kumpulan etnik pula adalah berbeza,'' katanya.

Misalnya, kes Timor Timur yang diperintah oleh Indonesia pada 1977. Begitu juga di Acheh yang merasakan perbezaan menerusi pemusatan kuasa. Perkara yang sama turut berlaku di Filipina di mana tonggak kuasanya berpusat di Manila.

Tengku Mohar berkata, konflik mungkin dapat dikurangkan jika negara itu berubah daripada pemusatan kuasa. Di Myanmar terdapat beberapa kumpulan masyarakat yang merasakan diri mereka terpinggir seperti etnik Shan, Karen dan Mon. Konflik etnik juga melibatkan masalah identiti kerana ia berbeza dengan ideologi politik.

``Pergantungan emosi itu timbul apabila bercakap fasal identiti. Jika identiti ditarik balik atau dicabar, pertempuran akan meletus atau (hubungan etnik) mungkin menjadi lebih bahaya,'' tegasnya.

Beliau berkata, permulaan bagi sesuatu konflik itu berlaku adalah berbeza-beza serta mempunyai sifat yang berlainan. Ia mungkin berkaitan dengan suasana masyarakat yang merasakan diri mereka mungkin terpinggir.

Selain itu, ia juga mempunyai kaitan dengan masalah sumber-sumber seperti tanah, kekayaan ekonomi, air dan sebagainya.

Dasar sosioekonomi yang tidak cukup lengkap boleh menyumbangkan kepada konflik etnik. Bukan mudah menguruskan masyarakat berbilang kaum. Malaysia, misalnya, mempunyai banyak bangsa di mana satu kaum (Melayu) dapat menerima kaum yang lain tinggal bersama mereka.

Golongan elit politik sesuatu kaum boleh membincangkan pengagihan kuasa dan kekayaan ekonomi. Idea atau prinsip utama sistem itu ialah setiap etnik akan merasakan mereka diwakili. Keadaan ini tidak berlaku di Indonesia di mana terdapat sesetengah etnik yang merasakan mereka tidak diwakili.

Tetapi kata Tengku Mohar, keadaan di Thailand agak berbeza dengan Indonesia kerana speaker Parlimennya pernah mempunyai seorang Islam yang mewakili masyarakat di Patani.

Meskipun kadangkala terdapat konflik etnik di Thai tetapi ia tidak melibatkan keganasan yang keterlaluan. Ini kerana kerajaan pusat di Thailand telah menggunakan pelbagai cara bagi mendekati masyarakat Patani.

Berdasarkan senario pada masa ini, pengurusan konflik etnik menjadi semakin penting bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pertempuran etnik.

Menurut Dr. Nabir, beberapa pertempuran baru akan muncul sama ada di kawasan yang telah pernah wujudnya konflik ataupun di beberapa kawasan baru.

Beliau berkata, di Vietnam sendiri telah wujud konflik etnik. Di barat laut Vietnam iaitu kira-kira 200 kilometer dari bandar raya Ho Chi Minh telah berlaku konflik yang mengorbankan tidak kurang daripada 100 orang.

``Dasar Vietnam yang meneruskan tradisi mem-vietnamkan semua etnik minoriti menjadi punca utama konflik itu,'' katanya.

Menurut Dr. Nabir, konflik etnik yang berlaku di barat Myanmar mungkin akan berlaku semula jika pengalaman yang dilalui oleh masyarakat Islam Rohingya diambil kira. Di Kemboja juga akan wujud konflik yang berteraskan kepada survival etnik.

Potensi konflik etnik mungkin kurang di selatan Thailand tetapi jika konsep Rat Thai (cintakan Thai) disalahgunakan bagi pencerobohan yang meningkatkan lagi ketidakseimbangan serta mewujudkan kecemasan survival etnik Melayu Patani, maka kemungkinan berlaku konflik tetap ada.

Seterusnya, di Filipina, kawasan di kepulauan Luzon juga mempunyai potensi konflik etnik terutamanya kerana faktor perlanggaran kawasan tradisi.

Mengenai pengurusan konflik etnik, Tengku Mohar berkata, terdapat dua kaedah pengurusan bagi menangani masalah tersebut iaitu di peringkat kerajaan setiap negara di rantau ini atau di peringkat pertubuhan serantau iaitu ASEAN.

Di peringkat negara, hanya kerajaan sesuatu negara yang boleh mencari jalan bagi menyelesaikannya. Di peringkat rantau, ASEAN perlu lebih memainkan peranan lebih efektif.

Tengku Mohar mencadangkan supaya diperbanyakkan program sosial antara negara atau program kebudayaan.

``Segi tiga ekonomi adalah cara baik dalam menangani soal ini kerana melibatkan pembangunan sosial,'' kata beliau.

Bagaimanapun, pengurusan konflik sahaja tidak membantu mencegah konflik etnik jika sesuatu etnik tidak dapat menerima identiti kenegaraan di sesebuah negara.

Ia banyak bergantung kepada sejauh mana seseorang atau sesuatu etnik menerima identiti kenegaraan.

Menurut Tengku Mohar, pengorbanan sesuatu etnik dalam menerima identiti kenegaraan adalah sangat penting. Begitu juga tentang pentingnya sesuatu etnik itu diwakili supaya tidak timbul perasaan mereka dipinggirkan oleh pemerintah atau kerajaan.

Bagaimanapun, dalam keghairahan meneruskan kelangsungan hidup masing-masing mungkin ada yang terlupa tentang pentingnya menghormati hak orang lain untuk turut sama memperoleh keselesaan dan keselamatan hidup.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.