VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
PENDIDIKAN

ARKIB : 20/02/2001

SMK Wakaf Bharu program kreatif ceriakan sekolah

Oleh: HAPIZAH AZIZ
PELAKSANAAN program-program yang kreatif dan mempunyai kepelbagaian motif, tetapi menjurus kepada satu tujuan - menceriakan sekolah - telah berjaya meletakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu di dalam kelasnya yang tersendiri.

Sekolah itu terletak di jajahan Tumpat, Kelantan.

Program-program keceriaan yang konvensional - seperti menghias sekolah dengan taman bunga atau melukis mural pada dinding-dinding - kini turut disulami dengan `budaya' yang lebih tuntas.

``Usaha lain untuk menceriakan sekolah terus dilaksanakan menerusi program budaya grafik, seni halus dan juga Teknologi Maklumat (IT),'' kata Pengetua sekolah tersebut, Mohd. Noor Zakaria.

Tiga blok bangunan sulung dibina pada 1981 bagi menempatkan tidak kurang 400 pelajar.

Seiringan dengan arus perubahan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu telah membiayai empat buah lagi di bawah projek segera pada 1993.

Mohd. Noor memberi taklimat kepada sekumpulan panel penilai Pertandingan Peningkatan Keselamatan, Keindahan dan Kebersihan (3K) yang memantau sekolah itu baru-baru ini.

Pertandingan yang masuk tahun ketujuh itu dianjurkan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan. Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi.

Mohd. Noor menambah, pihak pengurusan mengutamakan kerjasama guru, staf dan pelajar untuk menzahirkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Lapan persatuan pelajar menjadikan taman-taman sebagai projek angkat masing-masing.

``Ia berbaloi. Taman Koperasi dan Taman Puteri Islam terpilih taman tercantik,'' ujarnya.

Untuk menerap nilai murni dan disiplin kendiri, kata-kata hikmat dan motivasi juga tertera di sudut-sudut bangunan, bilik-bilik darjah dan tiang-tiang kantin.

Kata Mohd. Noor, setelah berjaya menanam disiplin kendiri, kini sekolah berkenaan mampu melaksanakan projek `sekolah tanpa loceng' yang bermula pada sesi persekolahan tahun ini.

``Kini, pelajar dan guru tidak terganggu lagi dengan bunyi bising deringan loceng,'' katanya.

Selain itu, menurutnya pengurusan sekolah turut memutuskan supaya dilaksanakan kelas tanpa bakul sampah, iaitu memastikan tidak terdapat sampah dalam kelas masing-masing.

``Mereka akan berusaha sendiri membuang sampah tetapi jangan sehingga mengotorkan bilik darjah,'' katanya.

Usaha gotong-royong membersihkan kawasan sekolah diadakan setiap dua bulan sekali.

Dari segi kokurikulum, sekolah itu turut mencatat pencapaian yang hebat.

Menurut Mohd. Noor, dengan pengurusan yang baik serta komitmen yang diberikan, sekolah itu berjaya mengekalkan johan tiga tahun berturut-turut dalam pertandingan koperasi (sekolah menengah harian) peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1996, 1997 dan 1998.

``Anugerah Sinar Wawasan `Kecemerlangan Kokurikulum' pula diisytiharkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas dan Tumpat pada tahun 1996, 1997, 1998 dan 2000,'' ujarnya.

Di samping itu, sekolah itu juga komited pada kejohanan peringkat antarabangsa seperti penyertaan dalam Kejohanan Sepak takraw Asia di Singapura, Kejohanan Silat Remaja Dunia di Hanoi dan berjaya memperoleh pingat perak dan gangsa.

Selain itu, Persatuan Bulan Sabit Merah pula menyertai Kuiz Undang-Undang Kemanusiaan peringkat antarabangsa.

Dari segi pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Mohd. Noor, sekolah tersebut memperoleh peratus keseluruhan 77.6 peratus dengan 87 pelajar mendapat pangkat satu, 86 pangkat dua manakala 69 pangkat tiga.

Dalam aliran sains pula, beliau berkata, kertas Kimia dan Biologi mencatatkan keputusan 100 peratus, sementara fizik 79.9 peratus.

Bagi sebuah sekolah luar bandar, menurutnya, pencapaian dua pelajar SM Wakaf Bharu yang mendapat 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah amat membanggakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.