VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 11/02/2001

Larangan-larangan semasa ihram

IBADAT haji merupakan ibadat badaniah yang memerlukan kefahamam mendalam dari setiap sudut bagi mengelakkan sebarang kecacatan pada ibadat tersebut.

Salah satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah larangan dalam ihram. Larangan-larangan dalam ihram perlu difahami secara teliti kerana ia merupakan ibadat ubudiah semata-mata kerana Allah. Ia tidak perlu ditanya kenapa dan apa hikmatnya.

Larangan ihram bermula apabila seseorang berniat ihram haji atau umrah sama ada di miqat, melalui atau sebelum miqatnya. Larangan-larangan tersebut adalah seperti berikut:

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki seperti memakai songkok, ketayap, serban dan sebagainya tetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh di bawah naungan pokok, payung atau berada dalam kenderaan.

2. Memakai pakaian yang bersarung, berjahit dan bercantum atau sebagainya seperti baju, seluar, sarung kaki dan semua benda yang bersarung dan bercantum bagi lelaki.

3. Menutup muka bagi wanita.

4. Memakai sarung tangan bagi lelaki dan wanita.

5. Memakai bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya.

6. Memakai minyak di kepala atau janggut.

Larangan-larangan tersebut dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud: Daripada Ibnu Umar bahawa katanya: Seorang lelaki bangun bertanya. Ya, Rasulullah, apakah pakaian yang tuan suruh kami pakai ketika ihram? Sabda Rasulullah s.a.w: Jangan kamu pakai baju dan jangan kamu pakai seluar dan jangan kamu tutup kepala (seperti serban, kopiah, songkok dan sebagainya) dan jangan kamu pakai kasut melainkan jika seseorang itu tidak mempunyai selipar, maka pakailah kasut dan potong kedua-duanya di belah bawah buku lali, dan jangan kamu pakai sesuatu daripada pakaian yang disapu dengan zakfaran dan wangi-wangian, jangan memakai tutup muka olah perempuan yang berihram dan jangan memakai dua sarung tangan (Riwayat-Tarmizi).

7. Menanggal (mencabut) rambut atau menghilangkan mana-mana bulu di anggota badan.

8. Memotong atau mengerat kuku kaki atau tangan, walaupun sebahagian daripadanya.

Firman Allah yang bermaksud: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah, maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul) serta sembelihlah dam yang mudah didapati dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul) sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya - (Surah Al-Baqarah: 196).

Dalam ayat ini diqiaskan mencukur itu kepada menggunting dan mencabut, dan diqias rambut muka dan rambut badan kepada rambut kepala dan juga kuku kepada rambut.

9. Mengerat, menebang atau mencabut segala tumbuh-tumbuhan yang sedang hidup di Tanah Haram sama ada tumbuhan itu pokok kayu ataupun rumput milik orang atau pun bukan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Bahawa negeri ini haram (ditegah beberapa perkara di dalamnya) ialah kerana ia diharamkan oleh Allah Taala. Dilarang memotong pohon kayunya, dan dilarang memeranjatkan binatang-binatang, dilarang memungut benda-benda milik orang lain yang tercicir di dalamnya dan dilarang mencabut rumputnya - (Riwayat Bukhari dan Muslim).

10. Memburu binatang perburuan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Haram atau Tanah Halal dengan cara membunuh, memukul, menjerat atau menangkap atau dengan apa cara yang menyakiti binatang-binatang itu, malah memeranjatkan atau mengejutkan binatang itu pun haram hukumnya.

Firman Allah yang bermaksud: Diharamkan atas kamu memburu di darat selama kamu di dalam - (Surah Al-Maidah-96).

11. Bersetubuh atau jima.

Firman Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah -(Al-Baqarah-197).

Larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, sama ada dengan perbuatan atau perkataan, dan larangan maksiat pula termasuk segala yang dilarang dalam masa mengerjakan haji seperti berburu dan lain-lainnya.

Dalam ayat ini tiga perkataan digunakan iaitu Rafath, Fusuq dan Jidal yang menjadi perkataan terlarang. Perkataan Rafath bermaksud setiap perbuatan dan perkataan yang tidak sopan, yang karut dan yang sia-sia sehingga dalam hal hubungan kelamin dengan isteri juga termasuk di dalamnya. Malahan dengan cara gerakan tangan dan mata ke arah perbuatan itu pun hendaklah dijauhkan. Ringkasnya, segala bentuk perbuatan yang sedemikian atau lain-lainnya yang menimbulkan nafsu keberahian adalah dicela.

Perkataan Fusuq yang bermaksud keji di sini menggambarkan setiap bentuk keingkaran kepada perintah Allah Taala seperti mengumpat, mencela, maki-hamun, hasad dengki dan sebagainya, apatah lagi kalau tidak melaksanakan perintah-perintah yang wajib.

Perkataan Jidal yang bermaksud perbalahan termasuklah pertengkaran, perkelahian dan pergaduhan yang dianggap dosa semasa haji. Perkataan Jidal disebutkan secara khusus, walaupun pada hakikatnya tergolong dalam bahagian Fusuq di atas (pertengkaran, perbalahan ilmu walaupun yang tidak mendatangkan dosa adalah termasuk juga).

Ganjaran bagi haji dan umrah yang mabrur iaitu yang diterima Allah ialah syurga. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: Dosa yang berlaku di antara dua umrah adalah dihapuskan dan Haji mabrur (haji yang diterima) itu tiada balasan baginya melainkan syurga.

12. Melakukan perkara-perkara pendahuluan untuk bersetubuh seperti bercium-cium dan berkucup-kucupan yang menaikkan nafsu syahwat.

13. Akad nikah sama ada ijab atau kabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Daripada Othman bin Affan bahawa Rasulullah bersabda, Orang-orang yang sedang ihram itu tidak boleh kahwin (nikah) dan tidak juga boleh menikahkan serta tidak pula boleh meminang - (Riwayat Muslim).

Larangan dalam ihram yang disebut bagi perkara 1-12 di atas sekiranya dilakukan adalah dikenakan dam tetapi pada perkara 13 pula walaupun tidak dikenakan dam ia adalah haram dan berdosa.

TAKRIF DAM

Dikehendaki membayar dam menggunakan binatang anam seperti unta, lembu, kerbau, kambing, kambing biri-biri dan kibasy yang disembelih dan penggantinya daripada makanan dan puasa.

Seseorang diwajibkan membayar dam dengan sebab-sebab melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

* Melakukan perkara yang dilarang dalam masa berihram.

* Meninggalkan perkara-perkara wajib haji dan umrah.

* Membuat haji Tamattu atau Qiran (menurut syarat-syarat yang wajib dibayar dam).

* Luput wuquf di Arafah bagi mereka yang tidak ada uzur syarie.

* Berlaku ihsar bagi orang yang telah berniat ihram (terhalang daripada menyempurnakan wuquf di Arafah, tawaf atau saie dengan sebab ketakutan daripada musuh, penyakit dan sebagainya).

JENIS-JENIS DAM HAJI DAN UMRAH
Ia terbahagi kepada empat bahagian seperti berikut:

Dam Tertib dan Taqdir

Tertib: Bermakna satu daripada satu tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain, kecuali tidak terdaya melakukannya.

Taqdir: Bermakna penentuan syarak sebagai ganti. Dam ini dikenakan jika jemaah melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

* Ihram Tamattu (dengan syarat-syaratnya)

* Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)

* Luput wuquf di Arafah

* Tidak melontar jamrah

* Tidak bermalam di Muzdalifah (dengan syarat-syaratnya).

* Tidak bermalam di Miqat

* Meninggalkan tawaf wada

* Melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji.

Dam Tertib dan Tadil

Tadil: Bermakna apabila seorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan hendaklah digantikan dengan puasa. Dam yang dikenakan seperti berikut:

* Melakukan persetubuhan yang merosakkan haji iaitu dilakukan sebelum Tahallul Awal atau sebelum selesai mengerjakan umrah.

* Tertahan/ditahan oleh musuh dalam perjalanan atau terkepung tidak dapat masuk ke Mekah sedangkan ia sudah berniat ihram.

Dam Takhyir dan Tadil

Takhyir: Bermakna boleh dipilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Dam yang dikenakan seperti berikut:

* Memburu binatang buruan.

* Menebang, mengerat atau mencabut pokok dalam tanah haram Mekah (kecuali pokok yang mati).

Dam Takhyir dan Taqdir

Pengertiannya bermakna satu ketetapan pada barang yang boleh diganti. Dam yang dikenakan seperti berikut:

* Membuang/mencabut/menggunting tiga helai rambut atau bulu dari mana-mana anggota.

* Memakai pakaian yang dilarang dalam ihram dengan sengaja.

* Mengerat kuku, menanggalkan atau membinasakannya.

* Memakai bau-bauan dengan sengaja.

* Memakai minyak di kepala/janggut/semua bulu muka selain daripada bulu tumbuhan di pipi dan didahi.

* Melakukan perkara permulaan persetubuhan dengan sengaja.

* Melakukan persetubuhan selepas selesai Tahallul Awal, tetapi belum selesai Tahallul Thani dengan sengaja.

* Melakukan persetubuhan selepas persetubuhan yang merosakkan haji dengan sengaja.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.