ARKIB : 01/02/2001
Modenas mahu teroka pasaran luar negara
GURUN 31 Jan. - Pengeluar motosikal nasional, Motor dan Enjin Nasional Bhd. (Modenas), berhasrat menerokai pasaran negara-negara ASEAN secara agresif terutamanya Indonesia dan Thailand.
Syarikat pengeluar motosikal nasional model Kriss dan Jaguh itu melihat pasaran ASEAN sebagai penyumbang utama terhadap pendapatan syarikat pada masa depan, kata Nik Danial Nik Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), syarikat milik penuh Modenas yang bertanggungjawab terhadap pemasaran.
``Modenas tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tempatan kerana pasaran yang kecil iaitu sekitar 200,000 unit setahun. Jadi kita harus melihat ke negara-negara jiran yang paling dekat di negara-negara ASEAN.
``Di Indonesia pasaran motosikalnya sekitar sejuta unit setahun, begitu juga jumlah yang sama di Thailand,'' katanya dalam temu bual di kilang pengeluaran di sini.
Katanya, dengan perlaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi industri automotif pada 2005, syarikat itu melihat peluang untuk menguasai sebahagian daripada pasaran negara ASEAN.
Modenas telah menerokai pasaran antarabangsa sejak hujung tahun 1997 lagi dengan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran tahunan adalah untuk pasaran eksport bermula dengan Kemboja dan Greece pada 1997.
Pada tahun-tahun berikutnya pasaran luar negara semakin meluas iaitu ke Afrika Selatan, Iran, Vietnam, Turki, Argentina, Malta dan Brunei.
Di Iran, Kemboja dan Vietnam, Kriss dipasang di negara-negara berkenaan, katanya.
Nik Danial berkata, Modenas pada peringkat awal ini mensasarkan hanya menguasai lima peratus daripada pasaran motosikal kedua-dua negara itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Katanya, pada peringkat permulaan ini, nama Modenas akan `dijual' terlebih dahulu iaitu dengan mengadakan promosi bagi memperkenalkan syarikat berkenaan dan kemudian barulah motosikal akan dibawa masuk.
Beliau berkata strategi yang akan digunakan dalam menarik perhatian pembeli kedua negara berkenaan adalah motosikal yang berkualiti, harga yang boleh bersaing ataupun lebih murah.
Modenas sedang berusaha untuk mengurangkan kos pengeluaran dengan mendapatkan bekalan komponen-komponen dan alat-alat daripada sumber yang berpatutan, katanya.
``Dalam tempoh beberapa tahun lagi, kita berharap Modenas akan berada sebaris dengan Honda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki di Indonesia dan Thailand,'' katanya dengan penuh yakin.
Mengenai pasaran tempatan, Nik Danial berkata Kriss telah menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam menguasai segmen motosikal empat lejang berkuasa 91-121 cc yang berjumlah keseluruhannya 218,500 unit.
Pada tahun 1997 Modenas menjual sejumlah 99,800 unit motosikal iaitu bersamaan dengan 46 peratus daripada keseluruhan pasaran segmen tersebut.
Pada 1998, berikutan kelembapan ekonomi, jualan telah menurun kepada 75,100 unit (45 peratus daripada jumlah pasaran yang berjumlah 168,000 unit), dan terus merosot kepada 73,550 unit atau 42 peratus daripada pasaran yang berjumlah 174,050 unit pada 1999.
Dengan pemulihan ekonomi pada tahun lepas, pencapaian Modenas terus meningkat dengan menguasai 50 peratus daripada 189,300 unit pasaran motosikal jenis berkenaan.
Modenas meramalkan prestasi syarikat akan lebih meningkat tahun ini dengan Kriss dijangka menguasai sebanyak 52 peratus dari pasaran motosikal yang dijangka berjumlah 190,000 unit.
Sementara di dalam segmen motosikal berkuasa kuda 175 c.c. motosikal Jaguh Modenas pula dijangka mencapai jualan sebanyak 5,000 unit pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Rashid Din berkata pengeluaran kilang dapat dipertingkatkan pada bila-bila masa untuk menampung permintaan pasaran yang semakin besar.
Katanya, sekarang ini kilang berkenaan hanya beroperasi pada tahap 60 peratus daripada kapasiti sebenar dan sekarang ini mengeluarkan kira-kira 100,000 unit motosikal setahun.
Bagi tahun kewangan yang berakhir Mac ini, Modenas dijangka mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM25 juta, satu peningkatan yang agak besar berbanding keuntungan sebanyak RM15 juta bagi operasi tahun sebelumnya, kata beliau.
Katanya, Modenas dijangka mengeluarkan motosikal yang ke setengah juta dalam masa beberapa bulan lagi. - Bernama
OCBC semak semula KDNK kepada 5 peratus
Industri batik tempatan diyakini terus berkembang maju
Kewangan berlandas syariah jadi pilihan
Pendapatan tambahan RM27b
Ekonomi dijangka kukuh separuh kedua
MITI fokus bantu tingkat ekonomi
MYCEB rancang tarik 130,000 delegasi perniagaan antarabangsa ke Malaysia
Kunjungan Obama beri pengiktirafan kepada Malaysia
Kestabilan politik, keyakinan pelabur kembangkan ekonomi
Jualan kenderaan naik kepada 52,489 unit
Penyelesaian kewangan Islamik perlu inovatif
PKS Malaysia tabah dalam perniagaan - kajian Regus
Ekonomi tumbuh 4.1%
FPM perkukuh perniagaan baja
Penglibatan dalam TPP penting - MITI
TM komited jadi pemangkin PKS
Gas Malaysia dapat bekalan tambahan
CIMB hadapi kesukaran kuasai bank Filipina
Sukuk Sime Darby terima status Emas
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









