VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 03/12/2000

Pesta Tamu Besar Kota Belud


DUA ekor kuda ini dihias begitu indah dalam Pesta Tamu Besar Kota Belud.


GELARAN Cowboy of The East bagi penunggang-penunggang kuda di Kota Belud, kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada aset yang amat berharga yang boleh dimanfaatkan bagi menarik kedatangan pelancong ke daerah ini.

Oleh sebab itu Tamu Besar Kota Belud yang diadakan pada November setiap tahun begitu meriah kerana kehadiran para penunggang kuda yang unik itu. Ia menyerlahkan lagi pesta yang dianggap antara pesta kebudayaan terbesar di Sabah.

Uniknya penunggang kuda ini bukan sahaja kerana ia sebagai simbolik dan identiti bagi Kota Belud tetapi wujudnya beberapa ciri perbezaan dengan cerita-cerita country yang mengisahkan kehidupan rutin masyarakat berkuda di negara barat.

Ini kerana, setiap kuda masyarakat Bajau dihiasi dengan perhiasan bercirikan tradisi dan budaya, suku kaum yang amat sinonim dengan Kota Belud.

Cowboy barat biasanya bersenjatakan pistol dan bertopi sedangkan cowboy Kota Belud 'bersenjatakan' keris di pinggang.

Selain itu kuda-kuda juga berhias dengan kain baldu yang ditenun pelbagai corak dan warna.

Tempat duduk pelana dipanggil pakol manakala tali pemegang dipanggil tali kakang. Pada bahagian leher kuda terdapat lapan atau tujuh loceng kecil yang dipanggil serian.

Penunggang kuda pula memakai pakaian yang dipanggil podong sampit. Selain itu penunggang memakai sigar di kepala.

Semangat dan tradisi berkuda yang sudah diwarisi sejak turun temurun masih diamalkan tetapi 'pahlawan kuda Bajau' ini kini tampil dalam persembahan yang lebih kontemporari.

Secara kebetulan pula, asal usul nama Kota Belud sebenarnya terbit daripada cerita peperangan antara penduduk daerah ini pada masa dahulu.

Perkataan Kota Belud dalam bahasa Bajau bermakna 'kubu pertahanan di atas bukit'. 'Kota' bermakna kubu pertahanan manakala 'Belud' bermakna bukit.

Dahulu pertelingkahan untuk merebut kekuasaan memaksa suku kaum Bajau membina kubu pertahanan di atas bukit. Cerita itu kini sudah tersurat dalam lipatan sejarah.

Kisah yang tersirat pula ialah pesta Tamu Kota Belud bukan sekadar 'penunggang atau pahlawan kuda Bajau'.

Kini Pesta Tamu Besar Kota Belud terus meniti di bibir pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun kerana daya tarikannya yang tersendiri.

Tamu Besar Kota Belud bukan pesta kebudayaan dan hiburan semata-mata.

Saban tahun pesta ini yang dikatakan mula diadakan pada awal 1990-an lebih daripada sekadar himpunan manusia dan semangat 'Kuda Bajau'.

Empat suku kaum utama di daerah ini yang mempunyai penduduk hampir 70,000 orang membentuk satu warna-warni budaya kerana setiap suku kaum terbesar iaitu Bajau Kadazandusun, Iranun dan Ubian memiliki ciri-ciri kebudayaan masing-masing.

Sebagai contoh, selain 'pahlawan kuda Bajau', masyarakat Bajau terkenal dengan tarian kuda pasu, limbai.

Acara ini kerap dipersembahkan dalam Tamu Besar Kota Belud dengan pakaian tradisional sigar (lelaki) dan serimpak (wanita) di kepala. Selain itu suku kaum Bajau juga terkenal dengan kehalusan seni tangan pembuatan parang.

Masyarakat Iranun pula terkenal dengan persembahan tarian sumaranun dan pakaian tradisional dikatakan yang hampir sama dengan suku kaum Bajau.

Suku kaum Kadazandusun di daerah ini pula terkenal dengan pakaian sinipak dan dastar atau sigar. Mereka juga terkenal dengan permainan tradisional mabinti atau lawan kaki dan miokud atau tinju lutut dan migusa atau lumba lari mendaki bukit.

Masyarakat Kadazandusun di sini yang terbahagi kepada Dusun Tindal dan Dusun Tobilung terkenal dengan tarian mongigol dan pokudinding sedangkan suku kaum Ubian pula yang memiliki pakaian tradisional tersendiri terkenal dengan tarian daling-daling.

Gabungan ciri-ciri kebudayaan inilah yang menjadikan Tamu Besar Kota Belud begitu unik dan istimewa. Komposisi pelbagai suku kaum yang disebutkan itu adalah 'warna' semulajadi kepada kemeriahan pesta tersebut.

Sebagai contoh, pada Tamu Besar 2000 yang diadakan baru-baru ini, pengunjung pesta yang dianggarkan mencecah angka 10,000 orang berpeluang menyaksikan persembahan perkahwinan 'olok- olok' suku kaum Bajau, Iranun dan Dusun Tobilung.

Dalam pada itu, aktiviti harian penduduk di sini juga banyak mencorakkan perayaan tamu besar itu. Sebagai masyarakat yang bercucuk tanam, kerbau dan lembu merupakan haiwan yang amat penting membantu mereka mengerjakan tanah.

Adakalanya, lelongan lembu dan kerbau diadakan sempena tamu besar.

Bagaimanapun acara yang menarik setiap kali tamu ialah pertandingan lumba kerbau lurus, pertandingan sapi (lembu), pertandingan lumba kerbau tukar bendera, tarik tali berkuda dan kemahiran menangkap lembu.

Sebenarnya, selain tamu besar, Kota Belud juga mengadakan tamu mingguannya yang diadakan di tapak tamu di tebing Sungai Tempasuk.

Pelancong-pelancong yang ingin mengunjungi tamu mingguan setiap Ahad boleh menggunakan kenderaan sendiri melalui lebuh raya yang baik dan hanya memakan masa kira-kira 45 minit perjalanan.

Oleh: LAUPA JUNUS

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.