VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 September 2014 / 25 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 14/11/2000

Festival Zapin ..memantap kesenian tradisi


Kanak-kanak dari Sekolah Jenis Kebangsaan Li Chi dalam Festival Zapin 2000 di Johor Bahru Jumaat lalu.


Apabila 40 kumpulan kira-kira 400 aktivis tarian zapin berkampung di kampus UTM Skudai minggu lalu, ini memberi petanda, kesenian itu melalui proses pemuliharaan yang terancang.

Pada Jumaat lalu pula telah berlangsung Festival Zapin Johor 2000 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mendapat sambutan hebat daripada masyarakat pelbagai lapisan.

Kesenian tradisi sewajarnya menjadi keperluan dalam pembangunan sosial masyarakat setempat dan bukannya digerakkan semata-mata memenuhi tuntutan pelancong.

Sektor pelancongan tidak wajar menentukan bentuk, pendekatan dan jurus pembangunan kesenian tradisi negara ini yang menjadi wadah sosial masyarakat tempatan meredah modenisasi. Pelancong yang sekali sekala datang sewajarnya dihidangkan sesuatu yang menjadi budaya dalam masyarakat, bukan paparan artificial semata-mata untuk pelancong.

Kerana itu pembangunan dan pemuliharaan kesenian harus bertolak daripada matlamat yang jelas kerana selain menjadi manifestasi rakyat, kesenian juga sebagai entiti budaya yang wujud sebelumnya.

Masyarakat setempat tidak harus menjadi penonton kepada kesenian tradisi mereka yang kering kerana pembangunan dilakukan hanya bagi memenuhi formula pelancongan.

Setiap negeri di negara ini mempunyai kesenian tradisi masing-masing dan itu adalah ekspresi yang harus dilangsungkan supaya akar falsafah pemikiran silam dimanfaat dan diterjemahkan dalam sistem sosial moden masa kini. Metafora daripada gerak, warna dan bunyi perlu dihayati dan diadaptasi dalam kehidupan sosial masa kini. Modenisasi tidak pernah memusuhi tradisi selagi manusia merasakan mereka memerlukan akar tradisi untuk menentukan arah kehidupan moden.

Kesenian tradisi terus tumbuh, dibaja dan menjadi sebahagian daripada tuntutan sosial masyarakat pelbagai kaum di Johor.

Festival Zapin Johor 2000 memperlihatkan kesenian tradisi ini tidak terpinggir atau dipinggir dalam pembangunan manusia dan fizikal di Johor. Kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor positif terhadap kesenian tradisi negeri itu yang terus wujud dalam masyarakat masa kini.

Daripada 40 kumpulan zapin ini, 15 kumpulan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir di Festival Zapin Johor 2000.

Bagaimanapun pertandingan bukanlah ukuran utama dalam usaha menyemarakkan kesenian zapin dalam masyarakat. Sebaliknya usaha-usaha pemuliharaan yang berterusan, positif dan mempunyai matlamat untuk dimanfaat oleh masyarakat setempat yang lebih penting. Kerajaan Johor memilih pendekatan yang tidak popular tetapi ternyata memberikan satu kesan yang besar.

Semasa melangkah masuk ke Stadium Tertutup MBJB, penonton yang berasak-asak dan memenuhi stadium itu memberikan satu tanggapan awal bahawa kesenian tradisi khususnya zapin berkembang dan dihayati oleh kalangan masyarakat. Zapin bukan kesenian pop seperti yang selalunya dikaitkan dengan gejolak jiwa remaja. Tetapi di stadium itu, sebahagian besarnya terdiri daripada remaja dan mereka tentunya tidak dipaksa menonton. Mereka datang kerana mempunyai penghayatan tentang sesuatu kesenian itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika ditemui berkata, kesenian tradisi seperti ghazal dan zapin ada di setiap mukim di negeri itu dan beliau mengambil pendekatan mengembangkan kesenian itu di peringkat akar umbi lagi.

"Pembangunan kesenian tradisi bukan untuk pelancong tetapi diserapkan dalam kehidupan sosial harian masyarakat. Nilai-nilai kesenian tradisi ini diharapkan menjadi satu nilai hidup yang sihat dalam masyarakat,'' tegas Abdul Ghani yang mahu kesenian tradisi Johor terus dikembangkan dalam masyarakat.

Yayasan Warisan Johor kelihatan membawa negeri ini mendahului negeri-negeri lain yang tidak kurang warisan kesenian tradisinya dengan agenda pemuliharaan dan pengembangan yang tersusun. Ini antara yang menyokong kesenian tradisi tidak hanya menjadi penghias kepada acara-acara rasmi tetapi menjadi keperluan dalam masyarakat.

"Di sekolah Cina pun ada kumpulan tarian zapin. Di tadika pun ada. Saya anggap kesenian ini telah menjadi keperluan sosial yang wajar diberi perhatian khusus,'' kata Abdul Ghani lagi. Di Johor ketika ini, tarian zapin bukan hanya diperlukan untuk acara rasmi tetapi menjadi acara dalam aktiviti sosial masyarakat Melayu.

Ini ditambah dengan sejarah asal usul zapin, bentuk, struktur gerak dan nilai-nilai ketertiban yang menjadi suatu keutamaan dalam persembahan tarian zapin. Faktor ini menjadi pemangkin kepada zapin untuk berada dalam masyarakat tanpa sebarang prejudis.

Festival Zapin Johor 2000 membuktikan kata-kata Abdul Ghani apabila terdapat lima kategori yang bertanding iaitu kategori sekolah rendah, menengah, mukim, jabatan kerajaan dan kategori terbuka. Ini memperlihatkan zapin diterima dan menjadi satu apresiasi semua golongan dalam masyarakat.

Kumpulan yang bertanding di peringkat akhir festival itu kelihatan membuat persiapan mental dan fizikal yang bersungguh-sungguh. Keunikan berbagai-bagai jenis zapin di Johor dipamerkan dalam struktur yang hampir sama.

Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampio 1. Tempat kedua oleh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Li Chi. Kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Telok Kerang, kategori mukin oleh Mukim Pontian, kategori jabatan kerajaan dimenangi oleh kumpulan Kontinjen Polis Johor Bahru sementara kategori terbuka oleh kumpulan Saujana.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.