VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 03/09/2000

Skandal seks Gus Dur

Pendedahan wanita itu yang sebelum ini hanya diketahui oleh anggota-anggota Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) benar-benar menggemparkan semua pihak apatah lagi ia mendapat liputan luas media utama di Indonesia.

Aryanti Boru Sitepu, itulah nama wanita yang kini menjadi buruan banyak pihak sama ada untuk mendapat kepastian daripadanya atau mengancamnya.

Segalanya bermula apabila wanita yang sudah tiga kali berkahwin ini mengedarkan gambar dirinya dan Gus Dur dalam satu pos yang cukup menarik dalam kamar 107, Hotel Harco, Jalan Raden Salleh, Jakarta pada tahun 1996 kepada semua anggota MPR.

Gambar itu menunjukkan Aryanti duduk di atas riba Gus Dur dengan memakai pakaian yang agak seksi. Bagaimanapun ketika itu anggota-anggota MPR tidak begitu mempedulikan pendedahan Aryanti.

Apatah lagi ia melibatkan seorang pemimpin bertaraf ulama dan kiai.

Lanjutan itu, Aryanti bertindak lebih jauh dengan mengadakan sidang media untuk mendedahkan segala-galanya mengenai hubungan dirinya dengan Gus Dur.

''Saya tidak mempunyai apa-apa motif, apatah lagi untuk meminta wang, apa yang ingin saya dedahkan ialah kebenaran supaya rakyat tahu siapa pemimpin mereka sebenarnya,'' kata Aryanti dalam wawancara dengan salah sebuah majalah terkenal Indonesia, GATRA.

Aryanti mendakwa dia mula mengenali Gus Dur melalui seorang rakan Presiden Indonesia itu yang dikenali sebagai Haji Sulaiman pada Mei 1995.

Ketika itu Aryanti menunaikan haji dan mengikut rombongan Haji Sulaiman. Mereka bertemu sekali lagi selepas pulang dari tanah suci kerana Aryanti ingin menunjukkan gambar-gambar ketika di Mekah.

Dalam pertemuan kedua, Sulaiman mengajak Aryanti ke ibu pejabat Nahdatul Ulama (NU) dan di situlah dia mula mengenali Gus Dur.

Ketika itu Gus Dur masih lagi sihat dan belum diserang penyakit strok yang menyebabkan beliau kehilangan penglihatannya.

Sejak pertemuan itu Gus Dur yang memanggil Aryanti dengan panggilan 'Yan' sering menghubunginya. Aryanti mendakwa, Gus Dur sering menelefonnya selepas subuh.

''Kami akan berbual antara satu jam hingga satu setengah jam,'' katanya.

Ketika pertemuan kedua, Gus Dur sedang bersiap-siap untuk ke Bali iaitu pada Oktober 1995. Aryanti menyatakan hasrat untuk ikut sama rombongan NU dengan membawa anak perempuannya. Gus Dur membenarkannya.

Di Bali, mereka bersama-sama Sulaiman dikatakan tinggal di sebuah hotel yang agak mewah. Di Pulau Dewata inilah Aryanti mendakwa 'tidur sekamar' dengan Gus Dur.

''Pada mulanya saya tolak kerana belum menikah lagi, tambahan pula saya masih lagi menjadi isteri orang, tetapi ketika itu Gus Dur kata, tidak ada apa-apa selepas ini kita taubat,'' kata Aryanti.

Aryanti mengakui mempunyai fikiran yang cetek tentang agama dan mempercayai sahaja kata-kata Gus Dur. Sejak itu hubungan mereka semakin akrab dan Aryanti kemudian meminta cerai daripada suami keduanya, Yanur.

Ini kerana ketika itu Gus Dur berjanji untuk mengahwininya. Yanur bersedia melepaskan Aryanti dengan syarat dia membuktikan hubungan sulitnya dengan Gus Dur.

Aryanti yang kerap mengadakan pertemuan dengan Gus Dur di Hotel Harco akhirnya mengambil gambar mereka berdua. Gambar itu dirakamkan oleh seorang kakitangan hotel berkenaan.

Bagaimanapun hubungan antara Aryanti dan Gus Dur menjadi semakin renggang selepas Gus Dur diserang strok pada awal tahun 1997. Malah Gus Dur tidak lagi menghubungi Aryanti.

Semua itu telah menimbulkan kekecewaan Aryanti sehingga mendorong dirinya melakukan pendedahan yang dianggap boleh memalukan Gus Dur yang bukan sahaja seorang Presiden tetapi juga seorang kiai.

''Saya kecewa kerana dia membohongi saya. Saya tidak peduli dia sudah menjadi Presiden kerana sekarang ini pun saya sudah berkahwin, apa yang ingin saya tegakkan ialah kebenaran,'' katanya.

Tindakan Aryanti ternyata berbahaya kepada dirinya kerana sejak minggu lalu dia terpaksa berpindah-randah kerana menerima ancaman daripada pihak tertentu.

Walaupun pendedahan Aryanti dan media massa mengenai hubungan sulit Gus Dur itu disertakan dengan bukti-bukti termasuk pengesahan daripada pekerja-pekerja Hotel Harco termasuk kakitangan hotel yang merakamkan gambar-gambar Gus Dur dan Aryanti, namun masih ada pihak mempertikaikannya.

Ini kerana selain latar belakang Aryanti yang dianggap 'tidak begitu baik', motif dia bekerjasama dengan bekas suami keduanya, Yanur untuk mendedahkan perbuatan Gus Dur turut dipersoalkan.

Apatah lagi Aryanti dikatakan pernah menerima Rupiah 100 juta daripada seorang lelaki sebagai 'hadiah' pendedahannya.

Walaupun pada mulanya Aryanti tidak mahu menerima bayaran itu kerana menganggap pendedahan itu bukan kerana wang tetapi dia akhirnya menerima juga wang tersebut.

Adik Gus Dur, Solahuddin Wahid menyifatkan semua pendedahan itu bertujuan politik dan berhasrat untuk menjatuhkan Gus Dur daripada kerusi Presiden.

''Saya pernah lihat gambar yang dihebohkan itu, ia jelas satu usaha yang direncanakan secara sistematis, oleh itu saya yakin Aryanti telah diperalatkan untuk mendedahkan ini semua,'' katanya.

Solahuddin juga mempertikaikan keaslian gambar berkenaan dan mahu siasatan dijalankan untuk mengesahkan keasliannya.

Bagaimanapun pekerja hotel yang terlibat mengakui bahawa dia yang merakamkan gambar kontroversi tersebut.

''Foto itu memang saya yang rakamkan, waktu itu saya menghantar makanan, Gus Dur minta tolong saya,'' kata lelaki berkenaan yang kemudian terpaksa menyembunyikan diri selepas diburu oleh pihak-pihak tertentu yang tidak merasa senang dengan pengakuannya kepada media.

Seorang pakar multimedia dari Yogyakarta, R.M Roy Suryo mengesahkan foto Gus Dur dan Aryanti itu adalah foto asli dan bukannya direka dengan menggunakan teknik komputer atau kamera.

Tetapi pemimpin-pemimpin NU tetap me-nganggap pendedahan Aryanti dan pengedaran foto itu sebagai cara paling buruk yang digunakan untuk menjatuhkan Gus Dur.

''Itu semua isu murahan setelah mereka gagal menjatuhkan beliau melalui perlembagaan,'' kata Ketua Bidang Politik NU, Ahmad Bagdja.

Menurut Ahmad, kisah hubungan sulit Gus Dur dan Aryanti bukannya kali pertama disebarkan malah sejak Muktamar NU pada 1995 lagi.

''Dengan kemajuan teknologi sekarang, tidak mustahil gambar itu adalah satu rekaan,'' katanya.

Sememangnya tidak diketahui sejauh manakah kebenaran pendedahan Aryanti. Tetapi ramai juga pihak di Indonesia yang mempercayainya memandangkan Aryanti begitu lantang mendedahkannya kepada media massa.

''Kalaupun dia melakukan perkara tersebut kerana wang, saya rasa tidak setimpal kerana ini melibatkan soal maruah, mungkin ada mesej yang dia hendak sampaikan,'' kata seorang diplomat asing dari sebuah negara Islam.

Namun begitu Gus Dur ternyata tidak tergugat dengan isu ini, malah beliau enggan menjawab sebarang pertanyaan wartawan mengenai perkara tersebut Selasa lalu.

Bagi Gus Dur, dakwaan Aryanti itu tidak perlu dilayan kerana ia merupakan sebahagian konspirasi politik dalam usaha menjatuhkannya.

Begitu juga dengan anggota-anggota NU, mereka tenang sahaja menghadapi isu tersebut walaupun sebelum ini ada anggotanya yang 'menawan' sebuah pejabat media kerana memaparkan isu rasuah melibatkan Gus Dur.

Aryanti pula terus mempertahankan dakwaannya kerana yakin apa yang dia lakukan adalah demi menegakkan kebenaran.

Kini isu hubungan sulit itu terus menjadi tumpuan rakyat Indonesia. Akhbar-akhbar yang memaparkan isu itu laris dijual di pasaran.

Semua pihak sedang menanti kesudahan episod yang menggemparkan ini.

Mereka yakin kesudahannya kebenaran pasti akan terserlah juga. Oleh itu sebagai seorang ulama, Gus Dur sudah tentu memahami keadaan ini. - MINGGUAN.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.