VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 27/04/2000

Melindungi kepentingan maritim


AJ BAKAR


MUKADIMAH
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut hari ulang tahun penubuhannya ke-66 hari ini dengan tema 'Membudayakan Kecemerlangan TLDM'.
Pemilihan tema itu dilihat sebagai pemangkin dan pemberi peringatan kepada semua anggota TLDM tentang pengkhususan tugas masing-masing dan juga cara pelaksanaan tugas harian.

Selain bertanggungjawab memastikan keselamatan maritim negara terus terpelihara, TLDM juga harus melengkapkan diri dengan pengetahuan semasa khususnya dalam teknologi maklumat (IT).

Ini penting agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana yang semakin mencabar dan rencam sifatnya termasuk isu-isu politik, semasa dan ekonomi yang mungkin boleh dijadikan alat oleh pihak luar untuk menimbulkan anarki di dalam negara.

Bagi meninjau persediaan dan kesiap siagaan TLDM pada alaf baru ini, wartawan Utusan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu ramah Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Abu Bakar Jamal (AJ BAKAR), baru-baru ini.

UTUSAN: Bolehkah Datuk Seri mengulas lanjut tema ulang tahun TLDM ke-66 'Membudayakan Kecemerlangan TLDM'?

AJ BAKAR: Setiap tahun kita mempunyai tema sambutan hari TLDM dan tahun ini tema tersebut telah dipilih. Ia dipilih untuk mengingatkan anggota tentang pengkhususan pemikiran dan cara pelaksanaan tugas harian.

Tema ini adalah bertepatan dengan wawasan dan amalan 'Pengurusan Kualiti Menyeluruh' (TQM) yang diguna pakai sejak satu dekad lalu.

Kita dapati ia mendatangkan banyak manfaat. Selain menjimatkan masa, tenaga dan biaya, konsep budaya cemerlang akan merangsang peningkatan produktiviti dan menjamin TLDM terus mampu berdaya saing menghadapi cabaran abad ke-21.

UTUSAN: Bagaimana dengan program pembangunan TLDM?

AJ BAKAR: Hari ini genaplah usia TLDM 66 tahun. Setelah melalui liku-liku sejarah dan rentetan peristiwa yang panjang, TLDM kini semakin berkembang dan mempunyai keanggotaan kira-kira 15,000 orang selain dilengkapkan dengan 54 buah kapal pelbagai jenis dan beberapa helikopter Wasp.

TLDM kini dalam rangka melaksanakan pemodenan yang merangkumi pembangunan aset-aset termasuk kelengkapan, prasarana dan sumber manusia.

Kita telah memperoleh empat kapal Korvet dari Itali, kapal Frigat dari United Kingdom selain beberapa perolehan baru seperti Kapal Peronda Pesisir Pantai (OPV), Kapal Hidrografi dan helikopter generasi baru 'Super Lynx' yang dijangka menyertai TLDM pada 2004 hingga 2006.

Selain itu, keupayaan aset-aset lama akan terus ditingkatkan melalui program pemodenan. Peralatan penting seperti komunikasi, alat pandu arah dan alat peperangan elektronik seperti ESM yang telah usang digantikan.

Kita banyak terlibat dalam latihan dengan pihak tentera laut asing. Justeru, adalah penting memastikan kita setaraf dengan mereka kalaupun tidak lebih baik daripada mereka. Dari segi prasarana, beberapa pangkalan baru telah dirancang untuk mengurus dan menyelenggara aset dengan lebih sempurna.

Umpamanya, projek Pangkalan Mawilla 3 di Pulau Langkawi, Pangkalan Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu bagi menggantikan Mawilla 2 di Labuan, Pangkalan Mawilla 4 di Sejingkat, Kuching dan Pangkalan Hadapan Pasukan Khas Laut (Paskal) di Semporna, Sabah.

Di pihak sumber manusia pula, kita mengamalkan pendekatan secara konsisten dengan konsep TQM. Tidak ada kompromi tentang kualiti. Ia penting contohnya dalam pembelian senjata, kalau tidak bagus dalam masa perang kecacatan mengakibatkan kehilangan nyawa dan membahayakan Angkatan Tentera Malaysia pada amnya.

Amalan ini penting walaupun kita bukannya agensi membuat keuntungan. Tetapi kita harus sedar peruntukan kerajaan harus diguna sebaik mungkin, tanpa pembaziran.

UTUSAN:Bagaimana pula penerapan teknologi maklumat (IT) dalam TLDM dari segi doktrin dan latihan?

AJ BAKAR: TLDM sedang melaksanakan Projek Teknologi Maklumat dalam organisasi secara berfasa dan tersusun dengan kerjasama Mimos, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada 1999, Projek Teknologi Maklumat Fasa 2A telah dilaksanakan dan diperluaskan kepada rangkaian di Markas Tentera Laut (MTL-Net) melalui Fasa 2B yang akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8).

Kita telah menggubal blue print dalam usaha melaksanakan paperless organisation di mana semua urusan antara pejabat dengan Markas Tentera Laut (MTL) dibuat melalui komputer dan e-mel.

Bulan ini, kita juga melancarkan MTL.Net dengan kerjasama Mimos dan Intan. Mengikut Mimos, kita adalah organisasi pertama melaksana pentadbiran tanpa kertas.

Dalam RMK-8, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pembelian perkakasan, perisian, infrastruktur dan latihan kepada pegawai dan anggota TLDM.

IT juga digunakan untuk membangunkan Pentadbiran dan Pengurusan Elektronik dan juga Kolej Bestari di Pangkalan TLDM, Lumut. Beberapa aplikasi Commercial-Off-The Shelf Software (COTS) telah dikenal pasti dan akan diperoleh.

Ini bermakna menjelang tahun 2005, semua warga TLDM celik dalam penggunaan IT dan multimedia serta semua Pangkalan TLDM dilengkapi komputer.

Bagaimanapun, dari segi operasi, kita telah lama menggunakan komputer contohnya dalam sistem persenjataan.

Kita kini sedang merancang guna komputer untuk pertukaran data dan maklumat berkaitan operasi contohnya di mana sasaran berada atau siapa yang harus menangani musuh.

Dengan kemudahan ini kita dapat menjimatkan masa dan dapat bertindak pantas dalam tempoh beberapa saat saja berbanding tindakan udara yang mempunyai masa beberapa minit tetapi tempoh itu mungkin terlambat untuk TLDM.

Masalah kita ialah menukar pemikiran anggota yang dah merasa selesa dengan keadaan sekarang. Keadaan ini kerap kali timbul di kalangan orang lama yang keberatan menukar cara baru.

UTUSAN: Boleh jelaskan kedudukan TLDM masa kini dari segi keupayaan, pencapaian dan cabaran?

AJ BAKAR: Pada umumnya, kita mahu turut serta dalam arus kemajuan setanding dengan perkembangan ketenteraan masa kini. TLDM akan terus menentukan misinya menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan semasa perang dapat dicapai.

Setakat ini pencapaian TLDM boleh dibanggakan. Di arena antarabangsa, TLDM terkenal dengan penglibatan cemerlang dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain terlibat dalam banyak aktiviti confidence building di rantau ini. Walaupun kita akui kemampuan aset tempur setanding dengan negara-negara membangun, kita masih belum merasa selesa. Contohnya, rancangan memiliki kapal selam yang masih belum menjadi kenyataan.

Daripada 54 kapal yang ada, 2/3 boleh beroperasi sebagai Blue Water Navy dari segi saiz, daya tembakan ia boleh beroperasi di mana-mana perairan negara.

Namun, segala pembelian aset tentera dibuat sejak 20 tahun lalu setelah membuat pertimbangan serius keutamaan aset untuk mempertahankan negara.

Sebab itu kita tidak risau apabila Singapura membeli enam Frigat kelas La Fayette dari Perancis sebagai ancaman kepada kita. Asas pembelian aset dibuat 20 tahun lalu dan kita tidak boleh membuat perbandingan jika negara jiran seperti Singapura dan Indonesia memiliki aset tertentu kita juga patut ada. Kita tidak harus didesak membeli sesuatu disebabkan jiran kita memilikinya.

Apa yang penting dalam pembelian sesuatu aset itu ialah tujuan. Sudah tentu ia tidak boleh ditentukan sekarang tetapi dari perspektif ASEAN, kita boleh merasa selesa dengan Singapura yang ada keupayaan lebih untuk mempertahankan keselamatan di rantau ini.

UTUSAN: Tahap keupayaan dan profesionalisme sesuatu organisasi itu diukur dari segi kualiti anggotanya. Bagaimana dengan kualiti pengambilan dalam TLDM?

AJ BAKAR: Sejak lima tahun kebelakangan ini, walaupun tahap akademik mereka yang dipilih menepati syarat yang ditetapkan tetapi ada ciri-ciri keperibadian yang berkurangan.

Ciri-ciri seperti kepimpinan, dedikasi dan ketekunan dah berkurangan. Mungkin kerana keadaan sosial sekarang yang semakin mewah. Golongan muda tidak begitu insaf perlunya memiliki keazaman dan dedikasi terhadap keselamatan negara. Sehubungan itu, kita memberi tumpuan khusus untuk mengimbangi sifat-sifat mereka dengan keperluan tradisional TLDM melalui proses perubahan mentaliti. Ada yang tidak tahan dan mereka berhenti. Itu tidak mengapa sebab siang-siang kita dah tahu mereka kurang berminat.

UTUSAN: Bagaimana TLDM menangani isu tuntutan bertindih seperti Kepulauan Spratly dan terumbu di kawasan Gugusan Semarang-Peninjau (GSP)?

AJ BAKAR: Malaysia bernasib baik kerana ia adalah satu-satu negara dalam ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih dengan hampir semua yang lain. Bagaimanapun, oleh kerana dasar luar negara yang mengamalkan rundingan diplomasi membolehkan perkara itu tidak menimbulkan perbalahan.

Peranan kita dalam isu ini ialah menunjukkan kehadiran untuk mencegah apa jua ancaman terhadap kawasan milik kita. Kita bersedia membuat pemantauan 24 jam untuk pastikan keselamatan terkawal.

Pengawasan berjadual sepanjang tahun bersama Tentera Udara Diraja Malaysia turut dijalankan bagi melindungi kawasan ini daripada dicerobohi oleh negara-negara yang mempunyai kepentingan yang sama.

Selain itu, kita juga mengadakan operasi dan latihan dua hala dengan negara terbabit seperti dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan juga kerjasama dengan Tentera Laut Cina.

UTUSAN: Apakah harapan Datuk Seri sempena ulang tahun TLDM?

AJ BAKAR: Saya berharap semua pegawai dan anggota TLDM terus mempertingkatkan keazaman dan iltizam serta memberi perkhidmatan sebaik mungkin untuk negara.

Anggota TLDM perlu mengetepikan kepentingan diri sebaliknya menentukan keselamatan negara yang kaya dengan sumber lautan terjamin kerana sejarah membuktikan sesuatu organisasi akan hanya berjaya jika dianggotai oleh anggota yang cukup cekal dan memahami inspirasi adanya pertubuhan tersebut.

Jangan terlalu mengharapkan pujian atau kata-kata perangsang dari orang ramai kerana perkhidmatan kita adalah silent service, tidak dilihat semasa menjalankan tugas.

Selagi perairan negara selamat, nelayan boleh mencari rezeki, kerja menggali minyak dapat dilakukan dan melaksanakan perdagangan secara sempurna, seluruh anggota TLDM harus berbangga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.