VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 03/03/2000

Kaji dasar langit terbuka -- Kerajaan digesa pastikan rakyat tidak dipengaruhi budaya negatif asing

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kerajaan digesa mengkaji semula dasar langit terbuka yang kini menjadi agenda penting negara agar rakyat tidak dipengaruhi unsur-unsur negatif yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak.

Tokoh masyarakat, budaya dan pendidikan berpendapat kerajaan seharusnya lebih serius memastikan dasar itu tidak disalah guna yang nantinya hanya merugikan generasi muda.

Menurut mereka, kurangnya kawalan kerajaan terhadap perkara itu adalah punca rancangan-rancangan asing, khususnya melalui stesen satelit Astro, dapat masuk ke negara ini dengan sewenang-wenangnya.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad, berkata rakyat tidak patut dipersalahkan jika perkara itu berlaku kerana mereka hanya menjadi penerima dasar berkenaan.

Beliau mengakui kerajaan kurang mengambil perhatian terhadap kemasukan rancangan-rancangan asing yang disiarkan melalui stesen satelit Astro.

Kesan daripada itu, katanya, beliau khuatir ia boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap akhlak dan sahsiah rakyat negara ini.

''Kerajaan harus serius dalam menangani masalah ini kerana mangsa dasar itu ialah generasi muda yang akan memimpin negara pada masa hadapan.

''Sebenarnya yang dikatakan konsep langit terbuka itu ialah menerima perkara-perkara yang baik dan menolak perkara-perkara yang buruk,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai lapisan masyarakat yang mahu kerajaan mengawal kemasukan program-program asing yang disiarkan menerusi siaran satelit Astro, seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan hari ini.

Menurut mereka, penayangan banyak rancangan import itu dikhuatiri akan mengakibatkan kesan buruk terhadap hala tuju dan jati diri bangsa pada masa depan.

Hassan berkata, pada abad yang ke-21 ini jika rakyat negara ini tidak berhati-hati mereka akan dijajah semula melalui penjajahan minda.

Beliau menjelaskan, bentuk penjajahan itu boleh dibuat dalam pelbagai cara, antaranya melalui penayangan rancangan-rancangan yang mampu mempengaruhi pemikiran dan jiwa anak muda.

''Sanggupkah kita melihat generasi muda yang menjadi pemimpin masa depan mengikut telunjuk kuasa-kuasa tersebut? Sebelum benda menjadi daki tolong bersihkan secepat mungkin,'' katanya lagi.

Hassan menambah, sampah-sampah budaya dari negara-negara maju mudah menguasai ruang pemikiran bangsa di dalam negara yang membangun seperti Malaysia.

Sepatutnya, kata beliau, rakyat negara ini disogokkan dengan rancangan-rancangan yang boleh meningkatkan perasaan terhadap jati diri dan bukannya yang memusnahkan diri.

''Jika benar bangsa akan datang musnah disebabkan menjadi mangsa disebabkan dasar langit terbuka, yang akan dipersalahkan ialah orang yang membina dasar tersebut,'' ujarnya lagi.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan belum terlambat untuk memperbaiki keadaan tersebut.

Sementara itu tokoh pendidik, Tan Sri Awang Had Salleh, berkata dasar langit terbuka sekarang turut mendorong kemasukan program asing yang disiarkan menerusi stesen satelit Astro tanpa dikawal sepenuhnya.

''Saya rasa jika isyarat dari atas (kerajaan) tidak membenarkan, sudah pasti Astro tidak berani menayangkan rancangan-rancangan yang melanggar adat ketimuran,'' katanya.

Beliau berkata, penayangan rancangan-rancangan asing melalui stesen satelit Astro seolah-olah mendapat 'restu' dari pihak atasan.

Beliau menjelaskan, kerajaan perlu memberikan satu garis panduan yang khusus bagi mengawal kemasukan rancangan-rancangan tersebut.

''Kerajaan jangan 'Laissez Faire' yang bermaksud biarkan sahaja keadaan ini berlarutan. Kelak rakyat akan terpengaruh dengan unsur-unsur asing yang akan membawa kesan buruk kepada negara,'' katanya.

Namun begitu beliau mengakui bukan semua rancangan yang ditayangkan menerusi Astro tidak memberikan manfaat.

''Saluran Discovery yang memaparkan cerita mengenai keajaiban alam semula jadi adalah salah satu rancangan yang boleh memberikan pendidikan,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama tokoh budaya, Azah Aziz, menyarankan semua pihak yang terlibat dalam perkara itu mencari jalan penyelesaian.

''Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Yang penting kita perlu berbincang dengan cara yang baik,'' katanya.

Beliau berkata, bukan setakat filem Hollywood sahaja yang memaparkan unsur-unsur negatif bahkan filem Bollywood dan Cina juga turut memaparkan unsur-unsur yang negatif di dalam filem mereka.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.