VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 12/02/2000

Ukiran kaca Siti Zabedah timba kemahiran di perantauan


KETELITIAN amat dititikberatkan bagi memastikan ukiran yang dihasilkan bermutu.


MERANTAU ke tempat orang banyak pengalaman dan pengetahuan dapat ditimba. Terpulanglah kepada seseorang itu untuk memanfaatkan waktu dan mencari peluang menambahkan ilmu di dada.

Kadangkala daripada minat melihat keindahan seni reka atau kerja tangan orang lain boleh mendorongkan kita mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.

Tugas suaminya, ketika itu sebagai seorang duta membawanya merantau ke seluruh negara seperti New Zealand, Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Jerman. Ketika di perantauan, beliau berpeluang mempelajari ilmu dalam pembuatan seni ukiran kaca atau stain glass bagi menghasilkan terendak lampu, jam dinding dan cermin hiasan yang kini menjadi sumber pendapatan selain hobinya pada masa lapang.

Bagi Datin Siti Zabedah Mujib, kecenderungannya dalam ukiran pembuatan kaca berwarna timbul sejak awal tahun 80-an lagi apabila melihat banyak kediaman di Eropah dan Amerika Syarikat dihiasi ukiran kaca terutama di bahagian pintu dan pagar.

Menurut beliau, apabila suaminya, Datuk Zainal Abidin Ibrahim ditugaskan di Jerman pada tahun 1988, minatnya pada ukiran kaca semakin mendalam dan terus menyatakan hasratnya untuk mempelajari sendiri pembuatan ukiran kaca itu.

Namun ketika itu nasib kurang menyebelahinya kerana kelas hanya dijalankan pada sebelah malam dan diajar dalam bahasa Jerman.

''Biarpun saya tidak berpeluang mempelajari ukiran ini semasa berada di Jerman semangat untuk mempelajari seni ukiran ini terus membara di hati,'' ceritanya ketika di temui Keluarga baru-baru ini.

Apabila suaminya ditugaskan ke Australia pada tahun 1992, dia mengambil peluang untuk mempelajarinya dengan menyertai Women International Club ( WIC).

Dengan menyertai WIC, pelbagai kemahiran kraf tangan boleh dipelajari bukan setakat seni ukiran kaca. Kelas jahitan dan pembuatan seramik turut diadakan.

Beliau menambah, bukan setakat mempelajarinya di sini saja dia turut mengambil peluang untuk mendalami bidang seni ukiran kaca ini dengan mengikuti kelas sepenuh masa selama lapan minggu.

Ibu kepada seorang anak perempuan ini berkata, kini setelah hampir lapan tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, dia sudah menghasilkan pelbagai ukiran termasuk cermin hiasan, terendak lampu, bekas telur dan sebagainya.

''Kebanyakan ukiran ini ditempah oleh rakan-rakan dan kenalan saya sendiri. Selebihnya saya diletakkan sebagai salah satu perhiasan di rumah.'' ujarnya.

Beliau berkata, oleh kerana kerja-kerja dalam ukiran kaca amat merumitkan, dia memerlukan ketelitian dan masa yang agak panjang untuk menghasilkan sesebuah ukiran seperti yang dikehendaki.

Tambah Datin Siti Zabedah, untuk menghasilkan sebuah ukiran seperti terendak lampu misalnya, dia memerlukan masa yang agak panjang sekurang-kurang hampir tiga minggu.

Ditanya mengenai proses yang terpaksa diikuti ketika membuat ukiran kaca ini, beliau tidak menafikan memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi kerana stain glass yang digunakan bukanlah daripada kaca biasa dan hanya diimport dari luar negara.

''Stain glass yang digunakan juga bergantung kepada mutu kaca itu sendiri dan dinilai mengikut jenis dan warna kaca tersebut.

''Selain itu juga peralatan seperti solkder,grinder, band-saw cutter dan gam perlu disediakan bagi memudahkan lagi kerja-kerja dalam pembuatan ukiran kaca ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, sebelum menghasilkan sesuatu ukiran, dia perlu menentukan sesebuah reka bentuk yang diinginkan kemudian mengenalpasti jenis dan warna kaca yang sesuai digunakan.

Menurutnya, sebarang rekabentuk dalam saiz sebenar dibuat pada kertas tebal untuk dijadikan dasar.

Kemudian katanya, kaca tersebut akan dipotong menggunakan pemotong mengikut rekabentuk sekeping demi sekeping sehingga selesai.

''Semasa proses ini ketelitian amat penting bagi mengelakkan sebarang kerosakan pada kaca atau kaca pecah,'' tegasnya.

Pemotong kaca digunakan bagi memastikan kaca dipotong mengikut bentuk yang dikehendaki kemudian dilicinkan menggunakan mesin pelarik.

Tambah beliau, kaca itu kemudiannya disusun atas kertas dasar bagi memastikan kedudukannya teratur dan menomborkannya bagi mengelakkan tertukar.

Setelah kepingan pertama siap, kepingan lain juga dibuat melalui proses yang serupa sehingga 12 keping. Manakala proses seterusnya pula katanya ialah mencantum dengan menggunakan copper foil.

Setelah diletakkan dengan copper foil, bahagian tertentu dipateri bagi mengukuhkan bahagian tersebut sebelum dibersih dan dikilatkan.

''Membuat ukiran ini juga memerlukan mood selain kreativiti tersendiri yang biasanya datang pada waktu pagi dan tengah malam,'' katanya yang turut mengakui kebanyakan bahan mentah dibeli di Australia, Amerika Syarikat dan Rusia.

Biarpun dia kini tidak lagi menjadi isteri seorang duta, namun sedikit sebanyak pengalaman yang diperolehi semasa berada di luar negara memberikan pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga kepada dirinya.

''Mungkin ramai yang beranggapan menjadi isteri seorang duta sesuatu yang menyeronokkan dan glamor.

''Namun begitu terpulang kepada diri masing-masing untuk mempergunakan peluang tersebut dengan bijak dengan mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran ketika di tempat orang,'' tegasnya yang kini mengakui lebih berasa bahagia dapat menghabiskan banyak masa bersama suami tercinta.

Oleh: ROSLAH OTHMAN

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.