VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 19/01/2000

4 Geng Steyr ditembak mati -- Polis buru hingga ke Johor setelah rompak bank RM440,00 di Selangor

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Polis menembak mati empat daripada lima anggota Geng Steyr yang digeruni, di dua tempat berasingan di Johor, sembilan jam selepas merompak RM440,000 dari sebuah bank di Sri Serdang dekat sini pagi ini.

Dua daripada mereka ditembak di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada pukul 3 petang manakala dua lagi di Plaza Tol Kempas dekat bandar raya itu, empat jam kemudian. Seorang lagi sedang diburu.

Polis turut menjumpai semula wang rompakan tersebut dan raifal Steyr. Bagaimanapun jumlah wang dan bilangan senjata yang ditemui masih belum ditentukan.

Geng yang paling dikehendaki itu sebelum ini dipercayai telah melakukan sembilan rompakan berjumlah hampir RM1.9 juta menggunakan empat laras raifal automatik Steyr. Dalam siri rompakan sejak Ogos lalu itu seorang pengawal keselamatan sebuah bank ditembak mati.

Selepas merompak sebuah cawangan Maybank dekat sini pukul 10.30 pagi ini, sebuah unit khas polis Bukit Aman berjaya mengesan pergerakan geng itu yang melarikan diri dengan tiga buah kereta menuju ke selatan Semenanjung.

Utusan diberitahu kedua-dua perompak yang ditembak mati pada pukul 3 petang itu menaiki salah sebuah daripada tiga kereta berkenaan.

Serentak dengan itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaakob Mohd. Amin difahamkan berlepas ke Johor Bharu petang ini untuk mengikuti perkembangan itu dan dijangka mengadakan sidang akhbar pagi esok.

Pada pukul 7.45 malam ini, pihak polis yang menjejaki saki baki anggota geng itu terserempak dengan mereka di Plaza Tol Kempas (menghala ke Skudai) dalam sebuah kereta Mercedes Benz berwarna hitam. Di situ berlaku tembak menembak mengakibatkan dua lagi anggotanya terbunuh.

Dalam rompakan pagi ini, geng tersebut melepaskan dua das tembakan mengakibatkan seorang pemandu van syarikat keselamatan cedera.

Rompakan yang melibatkan empat lelaki bertopeng itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi, serentak dengan penghantaran wang RM340,000 oleh tiga pengawal keselamatan dari Syarikat Prima Sdn. Bhd. ke bank tersebut.

Ini merupakan rompakan kesembilan dan terbanyak selepas rompakan terakhir di dua buah bank di Taman Sri Petaling di sini yang menyebabkan seorang pengawal keselamatan terbunuh pada 24 November lalu.

Geng itu mula dikenali Ogos lalu melalui rompakan pertamanya menggunakan senjata berkenaan. Rifel itu dilaporkan hilang dari simpanan 72 Kor Ordnan Kem Kamunting, Taiping Perak pada 27 Julai lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mangsor Ismail berkata, rompakan pagi ini kebetulan dengan sebuah van dari syarikat keselamatan menghantar sejumlah besar wang ke bank tersebut.

''Beg berisi wang yang dibawa oleh tiga daripada empat pengawal untuk diserahkan kepada bank itu telah dirampas oleh salah seorang daripada empat perompak yang telah terlebih dahulu menyerbu masuk bank tersebut.

''Tiga lagi perompak itu naik ke tingkat atas bank itu dan merampas RM100,000 wang tunai dari kaunter,'' jelasnya semasa ditemui di tempat kejadian.

Menurut beliau, semasa kejadian terdapat kira-kira 19 kakitangan, 45 pelanggan dan seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata berada dalam bank itu.

Mangsor memberitahu, empat lelaki yang bertindak berani itu mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum menghilang diri.

Utusan difahamkan geng ini mempunyai lapan hingga 10 anggota, tetapi dalam setiap rompak hanya melibatkan lima orang sahaja. Geng ini dikatakan menggunakan kereta jenis Mercedes Benz, Ford Telstar dan Proton Wira.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum melarikan diri kumpulan itu melepas dua das tembakan yang mengakibatkan pintu cermin tingkat atas dan pintu cermin depan bank itu pecah.

''Peluru yang memecahkan pintu cermin depan bank itu turut menembusi pintu van dan mengenai pemandu van syarikat keselamatan yang berada dalam van itu,'' ujarnya.

Jelas beliau, mangsa Yaakob Osman, 45, itu cedera di bahagian punggung dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Ketika ditanya kemungkinan orang dalam terlibat dalam rompakan itu, Mangsor berkata, pihaknya akan menemuduga semua kakitangan bank dan juga pengawal keselamatan terbabit.

''Buat masa ini kita tidak tahu, sama ada pengawal syarikat keselamatan atau kakitangan bank itu bersubahat atau sebaliknya,'' tegasnya.

Sehubungan itu, Mangsor meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui nombor telefon 03-7562222 untuk membantu siasatan.

Difahamkan empat lelaki itu melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Wira yang menunggu tidak jauh dari bank tersebut.

Sebelum ini, empat buah bank di Selangor telah menjadi sasaran kumpulan ini, dua buah di Kuala Lumpur dan dua lagi melibatkan bank di Johor yang melibatkan kerugian RM1.9 juta.

Kumpulan yang dipercayai terdiri daripada lelaki Melayu itu sangat berbahaya kerana senjata yang mereka miliki itu mampu menjangkau sasaran sehingga 1.7 kilometer.

Berikut ialah kronologi rompakan Geng Styer:

Rompakan pertama berlaku pada 2 Ogos di EON Bank, Puchong dengan sejumlah RM100,000 lesap.

Pada 17 Ogos, merompak Southern Bank, Balakong menyebabkan kerugian sejumlah RM21,000.

Pada 30 Ogos, merompak Multi Purpose Bank, Sungai Besi yang mengakibatkan kerugian RM150,000.

Pada 13 September, merompak Bank Phileo Allied di Taman Bayu, Klang melibatkan kerugian RM67,210.

Pada 24 September, merompak Hock Hua Bank di Johor Bahru, sejumlah RM400,000 lesap.

Pada 20 Oktober, merompak Maybank, Taman Seri Bahagia dekat Tampoi menyebabkan kerugian RM350,000.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.