VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/11/1999

Kolam ikan air masin asli

Oleh: ZULKEFLI HAMZAH

PAHANG memang terkenal di kalangan kaki pancing sebagai lokasi memancing yang menarik kerana terdapat banyak sungai dan tasik serta kawasan lautnya yang luas.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini timbul rungutan di kalangan kaki pancing kerana kesukaran mendapat ikan yang diidamkan di kawasan semula jadi berkenaan.

Peluang inilah yang dilihat oleh seorang usahawan, Syed Salim Syed Aziz yang mahu menawarkan suasana memancing sebenar tanpa perlu bersusah payah meredah lautan luas.

Kontraktor pendawaian elektrik itu memilih kawasan di Kampung Kuala Penor, Kuantan kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuantan yang lokasinya hanya 70 meter dari pantai untuk dijadikan kolam memancing ikan.

Bagi memastikan keaslian dan kualiti ikan, air laut dipam ke kolam menggunakan lima buah pam setiap hari. Inilah uniknya kolam milik Syed Salim yang tidak menggunakan bahan kimia seperti kolam-kolam ikan masin yang lain di kawasan Pantai Timur.

Syed Salim yang juga seorang kaki pancing berkata, kolamnya yang mempunyai keluasan 51 x 63 meter persegi direka bentuk khusus untuk memberi kepuasan kepada pemancing.

Walaupun terpaksa berbelanja besar untuk mengorek kolam sedalam lima meter, tetapi ia dapat memberi kepuasan kepada pemancing kerana kedalaman merupakan antara faktor ikan dapat bergerak sehingga ke dasar kolam dan kemudiannya terkena mata pancing.

''Mata kail yang ditarik ikan sehingga ke dasar kolam inilah yang memberi keseronokan untuk menaikkan ikan ke darat,'' katanya yang menyewa tapak kolam daripada penduduk kampung.

Keseronokan itu, jelasnya, ditambah dengan suasana perkampungan nelayan dan tiupan angin pantai dengan pokok kelapa yang asal dikekalkan mengelilingi kolam.

Kemudahan restoran, surau dan tandas turut disediakan untuk memberi keselesaan kepada pemancing.

Syed Salim yang berasal dari Pekan berkata, penggunaan air laut asli berbanding penggunaan bahan kimia memberi banyak kelebihan di kolamnya terutama bagi memastikan kesegaran ikan.

Beliau berkata, Penor Fishing Park mula dibuka kepada orang ramai Mei lalu dengan kos permulaan RM70,000 dan kini dikunjungi tidak kurang 30 pemancing setiap hari.

''Sebelum membuka kolam ini, saya melawat banyak kolam ikan air masin di Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor untuk belajar sedikit sebanyak cara mengurus kolam,'' ujarnya.

Kata beliau, bukan mudah untuk menguruskan kolam air masin kerana ia juga terdedah dengan ancaman pelbagai penyakit jika kolam tidak dirawat dengan baik.

Selain itu, katanya, ikan yang ditempah daripada Kelantan, Johor dan Selangor mesti dipastikan benar-benar sihat sebelum dimasukkan ke dalam sangkar.

Beliau membelanjakan antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan untuk membeli ikan yang berat setiap ekor melebihi sekilogram.

Pelbagai jenis ikan menjadi pilihan antaranya siakap putih, siakap merah, bawal emas dan tanda yang dimasukkan ke kolam tiga kali sehari.

Setiap pemancing dikenakan bayaran RM10 sejam. Penor Fishing Park turut menyediakan joran dan umpan, selain perkhidmatan bot untuk mereka yang ingin memancing di laut.

''Kita juga boleh menganjurkan hari keluarga kerana kolam ini dekat dengan pantai, banyak syarikat telah mengadakan hari keluarga di sini,'' katanya.

Penor Fishing Park yang mempunyai lima orang kakitangan dibuka 24 jam pada Sabtu, Ahad dan cuti umum manakala pada hari lain, ia dibuka dari pukul 8 hingga 2 pagi.

Syed Salim juga berhasrat menambah bilangan kolam berkata, beliau mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan.

''Bidang ini masih baru bagi saya, banyak perlu dipelajari sebelum ia boleh dikembangkan,'' katanya yang pernah kerugian RM14,000 kerana ikan mengalami keracunan.

Tetapi yang seronoknya kata beliau, ia perniagaan tunai yang memudahkan urusan pusingan modal berbanding bidang kontraktor yang sentiasa ada pasang surut.

Apa yang lebih penting kata beliau, perniagaannya itu memberi peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan lain kepada penduduk setempat.

Bagi kaki pancing yang ingin merasai nikmat memancing di laut tanpa perlu berpenat lelah di atas bot boleh menghubungi Penor Fishing Park melalui nombor telefon 09-5142928 atau 09-5135894.

Penor Fishing Park juga akan menganjurkan pertandingan memancing pada 31 Oktober ini yang menawarkan motosikal Kriss sebagai hadiah utama.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.