VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 01/11/1999

Siti Nurhaliza... pamer kehebatan beraksi di konsert


Siti Nurhaliza diiringi kumpulan penari Cindai di konsertnya di Stadium Putra Bukit Jalil, malam kelmarin.


Berjaya atau tidaknya konsert itu sebenarnya adalah penentu kepada karier penyanyi ini.

Ternyata, Siti Nurhaliza berjaya melangkah satu lagi cabaran besar dalam hidupnya. Konsert sulung Siti Nurhaliza menyaksikan permulaan yang cukup baik bagi diri penyanyi ini untuk merealisasikan hajatnya yang mahu menjadikan konsert tersebut sebagai satu kenangan yang cukup indah.

Malah, tidak disangkal lagi, pada malam itu, Siti menggunakan sepenuh kelebihan vokalnya dalam persembahan yang mantap dan bertenaga.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini, tampil dengan pelbagai gimik yang selama ini cuba dirahsiakan daripada pengetahuan pihak media termasuk letupan dan bunga api yang keterlaluan.

Pada malam itu, Siti juga kelihatan ingin mempamerkan koleksi baju terbaru apabila memilih lapan pasang pakaian pelbagai warna dan fesyen.

Siti megenakan seluar bagi menyanyikan lagu-lagu rancak dan memilih gaun labuh untuk mendendangkan lagu-lagu berirama perlahan dan balada. Malah, dia sanggup menukar baju sekadar untuk menyanyikan medley dua buah lagu.

Barangkali alasannya, pakaian-pakaian tersebut ingin disesuaikan dengan konsep lagu yang dipersembahkannya.

Siti muncul dengan lagu pertamanya Kau Bagai Permata menerusi kuntuman kelopak bunga sambil menyerlahkan Siti dalam pakaian berwarna-warni dan berkilauan.

Sekalipun dicacatkan dengan sistem audio yang kurang mantap, Siti tetap meneruskan persembahan yang sepanjang dua jam sentiasa mendapat sorakan gemuruh daripada lebih 10,000 peminat setianya.

Malam itu juga, Siti yang dikenali sebagai seorang yang kurang bercakap, petah bercerita tentang pelbagai perkara termasuk mengenai dirinya serta reaksi sekumpulan peminat fanatiknya yang meniru cara make-upnya.

Siti tampil dengan lagu yang membawa sejarah dalam hidupnya sebagai penyanyi, Jawapan Di Persimpangan. Lagu itu adalah lagu pertama yang dirakamkan oleh penyanyi ini.

Siti yang terkenal dengan nyanyian berlenggok, bermain dengan vokalnya yang mantap menerusi lagu Antara Waktu dan Usia.

Muncul dengan gaun jingga, Siti tampil dengan lagu Wajah Kekasih.

Penyanyi ini membawa gimik dalam persembahannya dengan mengundang Kumpulan Jari Jemari yang terdiri kanak-kanak bisu dan pekak. Mereka menggunakan bahasa isyarat ketika Siti mendendangkan lagu Kau Kekasihku dan Sendiri.

Sekali lagi, Siti mengundang gimik dalam persembahannya apabila bermain timbales yang dipelajarinya daripada Steve Thornton selama 10 hari.

Kali ini, Siti mengenakan sepasang pakaian yang dihiasi kerdipan bercahaya ketika lampu stadium digelapkan. Sebelum itu, Siti membawakan lagu Melangkah Ke Persada.

Mengenakan pakaian baru yang berambu-ramba, Siti membawakan medley lagu-lagu balada yang bernada perlahan.

Penonton terbuai seketika apabila Siti mendendangkan lagu-lagu Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Nian Di Hati.

Di tengah kehangatan lagu-lagu popnya, Siti tidak melupakan penyanyi idolanya, Allahyarham Sudirman Arshad. Dalam segmen khas yang diutarakan sebagai penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham, Siti tampil dengan beberapa buah lagu popular Sudirman.

Segmen tersebut adalah yang paling menarik apabila Siti dilatari dengan pantulan cahaya floresen yang menggambarkan pelbagai corak yang bersesuaian dengan lirik lagu.

Dalam pakaian yang bercahaya, Siti menyampaikan medley lagu Dir, Pelangi Petang, Balik Kampung, Basikal Tua dan Salam Terakhir.

Katanya bercerita, dia dan Sudirman mempunyai tiga persamaan iaitu mempunyai pangkal nama yang sama iaitu bermula dengan huruf S, sama-sama dilahirkan di Temerloh dan sama-sama bergelar lawyer.

"Tapi Sudirman seorang lawyer (peguam) tapi Siti pula loyar buruk,'' ujarnya berseloroh.

Siti kemudiannya tampil dengan lagu-lagu bernada percintaan iaitu Usah Diragui dan Diari Hatiku.

Sambil mengenakan baju kebaya moden bercorak bendera Malaysia, penyanyi ini tidak melupakan lagu tradisional yang turut mengangkat namanya iaitu Cindai dan Joget Gembira. Persembahan Siti juga tidak lengkap tanpa penari kanak-kanak yang turut mengiringi lagu Cindai.

Dia kemudiannya muncul dengan lagu Satu Cinta Dua Jiwa, Kini Kau Di sisi dan Bisikan Asmara. Sambil mengenakan gaun putih ala pengantin, Siti mengakhiri konsertnya dengan lagu Aku Cinta Padamu.

Namun, penonton yang tidak berganjak memaksa Siti muncul kembali dengan lagu terakhirnya Mahligai Asmara.

Ternyata, Siti cukup gembira pada konsert tersebut dan menuturkan kata-kata terakhirnya kepada peminat, 'Siti sayang anda semua,''.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.