VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/06/1999

Meneruskan perjuangan bangsa


PERWAKILAN Wanita dan Pemuda UMNO sedang mendengar ucapan perasmian perhimpunan pergerakan itu buat pertama kali oleh Naib Presiden, Abdullah Badawi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.


MUKADIMAH

TEKS penuh ucapan perasmian Naib Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO Malaysia pada 17 Jun 1999, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

SAYA bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah rahmatnya buat julung kali saya diberikan penghormatan berucap di majlis perasmian Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO dan Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO pada pagi ini.

Penghormatan ini amatlah besar makna dan nilainya kepada saya, terutama apabila dihubung kait dengan satu peristiwa pada tahun 1948. Pada tahun itu di Padang BRC, Butterworth di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang satu perbarisan raksasa Pergerakan Pemuda UMNO telah diadakan.

Ayahanda saya Haji Ahmad Badawi mengepalai perbarisan itu. Semenjak itu saya tidak pernah melihat perbarisan Pemuda yang sama hebatnya. Datuk Onn Jaafar, Yang Dipertua Agung UMNO telah berucap memberi amanat kepada Pemuda. Turut berdiri di atas pentas di tepi belakangnya ialah Kapten Hussein Onn yang pada awal penubuhan UMNO adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sementara Datuk Haji Ahmad Badawi (Allahyarham) ayahanda saya pernah menjawat jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selama 18 tahun lamanya.

Saudara Datuk Hishamuddin, demikianlah secebis cerita orang-orang tua kita dan Pemuda UMNO. Mudah-mudahan Datuk Hishamuddin dapat mengambil iktibar daripada cerita ini. Pada hari ini Datuk Hishamuddin disuratkan Allah s.w.t., memegang tampuk kepimpinan Pemuda sementara saya ditakdirkan Ilahi mendapat penghormatan untuk merasmikan buat julung kalinya perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinannya. Demikianlah takdir Allah s.w.t., apa yang Allah kehendaki akan berlaku, apa yang Allah s.w.t. tidak kehendaki tidak akan berlaku. Ketahuilah Allah s.w.t. adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya. Dari ayat 68 Surah al-Qasas: Allah berfirman dengan maksud:- Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya''.

Demikianlah kuasa Allah s.w.t. menentukan segala sesuatu dan manusia harus redha dengan ketentuan itu.

Dalam perbarisan raksasa Pemuda UMNO pada tahun 1948 di Padang BRC Butterworth, para Pemuda dibariskan, berdiri tampan dan gagah, berpakaian seragam baju putih ber'epaulet' merah yang bertanda Pemuda dengan tulisan warna kuning dan seluar putih serta bersongkok.

Dalam keharuan Datuk Onn melihat disiplin dan semangat para Pemuda ketika itu, Allahyarham Datuk Onn melafazkan kalimah bahawa perbarisan tersebut tentulah lebih gagah dan hebat jika setiap Pemuda dilengkapkan dengan senapang. Kata-kata tersebut ditaksirkan sebagai satu ancaman menggerunkan oleh kuasa kolonial Inggeris.

Apabila Sir Gerald Templer memerintah Persekutuan Tanah Melayu ia telah mengharamkan Pergerakan Pemuda UMNO berpakaian seragam putih dengan bersongkok. Namun kejituan semangat dan kesungguhan perjuangan tidak mematikan hasrat dan cita-cita perjuangan Pemuda berjuang untuk kemerdekaan tanah air dan memartabatkan bangsa. Alhamdulillah! pada hari ini keanggotaan Pemuda yang berdaftar mencapai angka 732,151 merupakan 26.4% daripada jumlah ahli UMNO yang berdaftar.

Kaum ibu UMNO pula dalam suasana budaya dan kebatasan emansipasi wanita Timur ketika itu, pada mulanya dipimpin oleh mereka yang suaminya bergiat aktif dalam politik. Dalam mesyuarat agung UMNO pada tahun 1948, tiga tokoh wanita terdiri daripada Puan Puteh Mariah dari Persatuan Melayu Perak, Puan Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Puan Saleha Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah melahirkan hasrat untuk menubuhkan Pergerakan Wanita UMNO.

Pada 25 Ogos 1948 Pergerakan Wanita UMNO telah ditubuhkan. Alhamdulillah ketika ini Pergerakan Wanita UMNO mempunyai 1,264,480 ahli yang berdaftar di dalam parti kita, merupakan 45.7 peratus daripada jumlah ahli UMNO yang berdaftar. Ini bermakna gabungan anggota Pemuda dan anggota Wanita di dalam UMNO merupakan 72.1 peratus daripada jumlah ahli-ahli UMNO yang berdaftar. Sesungguhnya Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda merupakan komponen yang besar lagi penting dalam UMNO pada hari ini.

Seramai 2,771,768 umat Melayu dan bumiputera kini berada dalam satu jemaah di bawah panji-panji UMNO. UMNO dilandaskan penubuhannya untuk memenuhi hasrat tuntutan memartabatkan bangsa dan mendaulatkan sebuah negara merdeka. Kini UMNO telah mencapai taraf sebuah gerakan dan tenaga politik yang gagah bergerak dan bertindak memastikan bahawa bangsa Melayu itu tidak akan hilang di dunia. Hidup Melayu! Perjuangan kita seterusnya mesti meningkatkan martabat bangsa. Jadikan bangsa Melayu yang terbilang di antara yang cemerlang.

UMNO telah menjadi parti politik yang terbesar di tanah air dan yang paling berjaya dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara

Di antara mereka yang amat besar jasanya kepada perjuangan UMNO termasuklah Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussin, Tun Hussein Onn, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab, Tun Dr. Ismail, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Tun Syed Nasir Ismail, Tun Saadon Jubir, Tan Sri Ghazali Jawi, Puan Khadijah Sidek, Ibu Zain, dan ramai lagi yang telah kembali ke Rahmatullah termasuk ayahanda saya dan bapa serta ibu kepada saudara-saudari -- mereka semua adalah pejuang-pejuang UMNO yang gigih.

Dalam saat-saat seperti ini sewajarnyalah kita mengenang khidmat bakti mereka dan untuk itu sebagai tanda memperingati dan menghargai perjuangan mereka kepada agama, negara, bangsa dan parti, marilah kita sama-sama dengan penuh khusyuk dan ikhlas membacakan surah al-Fatihah semoga pahala bacaannya diterima oleh s.w.t., dan ganjarannya disampaikan kepada roh-roh Allahyarham-Allahyarham tokoh-tokoh perjuangan kita. al-Fatihah.

Hari ini kita berhimpun dalam suasana negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-42. Kita berhimpun dalam suasana UMNO telah mencapai usia ke-53 tahun. Perhimpunan kali ini adalah perhimpunan terakhir di abad ke-20, insya-Allah 198 hari lagi kita akan melangkah masuk ke abad 21. Saudara-saudari kita berhimpun dalam era maklumat yang mendakwa bahawa dunia sudah dianggap sebagai perkampungan sejagat yang tidak mempunyai batas sempadan.

Kita berhimpun dalam suasana negara-negara kecil dan membangun seperti kita ini kembali menjadi sasaran serangan politik dan ekonomi bagi kepentingan kuasa besar. Kita berhimpun dalam keadaan kuasa-kuasa besar masih merasakan bahawa kekuatan politik, ekonomi, perdagangan dan ketenteraan yang mereka miliki memberikan justifikasi bagi mereka untuk terus menindas negara-negara kecil.

Kita berhimpun dalam suasana kuasa-kuasa besar sedang menunjukkan sifat angkuh, berselindung di bawah panji-panji kemanusiaan dan demokrasi, untuk campur tangan dalam hal ehwal urusan negara-negara yang ingin mereka jajah semula secara ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan politik.

Kita berhimpun dalam suasana negara kita sedang gigih mengatasi badai dan gelombang yang memungkinkan sumber kekayaan negara kita dihakis dan kekuatan ekonomi kita dileburkan. Kita berhimpun dalam suasana parti kita cuba dilemahkan baik daripada serangan luar mahupun daripada kegiatan-kegiatan berunsur subversif dari dalam. Senario ini menuntut kita untuk sentiasa berwaspada, memperkukuh dan melengkapkan parti kita supaya bertambah kukuh dan padu.

Dalam proses transisi Malaysia melangkah masuk ke alam masyarakat bermaklumat, tuntutan terhadap penguasaan ilmu dan pengetahuan di kalangan bangsa kita menjadi bertambah kritikal dan penting. Era maklumat menuntut agar perhatian ke arah pembangunan ummah diutamakan. Ahli-ahli UMNO di bawah pemimpin kita Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berperanan penting menerajui pemikiran bangsa Melayu supaya dibangunkan sebagai bangsa yang bermaklumat dalam era teknologi yang menentukan corak dan fasa pembangunan ketika ini.

Ia menjadi lebih relevan apabila agenda dan wawasan kepimpinan negara telah menerokai dan merintis penubuhan koridor raya multimedia (MSC) yang diperlengkapkan dengan akta dan perundangan yang komprehensif. Penubuhan MSC bukanlah sekadar usaha membina satu rangkaian prasarana 'gentian optik'. Ia adalah satu manifestasi kepimpinan negara yang menggalakkan cetusan inovasi dan kelahiran idea baru.

Penubuhan MSC adalah satu prasarana untuk membawa satu transformasi budaya dan reformasi pemikiran bangsa secara lebih terbuka, kreatif, demokratik dan konstruktif.

Globalisasi pula menuntut keperluan menghadapi saingan lebih besar di medan yang lebih luas dan sama rata. Globalisasi adalah realiti dan kenyataan yang mendasari pemikiran dan tindakan negara-negara maju dan kuasa besar dalam saingan percaturan politik dan ekonomi dunia. Kita perlu lihat ia sebagai cabaran dan ancaman yang mesti dihadapi dengan berani dan akal yang pintar.

Dalam tempoh kurang dari satu generasi UMNO telah berjaya menebus maruah bangsa Melayu membebaskannya daripada penghinaan, daripada penindasan yang dideritai selama lebih 400 tahun akibat belenggu penjajahan.

Melalui suara dan program yang dipelopori oleh UMNO, bangsa Melayu dalam tempoh yang tidak sampai pun setengah abad telah menjelma daripada masyarakat yang umumnya marhaen agraria kepada masyarakat yang mempunyai golongan profesional dan teknokrat dan golongan pentadbir dan cendekiawan yang menguasai pelbagai kepakaran hingga berupaya memartabatkan bangsa dan mendaulatkan negara di mata dunia.

Bangsa Melayu hari ini dengan naungan dan bimbingan UMNO telah membuktikan kekuatan menangkis cabaran dan ancaman bentuk baru yang hampir menjerumuskan tanah airnya untuk kembali dijajah dan bangsanya jatuh rebah.

Kita bersyukur di atas kekuatan yang telah terbina dalam jiwa kepimpinan bangsa kita hingga mengupayakan kita melihat kekecutan ekonomi itu sebagai satu cabaran dan bukannya ancaman.

Kekecutan ekonomi yang berlaku tidak ditakrif sebagai petanda kegagalan, sebaliknya ia dilihat sebagai suatu pengajaran untuk membolehkan kita bangun semula dengan tenaga lebih wajar.

Semangat inilah yang membolehkan kita di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memperoleh kejayaan memulihkan ekonomi kita yang gawat itu.

Daya mampu dan daya juang yang dimiliki oleh bangsa kita kini bukan sekadar memungkinkan Melayu itu diterima kepimpinannya oleh masyarakat berbagai bangsa, kebudayaan dan agama di negara kita malah kepimpinan kita dalam pemerintahan dan pengurusan serta keupayaan kita di bidang diplomasi dikagumi dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Pengurusan persidangan CHOGM umpamanya mencatatkan kejayaan yang tiada bandingannya di kalangan negara-negara Komanwel. Dialog Langkawi dan rundingan meja bulat ISIS diiktiraf sebagai forum-forum pembangunan dan keselamatan yang penting di rantau ini, kegemilangan mengelolakan Sukan Komanwel pula dianggap terhebat yang pernah dianjurkan dalam abad ini, pembinaan Menara Kembar KLCC di kota raya kita menjadi bangunan kembar pencakar langit tertinggi dunia, penubuhan Koridor Raya Multimedia adalah satu daya usaha yang tiada tandingan di kalangan negara-negara yang sedang membangun di dunia ini, pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran elektronik yang canggih, pembinaan lapangan terbang termoden di rantau ini dengan kos yang rendah kesemuanya adalah di antara rangkaian pencapaian kepimpinan Melayu yang dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan malah terserlah dari segi aplikasi teknologi dan penggunaan peralatan termoden.

Segalanya memberikan kebanggaan kepada bangsa dan negara bukan untuk sekadar bersifat riak tetapi sebagai pembuka mata tentang keunggulan dan kebangkitan semula satu bangsa yang ternama dan memiliki tamadun.

Kita tidak sepatutnya berasa malu atau bersalah dengan projek-projek mega yang mengharumkan nama negara. Kita tidak harus merelakan diri kita terperangkap dengan kenyataan berunsur cemburu daripada pihak-pihak luar yang mula merasa gerun dengan kehebatan kepimpinan kita dan kebangkitan bangsa.

Di satu masa lalu, ketika hasil mahsul negara hanya tertumpu kepada sektor primary, kita terkenal di dunia dengan pengeluaran bijih timah, getah dan kelapa sawit, kini menjelangnya alaf baru kita tetap terserlah dalam sektor pembuatan hingga negara kita pada tahun 1997, sebelum dilanda kegawatan ekonomi diiktiraf sebagai negara ke-19 terbesar dari segi perdagangan dan berada di tangga ke-17 dari segi daya persaingan.

Keupayaan kita dalam pengurusan dan organisasi terutama dalam memupuk keharmonian dan kestabilan politik, pembangunan sumber manusia, pembangunan desa, pembasmian kemiskinan, pembangunan ladang, mempelbagaikan kegiatan ekonomi, kini menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada negara-negara sedang membangun.

Dalam kita menerokai ruang angkasa kejayaan ini, kita tidak harus lupa akan akar warisan dan tunjang tamadun bangsa yang perlu disemai dan dipupuk di kalangan generasi muda bangsa kita supaya mereka tidak terjerumus dalam kancah keruntuhan moral dan akhlak. Bangsa kita harus dididik supaya dalam kesediaan membuka pandangan kepada idea-idea besar dan baru ia tetap berkeupayaan menapis di antara yang keruh dengan yang jernih dan yang benar dengan yang palsu. Kita perlu memastikan dalam keghairahan menjuarai gagasan pemikiran baru yang juga risikonya bangsa kita masih memiliki benteng pertahanan yang kukuh dengan bertiangkan agama bersendikan adat, berumbi di bumi sendiri.

Justeru dengan perasaan syukur atas segala-gala nikmat yang kita rasai, kita perlu berwaspada dan insaf bahawa setiap makhluk itu adalah bersifat hamba kepada pencipta Yang Maha Agung Allah s.w.t. sebagai makhluk yang lemah, kita tidak bebas dan terkecuali daripada melakukan kesilapan dan kita tidak boleh mendabik dada bahawa kita ini maksum daripada melakukan dosa. Yang penting adalah sikap makhluk dalam menghadapi kesilapan dan kesanggupan untuk memperbetulkan diri daripada kesilapan yang pernah dilakukan. Maka untuk itu kita perlu terus bermuhasabah dan bermusyawarah.

Hari ini bangsa Melayu tidak lagi dilihat sebagai bangsa pinggiran. Bangsa Melayu bukan lagi bangsa picisan. Bangsa Melayu bukan lagi melukut di tepi gantang terkeluar tidak mengurangkan sukat, di dalam tidak menambahkan berat. Dari segi angka, 12 juta umat Melayu di negara ini merupakan 54.5% daripada jumlah 22 juta rakyat Malaysia.

Secara global hanya terdapat 2.4 umat Melayu Malaysia bagi setiap 1,000 penduduk dunia yang berjumlah 5 bilion ketika ini. Namun 12 juta umat Melayu di negara ini telah berjaya mengasaskan kekuatannya berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti. Kualiti yang bertiangkan agama dan bersendikan adat diperkukuhkan pula dengan penguasaan ilmu pengetahuan, kepakaran dan kebijaksanaan. Kerana itu kita perlu bersyukur kepada Allah s.w.t.

Di samping bersyukur dengan kekuatan dan kemuliaan anugerah Ilahi ini kita tidak harus berasa malu, bimbang, takut dan gentar untuk meningkatkan azam mencapai dan mencipta kejayaan lebih gemilang. Kita harus terus berusaha membina kekuatan dan membarakan semangat untuk menjadi bangsa yang lebih gagah dan lebih terserlah kedudukannya. Ketahuilah kejayaan sesuatu kaum itu adalah anugerah daripada Allah s.w.t. di atas daya yang diusahakan oleh kaum itu sendiri. Allah s.w.t. telah berfirman dengan jelasnya tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka sendiri tidak berusaha mengubahnya. Dengan memahami kebenaran ajaran Allah s.w.t. ini dan juga mengakui ketepatan janji Allah s.w.t. yang bermaksud ''Dan (ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: '' Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.'' (Surah Ibrahim ayat 7).

Maka marilah kita terus menerus bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil kita berjuang dan berusaha supaya dalam alaf baru dengan usaha yang lebih gigih dan berkesan melaksanakan rancangan-rancangan yang menepati matlamat Wawasan 2020, bangsa kita bangsa Melayu akan menjadi bangsa terbilang di kalangan yang cemerlang.

Kekuatan UMNO bergantung kepada perpaduan kita yang pragmatik, jalinan kerjasama yang realistik dan tahap bersefahaman yang authentic di antara sesama kita mahupun di antara kita dengan warga Malaysia yang berlainan agama, kebudayaan, bahasa dan keturunan.

Ruang persefahaman dan kerjasama ini perlu diperluaskan lagi. Pada hari ini Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang sedang berada di ambang taraf negara maju. Malaysia telah dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan ummah di peringkat antarabangsa.

Dalam dekad terakhir abad ke-20 ini, kita semacam terpesona tetapi mahu mengalu-alukan satu perkembangan yang pada zahirnya menepati dengan cita rasa kita. Fenomena ini adalah kebangkitan agama suci kita iaitu kebangkitan Islam.

Masyarakat Islam rata-rata mempamerkan kesedaran baru, kesedaran untuk mendalami dan menyuburkan semula ajaran-ajaran Islam dan penghayatan dalam kehidupan harian. Suasana keghairahan yang baru ini telah berkembang di seluruh pelosok dunia Islam termasuklah di negara kita sendiri.

Namun demikian kita mestilah sedar dan peka akan hakikat bahawa suasana keghairahan kebangkitan Islam ini boleh dieksploitasi dan lebih dahsyat lagi boleh juga dimanipulasi oleh golongan dan parti-parti politik tertentu yang menjadi musuh kepada kita.

Mereka mengemukakan hujah-hujah agama untuk melemahkan perjuangan bangsa Melayu. Umpamanya semangat kebangsaan Melayu yang menjadi teras dalam perjuangan kita telah dikecam sebagai satu fahaman 'assabiyah' yang sempit yang bercanggah dengan nilai Islam yang luas dan bersifat universal.

Maka kalaulah sogokan hujah seumpama ini mengabui dan memerangkap fikiran kita tentunya kita akan kehilangan semangat, kehilangan iltizam, kehilangan arah dan cita-cita dalam perjuangan kita.

Di sini adalah wajar bagi saya mengupas sedikit isu-isu yang sangat asas atau basic bagi pergerakan politik kita ini. Kita wajib mendedahkan putar belit hujah-hujah yang digunakan oleh pihak-pihak yang menafikan peranan Islam dalam perjuangan kebangsaan kita.

Di peringkat duniawi sifat keuniversalan Islam tidak semestinya dicerna daripada kemunculan sifat keseragaman yang mutlak dalam penghayatan manusia bahkan sebaliknya ia mencernakan kemampuan Islam untuk menerima atau accommodate kepelbagaian aspirasi manusia sama ada di peringkat individu atau di peringkat bangsa. Kita sewajarnya tidak boleh melupai sabda hikmah Nabi Muhammad s.a.w Cintakan watan adalah sebahagian daripada iman. Inilah prinsip pertama dalam perjuangan kebangsaan Melayu bersatu - perjuangan UMNO.

Ahli fikir Islam Ibnu Khaldun yang dianggap sebagai ahli fikir yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia pernah menyatakan bahawa tanpa adanya semangat kekitaan, tanpa adanya semangat setiakawan, tanpa adanya semangat kebangsaan manusia tidak akan mencipta tamadun, sesungguhnya kepelbagaian tamadun manusia di dunia ini sendiri mencernakan kekayaan ciptaan Allah s.w.t.

Di negara kita sendiri semangat kebangsaan Melayu pada asasnya telah diterokai oleh para ulama dan aktivis Islam. Sambil menyemarak dan membangkitkan kesedaran kebangsaan Melayu, mereka melihat Islam sebenar sebagai sumber kesedaran bangsa dan bukannya kefahaman kolot yang memomokkan.

Perjuangan mereka yang berkat itu akhirnya memungkinkan Islam diintegrasikan secara mutlak dalam perjuangan kebangsaan Melayu. Kita patut berasa bangga kerana bangsa Melayulah satu-satunya bangsa di dunia ini yang mentakrifkan statusnya dalam rangka Islam iaitu orang Melayu itu agamanya Islam.

Ini telah dilakukan tanpa mengetepikan hakikat bahawa ia adalah satu bangsa yang dijadikan oleh Allah s.w.t di dunia ini. Atas nama agama kita boleh mengetepikan perhitungan yang berdasarkan warna kulit dan keturunan. Kita boleh berkembang dan merangkumi semua. Kita boleh menjadi bangsa yang dinamik dan terbuka. Sesungguhnya apa yang kita telah lakukan merupakan kejayaan yang paling tinggi.

Dengan mentakrifkan secara rasmi dan perlu diterima bahawa Melayu itu beragama Islam maka dengan itu apa yang diperjuangkan bagi kemajuan dan meninggikan martabat bangsa Melayu adalah sebenarnya memajukan dan meninggikan martabat umat Islam di Malaysia. Apabila Melayu sudah berjaya maka peranan meninggikan syiar agama akan menjadi satu kemampuan baginya. Perjuangan Islam yang dibawa oleh UMNO adalah perjuangan yang tidak ada ciri-ciri melampau, tidak menggalakkan amalan yang sempit, yang kolot yang memusuhi orang-orang bukan Islam di Malaysia. Sebab itulah dalam keluarga Barisan Nasional UMNO diberi peranan memimpin. Sesungguhnya pendekatan UMNO dalam menjayakan perjuangan kebangsaan untuk meninggikan martabat bangsa sekali gus meninggikan imej Islam dan martabat ummah. Inilah kejayaan dakwah yang berhikmah tinggi.

Malaysia selamanya memberikan perhatian kepada penekanan Islam dalam bidang pendidikan. Pendidikan dilihat sebagai asas yang akan menentukan kejayaan sesuatu tamadun dan umat. Pendidikan dapat menghidupkan bangsa yang mati, membangunkan bangsa yang tidur dan menyedarkan bangsa yang lalai. Jelasnya pendidikan dapat mempertingkatkan darjah sesuatu bangsa dan mempertingkatkan kemajuan sesebuah negara, setiap anggota UMNO bertanggungjawab membentuk sikap dan mencanai pemikiran generasi muda yang berguna, produkif, beretika dan berakhlak mulia untuk mewarisi negara ini di masa muka. Setiap ahli UMNO bertanggungjawab membentuk generasi muka yang cintakan agama, bangsa dan negara serta taat kepada parti dan setia kepada perjuangan. Oleh itu kita perlu meng'umno'kan adik-adik kita, anak-anak kita dan cucu-cucu kita.

Namun kekuatan bangsa ini turut bergantung kepada kekukuhan perpaduan yang dapat kita pupuk sesama kita. Kunci kekuatan kita selama ini terletak kepada ikatan perpaduan yang berjaya kita padukan melalui penubuhan UMNO dalam tahun 1946. Konsolidasi bangsa di pentas UMNO telah berupaya meletakkan kita di persada pemerintahan hingga dapat melindungi kepentingan Melayu dari segi agama, bahasa, kebudayaan dan ekonomi tanpa pula menindas kaum-kaum lain yang sumbangan mereka diberikan pengiktirafan.

Saudara-saudari

Kejayaan usaha pembangunan memerlukan penyatuan dan gabungan semula tenaga, sebarang cabaran adalah cabaran terhadap negara dan seluruh rakyat. Penderitaan jika diizinkan melanda akan menjejaskan setiap rakyat tanpa mengira parti, kumpulan etnik ataupun agama. Dalam saat-saat negara diancam bencana kegawatan ekonomi semangat bersatu harus diamalkan di antara ahli-ahli parti, para teknokrat dan pentadbir, petani dan nelayan, guru dan murid, ulama dan umarak, pemimpin dan rakyat, dalam hubungan ini ahli-ahli UMNO perlulah merapatkan barisan, meningkatkan tekad untuk teguh bersatu dan menghulurkan silaturrahim kepada semua pihak yang sedia bekerjasama.

Faktor utama yang wajib diberikan perhatian adalah untuk memastikan UMNO itu terus penting dan relevan, bertenaga dan dinamik dalam melangkah ke abad 21 bagi terus menjamin bangsa Melayu dan negara Malaysia terus berjaya.

Keadaan semasa menuntut kita memahami kesan dan implikasi berikutan perubahan dunia sejagat yang sedang muncul. Realiti baru akan memberikan kemenangan kepada pemimpin dan negara yang dapat menguasai dan menyesuaikan diri kepada perubahan teknologi yang berlaku secara pesat. Kesengitan persaingan di medan baru ini akan memberikan kejayaan dan memihak kepada bangsa dan negara yang berdaya maju. Integrasi ekonomi dunia melalui penyatuan pasaran modal secara global kini mendedahkan setiap negara kepada ancaman baru di bidang ekonomi. Benteng dan sempadan pertahanan setiap negara begitu rapuh dan mudah dirobohkan dalam kerangka kewangan antarabangsa dari tekanan hegemoni ekonomi yang dibawa oleh kuasa besar. Bidang ekonomi dan perdagangan kini menjadi medan perang baru dengan matlamat akhir menuntut kemenangan mutlak berasaskan percaturan sifat. Dominasi ekonomi dan bukan ketenteraan merupakan instrumen penjajahan bentuk baru sebelum kuasa-kuasa besar melebarkan dominasi politik mereka.

Alhamdulillah, bangsa dan negara kita tidak terperangkap di pergentingan, Cahaya pemulihan ekonomi di negara kita mula menampakkan sinar. Pelabur asing kembali memperlihatkan minat, pasaran saham samakin pulih. Ekspot negara terus meningkat, rizab negara telah bertambah. Kadar faedah dan inflasi yang melanda telah mula diatasi. Kita sepatutnya merakamkan tahniah kepada langkah-langkah berani dan tegas yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang dapat menyatukan fokus negara, merangka formula dan pendekatan berasaskan acuan kita sendiri, menakhodai negara mengharungi gelombang yang melanda.

Realiti baru ini meletakkan bangsa kita di pesisiran gelombang cabaran baru. Cabaran baru menuntut bangsa Melayu berupaya menghidupkan idea-idea baru yang perlu dipersesuaikan dengan matlamat baru dan agenda bertindak yang berbeza demi menjamin kita tidak tersisir di pinggiran, pupus dan ditenggelami, saat kritikal begini turut menuntut untuk kita mengukuhkan perpaduan supaya segala sumber bangsa itu dapat digabung dan dicantumkan. Perjuangan bangsa jangan harus terpesong atau disempitkan hingga boleh memecahkan ikatan perpaduan bangsa selama ini. Melayu itu harus mengekalkan ketuanan dan keagungan, keulungan dan keunggulannya di bumi sendiri.

Justeru kekuatan Melayu harus diperkukuhkan dan diperteguhkan, bangsa kita hendaknya jangan terlatah hingga bersedia mencurah air di tempayan kerana mendengar dentuman guruh di langit apatah lagi jika guruh itu berdentum di langit asing sehingga ada di antara kita nanti bersedia melepaskan yang dikelek dalam terkejar-kejar janji yang belum dapat. Untung nasib bangsa kita, maju mundur bangsa kita, kaya miskin bangsa kita, dan hina mulia bangsa kita, biarlah kita yang menentukan dengan memohon keredhaan kudrat Ilahi. Keutuhan perpaduan bangsa tidak harus dikorbankan kerana ketaksuban kepada dimensi perjuangan yang kecil atas isu yang sempit atau cuba menjaguhi mana-mana individu.

Pergerakan Pemuda merupakan tapak semaian untuk memupuk sikap dan mencanai pemikiran barisan pemimpin masa hadapan, sementara Pergerakan Wanita adalah tangan-tangan yang menghayun buaian mengolah dimensi sikap dan pemikiran generasi muda. Para Pemuda dan Wanita harus mendampingi generasi muda baik di kota mahupun di desa, baik di tempat pekerjaan mahupun yang masih berada di institusi pengajian, anak-anak muda tidak boleh dikesampingkan. Mereka adalah tenaga pendesak baru yang mampu mencorakkan senario politik tanah air.

Sebanyak 13% daripada kumpulan remaja berusia di antara 19-24 tahun berada di pusat-pusat pengajian tinggi berjumlah 357,934 sementara seramai 1,847,769 berada di sekolah menengah. Barisan Pemuda dan Wanita UMNO yang memahami intipati, asas, dasar dan matlamat perjuangan UMNO harus bersedia dan berani turun ke serata tempat menyampaikan pandangan, berdialog, berhujah dan menerangkan wawasan perjuangan kita secara berhadapan dengan kumpulan ini. Kegagalan kita melaksanakan program bertindak sedemikian dikhuatiri akan menjauhkan anak-anak muda kita daripada memahami, mendampingi, menerima dan menyokong perjuangan UMNO. Kita mesti meyakinkan mereka, UMNO adalah perjuangan yang relevan yang mempunyai hikmah berpolitik yang terbaik untuk meneruskan perjuangan meninggikan martabat bangsa dan syiar Islam, serta memajukan negara dan rakyat Malaysia.

Saya yakin jika Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita berupaya meningkatkan aktiviti berorientasikan perkhidmatan di setiap bahagian dan cawangan UMNO di seluruh pelosok tanah air, kita akan dapat menarik lebih ramai pendukung dan penyokong kepada perjuangan kita.

Radikalisme dan dinamisme kita harus menuju ke arah menjamin UMNO bersedia mengubahsuai pendekatan, gerak kerja, terus peka dan bersikap proaktif, dalam memenuhi tuntutan semasa. Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita hendaklah terus menjadi jurubicara pembaharuan, berada di barisan hadapan untuk membela parti dan perjuangan bangsa secara terbuka dan membawa teguran-teguran membina kepada pucuk pimpinan secara konsultatif dalam suasana musyawarah dan bermuhasabah.

Kejayaan Pemuda dan Wanita UMNO akan diperoleh jika mereka mempunyai pemimpin yang dinamik, berakhlak mulia, bermoral tinggi serta terus menghayati keluhuran perjuangan UMNO.

Parti dan negara di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sesungguhnya telah berjaya meletakkan martabat bangsa di persada yang tinggi dan mendaulatkan kemerdekaan negara melalui wawasan yang luas dan agenda pembangunan yang dinamik. Pimpinan kita telah melalui liku dan jalan yang panjang dan lama, merempuh onak dan duri, mendaki gunung dan menuruni lurah, bermudik, berakit.

Demikian pahit jerih, keringat dan tenaga yang dilaburkan untuk meningkatkan martabat bangsa dan untuk mendaulatkan kemerdekaan negara dalam usaha membuka laluan luas kepada bangsanya untuk menerokai dunia. Mereka yang tidak mengalami keperitan untuk membangun dan menyatukan sesebuah organisasi terlalu mudah menjalankan usaha untuk meruntuh institusi yang kini terbina kukuh hingga ada yang sudahpun hilang pedoman dan sanggup membuka pintu negara kita merelakan campur tangan asing untuk meruntuhkan organisasi bangsa sendiri.

Saya menyeru ahli-ahli UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya diberikan petunjuk Ilahi, dapat membuat pertimbangan secara objektif dan rasional dalam menentukan arus masa hadapan bangsa, negara dan agama.

Ummah dan negara tidak dapat dibangunkan melalui pidato dan retorik, tidak juga melalui janji dan slogan, jauh sekali daripada aktiviti demonstrasi dan perbuatan huru hara di jalan-jalan raya. Ummah dan negara perlu dibangunkan melalui agenda yang lengkap berasaskan wawasan yang jelas dan rangka kerja yang khusus dan teratur.

Kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Perikatan sebelum ini yang diterajui oleh UMNO terbukti mempunyai wawasan dan rangka kerja yang telah dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya dan kemakmuran kepada negara. Janganlah hendaknya masa hadapan bangsa dan tanah air tercinta ini sedia dan sanggup kita korban dan hancurkan sebelum kita pasti bahawa masa hadapan bangsa dan negara akan lebih terjamin jika kuasa yang ada diserahkan kepada kumpulan lain.

Rakyat perlulah berwaspada kepada kumpulan-kumpulan yang kelihatan begitu mendapat sokongan daripada pihak luar - tentang kemungkinan mereka diperalatkan menjadi boneka dan saluran hingga membolehkan bangsa dan tanah air kembali dijajah.

Saudara saudari

Fokus perjuangan kita sebolehnya jangan dikaburkan, tenaga kita diperlukan untuk melaksanakan wadah perjuangan yang lebih besar. Kita perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan kita dapat menguasai pasaran lebih luas dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara. Kerjasama antara kaum perlu ditingkatkan melalui proses integrasi. Amalan demokrasi yang memberi pembelaan dan bantuan kepada semua pihak yang minoriti, lemah dan miskin juga yang dizalimi perlu terus dipertingkatkan untuk membolehkan mereka menikmati taraf hidup yang bermutu.

Rakyat perlu terus dijamin bahawa keadilan dan perundangan kebebasan dan keselamatan akan tetap dipertahankan oleh kerajaan tanpa pilih kasih.

Kepada Allah kita pohonkan doa semoga memberi petunjuk kepada setiap kita yang diberikan amanah untuk memimpin agama, bangsa dan negara dalam pemerintahan yang adil, diberi hidayat supaya dapat menyempurnakan tanggungjawab kita mengikut lunas-lunas yang mendapat keredhaannya. Kepada Allah kita berdoa semoga membimbing kita memilih kebenaran demi kesejahteraan umat, kemakmuran negara dan ketinggian syiar Islam.

Kita perlu terus berdoa kepada Allah s.w.t dengan penuh khusyuk dan tawaduk, dengan memahami sebenar-benarnya bahawa tugas dan tanggungjawab kita hanyalah berikhtiar kerana Allah s.w.t sahaja yang mentakdirkan. Maka dengan itu marilah kita semua bersama-sama memohon kepada-Nya dengan mula-mula berselawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, kepada ahli-ahli keluarganya,kepada sahabat-sahabatnya, berdoa kepada Allah s.w.t supaya ditunjukkan kepada kita hidayat, jalan yang lurus yang diikuti oleh orang-orang mendapat nikmat daripada-Nya. Bukan jalan yang diikuti oleh orang-orang yang sesat dan dimurkai oleh Allah s.w.t semoga di atas landasan siratulmustakim kita akan ditemukan dengan hasanah di dunia dan juga dengan hasanah di akhirat nanti. Al-Fatihah.

Dengan ini saya merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO dan Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO pada kali ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.