VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 27/05/1999

Khazanah sangkar laut


PEKERJA memasang pukat pada rangka sangkar yang digunakan dalam penternakan ikan sangkar laut terbuka.


PENTERNAKAN ikan dalam sangkar telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1970an bagi menjamin bekalan sumber protein berterusan untuk rakyat.

Kini terdapat 58,499 unit sangkar yang meliputi kawasan ternakan seluas 68 hektar yang menyumbang 10 peratus kepada jumlah pendaratan ikan negara, yang sebahagian besarnya (80 peratus) bergantung kepada hasil tangkapan luar pantai dan 10 peratus dari laut dalam.

Menurut perangkaan Jabatan Perikanan, sektor akuakultur sebenarnya mempunyai potensi yang jauh lebih besar. Ia menganggarkan Malaysia mempunyai kawasan laut seluas kira-kira 100,000 hektar yang mampu dimajukan sebagai kawasan ternakan ikan laut dalam sangkar secara komersial.

Sasaran jabatan berkenaan ialah pada tahun 2010, sektor akuakultur akan menyumbang 30 peratus kepada pendaratan ikan negara, sejajar dengan permintaan ikan per kapita yang dijangka meningkat kepada 60 kilogram daripada antara 40 hingga 42 kilogram sekarang. Bagi memenuhi keperluan 1.6 juta metrik tan setahun pada tahun 2010, pembangunan sektor akuakultur perlu ditingkatkan kerana jumlah pendaratan ikan luar pantai kekal pada paras 0.9 tan metrik.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian sejak beberapa tahun lalu berusaha mencari teknologi akuakultur terbaik dari serata dunia untuk dipraktikkan di negara ini.

Usaha itu berjaya memperkenalkan kaedah baru penternakan ikan laut dengan menggunakan sangkar di kawasan laut terbuka.

Projek perintis yang dijalankan di perairan Pulau Gedong, Pulau Pinang itu telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud pada 23 April lalu.

Teknologi ternakan ikan dalam sangkar laut terbuka ini diperolehi dari Norway, sebuah negara perikanan terkemuka di dunia. Ia juga digunakan di Chile, Sepanyol, Greece dan Australia. Di Asia Tenggara, Singapura dan Filipina turut menggunakannya selain Malaysia. Namun satu kelebihan negara kita ialah keupayaan kita menghasilkan sendiri peralatan yang diperlukan - semuanya kerana kegawatan ekonomi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Mohd. Mazlan Jusoh, keadaan itu memaksa jabatan berkenaan mencari syarikat tempatan yang mampu membina sangkar berkenaan sungguhpun pada mulanya ia bercadang mengimport sangkar tersebut.

Sangkar laut terbuka yang digunakan dalam projek perintis itu dibina oleh Weida Resources, sebuah syarikat pengeluar paip tempatan. Rangka utama sangkar dibuat daripada dua batang paip HDPE (high density polyethelene) bergaris pusat 280mm, 50 meter panjang yang dibentuk menjadi bulatan.

Tiang-tiang diletakkan dalam jarak setiap 2 meter menghubungkannya kepada rel pemegang diperbuat daripada sebatang paip bergaris pusat 110mm. Pukat dipasang pada rangka utama menggunakan cincin dan diletakkan pemberat konkrit pada bahagian bawahnya untuk memastikan bentuk sangkar tidak berubah. Ketinggian pukat disesuaikan dengan jarak gelombang di kawasan terbabit bagi memastikan ikan mendapat tempat berlindung masa laut bergelora (pada teori, kesan gelombang akan lenyap pada kedalaman separuh daripada jarak gelombang).

Sangkar tersebut seterusnya dilabuhkan di kawasan yang ditetapkan menggunakan sistem melabuh yang merangkumi tali marin, sauh, rantai dan boya. Setiap kawasan ternakan mampu menempatkan antara enam hingga lapan sangkar. Menurut Mazlan, reka bentuk sangkar yang fleksibel membolehkan ia bertahan di perairan terbuka, malahan pihak Norway mendakwa ia mampu bertahan dalam ombak setinggi 10 meter. Rangka utama sangkar mempunyai jangka hayat 10 tahun manakala pukatnya tiga tahun dengan penyelenggaraan setiap dua minggu.

Dua kriteria utama dalam menentukan lokasi sangkar ini ialah kedalaman air dan arus. Kedalaman air dari bawah sangkar hingga ke dasar laut perlu sekurang-kurangnya 10 meter atau sekali ganda ketinggian sangkar, dan mempunyai arus antara 1 hingga 3 knot.

''Ternakan ikan laut sangkar tradisi yang diusahakan di kawasan terlindung dan cetek mempunyai banyak masalah. Makanan berlebihan yang diberikan tenggelam dan mencemarkan dasar laut, dan menjadi kawasan pembiakan bakteria yang kadang kala menimbulkan masalah penyakit kepada ikan.'' ''Industri akuakultur negara pernah mengalami masalah penyakit ikan pada tahun 1985 yang menyebabkan pengeluaran ikan merudum.'' kata Mazlan.

''Kaedah sangkar laut terbuka mengatasi masalah itu. Kombinasi ruang air dan arus di bawah sangkar baru ini memastikan makanan yang lebih tidak tenggelam di bawah sangkar, tetapi dihanyutkan arus jauh dari sangkar dan menjadi makanan kepada hidupan air lain,'' jelasnya.

Makanan ikan dalam bentuk pelet tenggelam digunakan kerana ia lebih baik berbanding ikan baja serta mampu menghasilkan kualiti daging ikan yang baik, kadar penukaran makanan lebih cekap, mudah diurus dan tidak mencemarkan persekitaran.

Di samping itu, kedudukan sangkar yang berasingan memastikan ikan-ikan mendapat pengudaraan (oksigen) secukupnya yang membantu meningkatkan kadar hidup (sehingga 90 peratus) dan tumbesaran ikan yang diternak.

''Arus air yang baik - tidak terlalu deras sehingga menyebabkan makanan tidak sempat dimakan oleh ikan - memastikan sangkar-sangkar mendapat oksigen yang cukup dan sekali gus menghapuskan keperluan kepada bekalan elektrik atau mesin pengudaraan.

''Sebaliknya, sangkar-sangkar tradisi yang disusun rapat antara satu sama lain menyebabkan pengudaraan sangkar tidak seragam. Sangkar-sangkar bahagian tengah dan belakang kurang mendapat oksigen kerana aturannya yang bersesak-sesak dan kadar hidup ikan juga rendah, iaitu sekitar 60 peratus,'' terang Mazlan.

Pengusaha juga, tambah pegawai perikanan bahagian akuakultur, Mazuki Hashim, harus memastikan saiz ikan dalam sangkar tersebut adalah sama atau hampir sama kerana ikan laut yang diternak biasanya adalah jenis pemangsa.

''Jika saiz ikan itu banyak berbeza, ikan yang kecil akan dimakan oleh ikan yang lebih besar. Pemilihan saiz juga bertujuan memudahkan kerja memasarkannya.

''Biasanya hanya ikan dari spesies yang sama atau hampir sama kaedah penternakan dan tumbesarannya diternak dalam satu sangkar,'' katanya.

Projek perintis di perairan Pulau Gedong diusahakan oleh Aman Marine Farm Sdn. Bhd., anak syarikat Halim Mazmin Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat perkapalan terkemuka negara, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang.

''Pulau Pinang bukanlah tempat terbaik untuk projek ini, tetapi ia dianggap paling sesuai sebagai tapak projek perintis kerana terletak berhampiran Institut Penyelidikan Perikanan. Ini membolehkan kajian seterusnya dilakukan terhadap kaedah ini, di samping memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mengunjungi kawasan ternakan itu,'' kata Mohd. Mazlan.

Selain di Pulau Pinang, ada 19 lagi kawasan yang berpotensi dibangunkan untuk projek penternakan ikan dalam sangkar laut terbuka. Bagaimanapun, untuk peringkat pertama ini, lima kawasan yang akan dimajukan ialah di Langkawi, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

''Sasaran kami ialah pengusaha-pengusaha swasta yang besar, kerana mereka mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan sumber manusia untuk memasarkan hasil ikan ini - baik dalam negeri atau di luar negara. Jabatan Perikanan akan membantu dari segi memilih kawasan penternakan dan nasihat,'' katanya.

Secara teorinya, pengusaha boleh meletakkan sangkar mereka di mana-mana tempat yang sesuai, tetapi faktor logistik mendorong sangkar itu diletakkan berhampiran daratan atau pulau bagi memudahkan pekerja memberi makanan dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan setiap hari.

''Mungkin apabila kita sudah maju, kaedah ini boleh dilakukan di laut lepas sebagaimana pengusaha di Norway yang menyediakan platform terapung berhampiran sangkar untuk kediaman para pekerja dan peralatan yang diperlukan.''

Untuk memulakan projek ini, pengusaha memerlukan modal kira-kira RM1 juta di mana separuh daripadanya digunakan untuk membeli sangkar (enam buah), selebihnya digunakan untuk kos operasi selama satu pusingan (8-10 bulan).

Satu unit sangkar (dengan ketinggian pukat 6 meter) mempunyai kapasiti yang sama dengan 66 unit sangkar tradisi. Dari segi pekerja, enam unit sangkar laut memerlukan empat pekerja sedangkan 66 sangkar tradisi (bersamaan satu unit sangkar laut) memerlukan 5 orang tenaga kerja. Sangkar laut terbuka juga lebih mudah dipasang dan dialihkan berbanding sangkar tradisi.

Dari segi kos, sangkar laut terbuka juga menguntungkan kerana satu unit yang berharga RM96,000 (sangkar RM68,000, jaring RM23,000 dan sistem melabuh untuk satu unit RM4,670 atau RM28,000 untuk enam unit) mampu menampung 30,000 ekor ikan.

Manakala 66 sangkar tradisi yang berharga RM1,500 setiap satu (jumlah RM99,000) hanya mampu menampung 23,760 ekor ikan.

Kos operasi untuk satu pusingan penternakan berjumlah RM196,800 yang meliputi kos benih ikan RM36,000, makanan RM136,800, gaji pekerja (atas anggaran gaji RM800 seorang sebulan) RM8,000, penyelenggaraan RM6,000 dan pelbagai RM10,000.

Berdasarkan ikan seberat sekilogram seekor, pengusaha akan memperoleh pendapatan RM324,000 bagi hasil 27,000 kilogram (90 peratus kadar hidup daripada 30,000 ekor yang dilepaskan). Ini memberikan mereka pulangan bersih sebanyak RM111,796 selepas ditolak kos operasi dan susut nilai RM15,406 (untu satu sangkar).

Bagaimanapun, langkah menggalakkan sektor akuakultur perlu mendapat sokongan daripada pusat-pusat penetasan (hatcheri) bagi membekalkan benih ikan secukupnya. Juga, penyelidikan menetaskan spesies ikan lain yang baru bagi mempelbagaikan produk.

Ada benih ikan, contohnya kerapu, diperolehi dari laut luas. Ini adalah satu alasan untuk memelihara kawasan taman laut, yang merupakan kawasan pembiakan ikan utama.

Namun, sebahagian besar (50 peratus) daripada benih ikan untuk ternakan dalam sangkar diperolehi daripada pusat penetasan.

Bagi projek ternakan ikan dalam sangkar laut lepas, anak-anak ikan yang telah diberi vaksin dilepaskan ke dalam sangkar ketika berusia 3 bulan. Selepas 8 hingga 10 bulan berada dalam sangkar, hasil ternakan itu sudah boleh dituai.

Setakat ini, dua jenis ikan dikenal pasti sesuai dan bermutu tinggi untuk diternak iaitu siakap putih dan kerapu kerana kejayaan menetasnya di pusat penetasan. Jenis siakap merah dan jenahak juga berpotensi dimajukan.

Oleh: NOOR HAZANI MUSA

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.