Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 15/04/1999
Orang ramai sifatkan perusuh melampau

Orang ramai sifatkan perusuh melampau


PARA penyokong Anwar Ibrahim bertindak liar di beberapa tempat di pusat bandar raya Kuala Lumpur semalam setelah beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah kerana menyalah guna kuasa.


KUALA LUMPUR 14 April - Orang ramai yang terperangkap di tengah-tengah huru- hara keganasan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara hari ini menyifatkan kejadian itu sebagai melampau dan tidak bertanggungjawab.

Para perusuh yang bersepandukkan Parti Keadilan, Pas dan DAP bertindak ganas membaling objek seperti besi, batu dan kayu, membakar di tengah jalan serta merosakkan kenderaan dan harta benda awam.

Perbuatan itu jelas menimbulkan keresahan dan rasa takut di kalangan warga kota yang sedang berurusan di persekitaran kawasan rusuhan.

Mohd. Rizal Mustafa, 28, yang berada di tempat kejadian berkata, perlakuan mereka ini seperti orang yang tidak berfikiran.

Beberapa kawasan yang tegang itu termasuk Jalan Tun Perak, Jalan Pasar Besar, Lebuh Ampang dan Jalan Hang Kasturi terpaksa ditutup sementara untuk keselamatan orang ramai. Kesemua jalan-jalan itu berhampiran bangunan kompleks mahkamah di Jalan Raja.

Keganasan itu menyebabkan segala urusan di premis-premis perniagaan serta institusi kewangan tergendala kerana perbuatan para perusuh terbabit.

Shafee Iskandar, 26, yang bekerja di salah sebuah institusi kewangan di ibu negara menyifatkan perbuatan mereka menyusahkan orang ramai dan menakutkan mereka yang tidak terlibat.

''Perbuatan mereka ini menyusahkan banyak pihak terutama yang mempunyai urusan kecemasan dan banyak urusan tergendala dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

''Mereka ini juga telah merosakkan imej negara dengan berbuat sedemikian,'' katanya.

Menurutnya, banyak lagi cara lain untuk mereka lakukan bagi menunjukkan rasa ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan dan bukannya dengan cara yang merosakkan masa depan mereka sendiri.

Kata-kata Shafee turut disokong oleh Mohd. Rizal, seorang jurugambar bebas yang menganggap golongan itu hanya mementingkan diri sendiri dan terlalu mengikut perasaan tanpa memikirkan akibat yang akan berlaku.

''Mereka tidak perlu berbuat demikian kerana negara kita ada undang-undang,'' katanya.

Seorang pelajar, Jazmin Mohd. Jaafar, 18, menyifatkan perbuatan para perusuh tersebut sebagai menakutkan.

Kata beliau: ''Sebagai remaja saya terkejut dengan kejadian ini dan takut jika terjadi sebarang kejadian tidak diingini terhadap saya tanpa pengetahuan ibu bapa saya.

''Saya datang ke sini untuk belajar dan kerana kejadian ini kelas saya tergendala. Perbuatan mereka juga amat menakutkan dan saya rasa begitu terancam,'' katanya yang percaya pihak polis akan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Sementara itu, warga kota turut melahirkan kekesalan mereka dengan kejadian rusuhan oleh para penyokong Anwar yang telah menjejaskan operasi pengangkutan awam di ibu negara bermula sejak awal pagi hingga lewat petang ini.

Tinjauan Utusan di beberapa jalan utama seperti di Jalan Silang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati sehingga lewat petang ini, keadaan lalu lintas yang berlaku sangat serius sehingga menimbulkan pemandangan sesak termasuk di perhentian-perhentian bas utama.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan penutupan beberapa jalan utama seperti di Jalan Tun Perak, Jalan Pasar Besar, Lebuh Ampang dan Jalan Hang Kasturi serta beberapa jalan lain yang bertujuan menjaga keselamatan orang awam.

Seorang kerani di firma guaman, Ali Seman, 37, berkata, seperti kebiasaannya dia hanya menunggu bas sehingga 15 minit sahaja pada setiap hari tetapi hari ini apabila kekecohan berlaku, dia terpaksa menunggu bas sehingga dua jam ekoran ketiadaan bas.

Seorang peniaga, Ali Abu Bakar, 41, berkata, rusuhan yang berlaku hari ini menyebabkan semua urusan harian tidak dapat dijalankan seperti biasa ekoran ketegangan yang berlaku.

''Kesesakan hari ini berlaku sangat 'luar biasa' berbanding kesesakan sebelumnya. Kesesakan Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah perkara biasa berlaku, tetapi kesesakan kenderaan hari ini adalah di luar jangkaan,'' katanya.

Kakitangan kerajaan, Syed Azman Syed Omar, 34, menyifatkan kesesakan kenderaan yang berlaku sejak 2 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah yang paling buruk sepanjang dia berada di ibu negara.

''Saya terperangkap di dalam kenderaan hampir lima jam kerana laluan biasa terpaksa ditutup kepada lalu lintas dan keadaan ini menyukarkan semua pemandu kenderaan,'' katanya.

Pelajar, Lee May Tow, 19, tidak dapat pulang ke rumah lebih awal seperti biasa disebabkan ketiadaan bas.

''Saya cuba menggunakan perkhidmatan komuter tetapi malangnya keadaan di sana juga sesak dengan orang ramai yang lebih awal merancang menggunakan perkhidmatan awam berkenaan,'' katanya yang telah dua jam terperangkap dalam kesesakan yang berlaku.

Oleh: AZIAN ABD. AZIZ

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN