VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 12/04/1999

Kon balak Teknologi sahabat alam sekitar

AKTIVITI pembalakan di kaki bukit yang menggunakan jentera berat seperti jentolak telah mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar. Bagi setiap pokok yang ditebang, jentolak pengangkut untuk tujuan pengumpulan balak-balak di kawasan betau menyebabkan kerosakan terhadap anggaran lima atau enam pokok lain.

Ini menyebabkan berlakunya pembaziran terhadap kayu-kayan yang sedang membesar.

Apatah lagi jika ia terdiri daripada kategori pokok bermutu tinggi yang mengambil masa sehingga beratus tahun untuk matang sebelum boleh ditebang.

Contohnya ialah kayu cengal, jati, meranti, keranji dan bakau.

Malaysia kini mempunyai 14.28 juta hektar hutan simpan kekal. Daripada jumlah itu, 7.4 juta hektar diwartakan sebagai kawasan perlindungan.

Manakala 6.85 juta hektar lagi merupakan kawasan produktif.

Mengikut peraturan yang ditetapkan, Jabatan Perhutanan akan membanci isu kandungan sesebuah kawasan yang telah siap dibalak.

Bukankah pekerjaan tersebut merupakan suatu pembaziran yang amat nyata lebih-lebih lagi di dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara kini?

Lebih memburukkan keadaan, pokok-pokok tidak berkenaan yang tumbang akibat pembalakan akan ditolak ke dalam gaung dan sungai-sungai berhampiran.

Selain tertumpu di kaki-kaki bukit, pembalakan yang dilakukan sekarang tertumpu di kawasan sensitif yang boleh mengakibatkan hakisan tanah dan meningkatkan kadar kelodak yang tinggi di dalam sungai sekali gus menjejaskan kualiti air.

Penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Shamsuddin Ibrahim berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesan-kesan negatif daripada aktiviti pembalakan.

"Antaranya ialah dengan cara penggunaan belon dan helikopter untuk mengangkut balak keluar dari kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun balak-balak yang terdapat di negara ini adalah terlalu berat dan besar berbanding di negara-negara Mediterranean,'' katanya ketika ditemui di Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagipun tiupan angin yang agak kencang di negara ini tidak memungkinkan balak-balak diangkut menggunakan cara berkenaan dengan mudah, kata beliau.

Tambahan pula, kata beliau, penggunaan helikopter - yang pernah digunakan di Sabah beberapa ketika dulu - menelan belanja yang mahal.

Cara terbaik yang difikirkan sesuai bagi mengurangkan kesan kerosakan pada alam sekitar ialah dengan meningkatkan prestasi kaedah pembalakan sedia ada.

"Salah satu dari aspek yang difikirkan ialah pemasangan kon di bahagian hadapan balak yang akan di tarik ke atas bukit.

"Setelah beberapa kali percubaan membawa naik balak dari kaki bukit menggunakan kon ciptaan pertama yang berbentuk separa empat segi, usaha yang dilakukan menemui kegagalan,'' kata Dr. Shamsuddin.

Kajian berkenaan sedang dijalankan di kawasan seluas 50 hektar di Hutan Simpan Jengai, Dungun, Terengganu.

Antara masalah yang dikenal pasti ialah kon mudah tertanggal dari balak dan berpusing-pusing ketika usaha membawa balak berkenaan ke atas bukit kerana berat kon berkenaan yang mencapai 70 kilogram (kg).

Kon tersebut kemudiannya diubahsuai berbentuk separa bulat dan dikurangkan beratnya dengan penggunaan gentian kaca.

Bagaimanapun tahap ketahanannya tidak kuat dan mudah pecah.

Versi ketiga pula menggunakan kaedah serupa tetapi bahan pembuatannya ditambah dengan besi yang diletakkan di sekeliling permukaan kon berkenaan.

"Kon tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dicipta untuk kegunaan aktiviti pembalakan di negara-negara berhutan tropika.

"Dua buah mesin menarik dan menurunkan rantai besi diletakkan di atas bukit bertujuan menurunkan kon dan menariknya semula ke atas bersama-sama kayu balak,'' katanya.

Bagaimanapun, kon yang bergolek-golek ke kanan dan ke kiri, tersangkut ketika menuruni bukit dan terpaksa dikawal oleh seorang pembalak sehingga mengambil masa yang lama, dikenal pasti sebagai ketidaksempurnaan terhadap kaedah ini.

Kajian untuk mengatasi masalah berkenaan sedang dilakukan, yang antara lainnya ialah dengan menggunakan kabel yang diregangkan merentasi bahagian atas dan kaki bukit.

"Kemungkinan kabel berkenaan akan diikatkan di batang-batang pokok kayu balak ataupun menggunakan bantuan mesin.

"Seperkara lagi ialah bilangan balak yang dikeluarkan melalui cara kon ialah sebanyak tujuh batang berbanding penggunaan jentolak biasa yang mencapai 16 batang sehari,'' kata Dr. Shamsuddin.

Walaupun pengeluarannya lebih sedikit, yang ingin ditekankan di sini ialah persekitarannya yang terjamin daripada kemusnahan dan kepupusan kayu kayan, kata beliau.

Dr. Shamsuddin menambah, Malaysia bertuah kerana berada di kawasan beriklim khatulistiwa yang memungkinkan penghasilan balak yang berkualiti tinggi dan bersaiz besar.

"Tidak seperti di negara-negara Mediterranean seperti di kepulauan Cyprus, balak boleh ditanam di sesuatu kawasan dengan spesies-spesies tertentu tanpa mengambil masa yang lama bagi menggantikan semula pokok yang telah ditebang.

"Di negara kita, apabila pembalak sudah menebang sesejenis pokok kayu balak, kadar pertumbuhannya akan mengambil masa yang panjang, misalnya paling kurang 60 tahun bagi spesies meranti,'' katanya.

Dalam masa 40 tahun, meranti hanya akan membesar sebanyak satu sentimeter (sm) setahun sedangkan kayu jenis terbaik seperti cengal, secara puratanya mencapai sehingga 100 sm luas permukaan, katanya.

FRIM juga kini sedang menjalankan percubaan menanam semula beberapa jenis pokok kayu balak bermutu tinggi di kawasan percubaannya di Tapah, Perak.

Bagaimanapun, Dr. Shamsudin yakin tahap produktiviti balak mampu ditingkatkan dengan kajian-kajian berterusan yang sedang dijalankan bagi mengatasi beberapa masalah penggunaan kon.

Sekiranya diatasi, penggunaan kaedah ini akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain seterusnya akan dikomersialkan kepada para pembalak di kawasan hutan tropika di luar negara.Kajian mengenainya dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Dr. Shamsudin memberitahu, sebelum memulakan aktiviti pembalakan, kawasan hutan akan dibersihkan bagi membentuk sebatang jalan yang dinamakan koridor untuk dijadikan laluan balak.

Cara ini tidak akan merosakkan tumbuh-tumbuhan lain di sekitarnya malah, seseorang tidak akan menyangka bahawa aktiviti pembalakan aktif dilakukan di kawasan itu memandangkan tiada kesan-kesan dari aktiviti berkaitan, tambah beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.