ARKIB : 22/03/1999
Tandas SK Batu 38 cantik
PENGUNJUNG ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, Sabak Bernam di Selangor pasti tertarik dengan kecantikan dan kebersihan tandas yang mempunyai pelapik getah berwarna-warni, semerbak mewangi, berakuarium dan berlangsir mengalahkan tandas awam berbayar.
Pengguna tandas pula diminta menandatangani 'buku pelawat' di pintu masuk.
Tabung derma juga diletakkan di situ untuk membeli pewangi serta alatan mencuci tandas.
Selain itu, guru-guru juga mempunyai pakaian seragam berwarna merah hati yang wajib dipakai ketika perhimpunan ataupun majlis rasmi sekolah.
Pemangku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Saad Bahatan berkata, pemakaian seragam guru itu bertujuan mewujudkan rasa kekitaan dan permuafakatan sesama guru.
"Pemakaian seragam guru itu menunjukkan hubungan sehati sejiwa, terutama di dalam membuat sebarang keputusan berkaitan sekolah dan murid-murid.
"Apa yang lebih penting ialah ia menjadi contoh kepada murid-murid sebagaimana perumpamaan 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat','' katanya.
SK Batu 38 merupakan salah sebuah dari empat buah sekolah yang mewakili Selangor di dalam pertandingan Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan Sekolah (3K) peringkat kebangsaan 1999.
Pertandingan 3K dianjurkan Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.
SK Batu 38 pernah muncul johan pertandingan 3K Negeri Selangor pada 1997, mewakili negeri di dalam pertandingan Bumi Hijau tahun lalu dan merupakan sekolah harapan bagi tahun ini.
Tinjuan Utusan mendapati, amat sukar mencari sebuah tong sampah di sekitar kawasan sekolah berkenaan kecuali di kantin sekolah dan di kelas masing-masing.
"Kami sengaja tidak meletakkannya di luar kelas kerana mahu mendidik mereka menjaga kebersihan persekitaran sekolah dengan tidak membuang sampah merata-rata,'' katanya.
Sementara itu, katanya, guru-guru di sekolah berkenaan amat mengambil berat mengenai persekitaran sekolah yang bersih serta bebas daripada faktor-faktor yang boleh membiakkan kuman.
"Kesedaran menjaga kesihatan sejak peringkat awal umur adalah penting, dan ini dilakukan melalui gambar atau data,'' katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, sekolah turut mengadakan Projek Taman Sekolah Hijau yang bukan sahaja menjadi wadah untuk murid-murid menimba ilmu tetapi juga sebagai penyeri, yang bermotifkan kehidupan alam semula jadi.
"Antara projek yang diusahakan ialah hidroponik, mini dusun, mini sawah padi dan tanaman pasu yang membawa mesej bahawa pertanian tidak semestinya menggunakan kawasan tanah yang luas untuk bercucuk tanam.
"Bagi stesen pendidikan alam sekitar yang dibahagikan mengikut angka merangkumi stesen mengkaji pokok herba, pokok saka atau berkayu, hutan belantara, haiwan, pokok renek dan stesen mengkaji interaksi antara haiwan dengan tumbuh-tumbuhan,'' ujar beliau.
Pembinaan stesen-stesen ini bertujuan meningkatkan kualiti alam sekitar di samping membentuk nilai hidup dan sifat positif murid-murid terhadap alam sekitar.
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










