VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 07/01/1999

Semangat juang inspektor wanita buktikan tahan lasak

Mereka kini bukan sahaja terlibat dalam bidang perguruan yang dikatakan amat sesuai dengan naluri sebagai kaum wanita, tetapi juga terlibat secara langsung dalam pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semangat berjuang inilah yang dibuktikan oleh 15 pegawai wanita daripada 182 pelatih kursus Inspektor bagi kategori Kenaikan Pangkat siri 1/98.

Kumpulan ini menamatkan latihan asas mereka baru-baru ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Bagi kumpulan Inspektor Wanita ini, latihan lasak adalah perkara biasa kerana mereka adalah anggota polis wanita yang telah berkhidmat sekian lama.

Yang penting dalam kursus itu ialah kecekalan dan kesungguhan memastikan mereka dapat terus menjalani kursus dan tamat dengan jayanya.

Inspektor Rosebaini Kasim, 35, yang berasal dari Kuala Selangor berkata, latihan kali ini lebih mencabar dan lasak berbanding latihan asas konstabel yang dijalaninya 11 tahun lalu.

Katanya, ini kerana, latihan ini dijalankan secara bersama dengan pelatih lelaki yang secara fizikalnya lebih bertenaga berbanding wanita.

''Bagaimanapun selepas dua minggu perkara itu tidak lagi menjadi halangan ibarat kata pepatah alah bisa tegal biasa,'' katanya yang hilang berat badan sebanyak 8 kilogram sejak menjalani latihan.

Menurut Rosebaini lagi, empat daripada lima beradiknya turut berkhidmat dalam pasukan keselamatan iaitu tiga orang dalam PDRM dan seorang lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau yang juga salah seorang dee jay rancangan 'Polis dan Anda' yang disiarkan menerusi Radio Malaysia Satu setiap Sabtu berkata, kursus tersebut juga memberi peluang menambahkan pengetahuannya dalam bidang kepolisan.

''Apa yang penting ialah kuatkan semangat serta berusaha gigih dan jangan putus asa,'' jelasnya.

Rakannya, Inspektor Wong Lang Eng, 42, pula melahirkan rasa bangga kerana diberi peluang meningkatkan diri dalam polis setelah 21 tahun berkhidmat.

Katanya, sepanjang tempoh latihan beliau terpaksa mengetepikan soal keluarga buat sementara untuk memberi tumpuan terhadap latihan.

''Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada suami dan ketiga-tiga anak saya yang memberi sepenuh sokongan dan kerjasama sehingga saya menamatkan latihan ini dengan jayanya.

''Saya berharap, kejayaan ini akan dijadikan iktibar oleh anak-anak saya untuk menimba ilmu walaupun pada usia yang telah lanjut,'' tambah beliau yang bertugas di bahagian Jenayah Perdagangan di Bukit Aman sebelum ini.

Bagi Inspektor Suliaha Abd. Hamid yang berasal dari Kampar, Perak, beliau merasa bertuah kerana dipilih menyertai kursus tersebut yang sekaligus meningkatkan pencapaiannya dalam PDRM.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut beliau mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan setiap malam untuk memudahkan pemahaman.

''Anak-anak dan suami juga adalah pendorong utama kejayaan ini walaupun terpaksa ditinggalkan bersama datuk dan nenek di kampung.

''Saya berikrar akan menjalankan tugas dengan baik demi menjaga nama baik pasukan,'' jelas beliau yang bertugas sebagai Sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah sebelum ini.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.