VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 20/12/1998

Di celah-celah kehidupan -- Punca suami suka menggoda perempuan lain

PENGALAMAN pahit yang dilalui oleh seorang gadis minggu lalu yang terpaksa menghadapi hinaan, tohmah dan maki hamun seorang isteri dan kaum keluarganya kerana dituduh cuba menggoda suami orang rupa-rupanya mendapat perhatian daripada seorang ibu muda yang dahulunya juga menghadapi masalah yang lebih kurang sama.

Kata ibu muda ini, pembaca tidak boleh marah dan menyalahkan kaum wanita sahaja jika keadaan ini berlaku, kerana biasanya kaum lelakilah yang akan memulakan langkah menggoda wanita atau gadis yang diminatinya.

Tetapi apabila perkara itu berlaku, terpulanglah kepada gadis atau wanita itu sendiri menilai sendiri hakikat yang terpaksa dihadapinya dan membuat prinsip hidup sendiri.

Kalau nak kata fasal menggoda memang kaum lelaki kaki goda, tetapi kita wanita mesti buat tekad dan tegaskan pendirian kalau tak suka, buat, lakukan dan bertindak cara orang tak suka, maka barulah lelaki tadi sedar diri dan tak berani dekat dengan gadis tersebut.

"Saya cakap ini bukan ikut sedap mulut sahaja, tetapi bercakap daripada pengalaman saya sendiri bagaimana saya hampir-hampir digoda oleh suami orang, tetapi saya tegaskan pendirian saya akhirnya mereka sedar diri dan terpaksa menerima hakikat bahawa saya tak termakan godaan suami orang,'' demikian cerita Noli dalam suratnya yang panjang lebar dan kemudian dalam perbualan kami melalui telefon dengannya sebaik sahaja menerima suratnya.

Kata Noli kisah cuba digoda suami orang ini berlaku lebih 5 tahun lalu, kini dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Kisah itu berlaku semasa dia menuntut di sebuah universiti tempatan. Dan dia berharap pengalamannya akan dijadikan pengalaman oleh gadis-gadis yang senasib.

"Ketika belajar di U secara kebetulan saya satu course dengan Ahmad. Dari raut wajahnya memang dia sudah kahwin. Dia selalu mencari jalan terserempak dengan saya untuk bertemu, mahu bercakap dan seterusnya mahu berkenalan dengan lebih dekat lagi.

"Tetapi saya buat tak kisah aja, cuma dia sahaja yang terkejar-kejar. Nak jadikan cerita kebetulan soalan tugasan saya sama dengan soalan tugasnya. Jadi dengan alasan itu dia mengajak saya berbincang tentang tajuk tersebut, memang saya setuju sebab saya tidak ada niat lain.

" Dia sanggup datang awal ke kampus dan memendekkan cuti semesternya bersama keluarga, saya pula sengaja lengahkan masa pergi berbincang dengannya, tetapi dia bertindak berani menyuruh pengawal keselamatan wanita menjemput saya di bilik hostel dan menyatakan dia sedang tunggu di kafeteria. Dalam pertemuan itu dia sengaja mengambil kesempatan menyatakan hasratnya yang berkenankan saya.

"Tetapi syukur saya tidak mudah perasan, sebenarnya dalam pertemuan itu dia tidak berbincang fasal topik tugas kami, sebaliknya dia copy semua isi assignment saya yang telah didrafkan, dia ciplak.

"Selepas itu pelbagai cara lagi digunakan untuk mendekatkan dirinya dengan saya, tetapi saya tak berkenan, tak terbuka pintu hati. Tetapi orang lelaki ini tinggi dan besar egonya, lagi kita mengelak lagi-lagi dia kejar kita menggunakan pelbagai taktik.

"Kadang-kadang dia beranikan diri buat muka tak malu pinjam nota saya berhari-hari, kemudian dia mencari jalan untuk datang ke hostel saya untuk memulangkannya. Jadi saya terpaksa turun untuk mengambilnya.

"Ketika dia memesan kepada pengawal dia sengaja mengatakan dia menunggu saya di kafeteria. Ketika itulah dia seboleh-bolehnya mengajak saya minum dan makan. Walaupun saya tolak, dia akan memujuk setengah mati supaya saya duduk juga.

"Pernah juga dia membelikan saya makanan tetapi saya tolak mentah-mentah, sebab pada saya tak ada sebab dia nak bagi saya makanan, katanya memujuk bahawa dia tidak jampi makanan tersebut jadi saya mesti ambil juga.

"Namun saya tegas dengan pendirian saya, saya katakan saya tak mahu makan belanja orang, jadi sila bawa makanan pulang dan makan sendiri. Dia juga mengajak saya keluar makan ke bandar, maklum dia ada kereta, dengan kereta itulah dia tunjuk lagak, sebab dia pernah bekerja dulu dan dia belajar untuk mengukuhkan kedudukan akademiknya supaya setanding isterinya seorang siswazah.

"Katanya dia belajar ke U untuk membuktikan bahawa dia juga mampu belajar dan pandai, jangan isterinya sahaja anggap dia seorang pandai dan mempertahankan kedudukannya sebagai suami. Katanya salah satu sebab dia belajar pun kerana sakit hati dengan sikap isterinya. Sebab itu dia tinggalkan isteri dan empat orang anaknya di rumah.

"Seperti yang saya katakan lelaki memang ego, walaupun saya terus terang kata saya tak sudi berkawan dengannya, tetapi dia tetap berkeras. Satu hari dia mencari jalan untuk mengikut saya walaupun dalam masa yang singkat di waktu itulah dia meluahkan isi hatinya pada saya. Tetapi saya anggap dia sebagai sahabat, saudara, abang dan pakcik, tak lebih daripada itu. Dan saya katakan kalaulah saya di tempat isterinya alangkah kecewanya saya kerana kerelaan seorang isteri mengizinkan suaminya belajar, rela ditinggalkan demi mengangkat status suami, akhirnya suami yang disayangi jatuh cinta dengan gadis lain di kampus.

"Dia terdiam dengan penjelasan saya walaupun dia frust. Tetapi dia pandai menarik perhatian saya bersimpati dengannya sambil mendakwa dia terhina di pandangan isteri dan keluarganya semata-mata kerana status mereka berbeza.

"Sayangnya, walaupun ada rasa kasihan di dalam hati saya, tetapi saya tetap tegas dengan prinsip hidup saya tidak mahu menerima suami orang, sebaliknya saya nasihatkan dia supaya menjaga, membimbing dan memujuk isteri dengan baik, melalui jalan yang lebih sempurna, semoga rumah tangganya lebih aman.

"Bagi saya kecelaruan seseorang isteri itu adalah berpunca daripada sikap suami sendiri yang tidak dapat membimbing isterinya dengan baik, bermakna suami gagal menjalankan tugas sebagai ketua keluarga.

"Kalau suami pandai dan bijak walaupun dia berpangkat rendah, tetapi kalau dia boleh memimpin isteri dan keluarganya dengan baik, bermakna dia memang suami yang baik dan cekap. Penjelasan saya itu membuatkan dia merasa amat malu.

"Sejak itu dia terus melarikan diri daripada saya, mungkin dia rasa malu sangat dengan penjelasan saya itu. Kemudian hubungan kami terputus apabila saya tamat pengajian lebih awal daripadanya.

"Peristiwa kedua saya hampir-hampir tertawan dengan suami orang ialah apabila saya dalam proses menyiapkan tesis untuk melengkapkan ijazah saya, saya terpaksa berkunjung ke sebuah jabatan, mengikut satu tajuk tesis yang diberikan saya terpaksa menemui ketua di jabatan tersebut.

"Apa yang seronoknya lelaki ini (Zek) sanggup menghantar saya dan menolong membuat apa sahaja yang saya perlukan untuk memudahkan tesis saya. Dia bukan sahaja sering belanja saya makan, tetapi juga memudahkan saya membuat kajian. Saya tidak berniat mempermainkannya, tetapi memang jelas pada pandangan saya suami orang memang pandai memainkan peranan untuk menggoda gadis lain.

"Saya tak pernah minta bantuannya, berbanding peringkat awal perjumpaan saya dengannya. Tetapi dia sering datang berjumpa saya dan bertanyakan apakah saya memerlukan bantuannya.

"Berkat pertolongannya, memang kerja saya jadi mudah dan saya memang berterima kasih terhadapnya. Satu hari waktu saya nak balik kampung dia datang berjumpa saya di rumah sewa dan sanggup menghantar saya ke stesen bas. Dalam perjalanan itulah dia melahirkan isi hatinya, bahawa dia sudah lama terpikat dengan saya. Terkejut beruk saya.

"Tetapi saya tidak mahu memalukannya, saya katakan bahawa masanya belum tiba untuk saya berumah tangga, saya perlu bekerja dulu dan membantu keluarga saya terutama menyekolahkan adik-adik, itu matlamat saya. Helah saja.

"Apabila saya dapat tawaran kerja, dia cari saya ketika nak pindah, tetapi saya terus terang katakan kepadanya bahawa saya sudah bertunang semasa balik kampung, dia tak percaya, tetapi saya katakan itu adalah pilihan keluarga saya tak dapat mengelak.

"Walaupun dia kata saya bohong, tetapi itulah kenyataan bahawa saya telah dilamar oleh kawan lama melalui keluarga saya dan saya terpaksa berterus terang, lagipun saya memang tak minat dengan dia yang cuba jual minyak itu.

"Saya paparkan kisah saya ini bukan nak tunjuk-tunjuk kepandaian saya mengelak bercinta dengan suami orang, ataupun saya memang bertuah sebab cepat dapat jodoh, tetapi cuma ingin memberitahu bahawa gadis-gadis boleh mengelakkan diri mereka daripada jatuh cinta dengan suami orang dengan meletakkan dinding di depan kita.

"Kalau kita tahu lelaki itu sudah kahwin dan cuba 'nak jual ubat' katakan kepada dia terus terang bahawa kita tidak berminat bermadu. Tegaskan juga prinsip hidup kita itu, jangan dengar cakapnya banyak-banyak, kalau telefon jangan angkat, buangkan perasaan kasihan dalam diri, kerana tidak semua cakap mereka betul, biasanya mereka memujuk rayu untuk menggoda.

"Saya cakap begini daripada pengalaman sendiri, bagaimana saya mengelakkan mereka hidup dalam jiwa saya, kerana kalau mereka selalu sangat dilayan mereka akan mengambil kesempatan menggunakan pelbagai taktik.

"Bagaimanapun tidak saya nafikan semua itu bergantung kepada sikap individu sendiri dan prinsip hidup mereka, kalau lemah pasti kita akan mudah ditawan oleh kaum lelaki yang memang bertujuan untuk menggoda,'' demikian menurut Noli menceritakan pengalamannya.

Kalau ikut cerita Noli memang mudah, semuanya boleh diatasi, dan terpulanglah kepada pegangan hidup kita sendiri apakah kita jenis yang lemah, mudah dipujuk rayu ataupun lekas sangat tertipu dengan rayuan yang mengandungi pelbagai makna untuk faedah sendiri.

Biasanya lelaki pandai merayu, tetapi apabila si gadis sudah termakan pancingnya, mereka jadi gundah gulana kerana bimbang isteri di rumah tidak boleh menerima kenyataan sebenarnya, waktu itulah akan berlaku peristiwa tarik tali, tunggu-tunggu, sabar-sabar, kecuali si gadis bersedia nikah di sempadan dan menanggung segala risiko sebagai isteri kedua.

Namun tidak dinafikan ada juga orang berpoligami aman walaupun tak damai, ia terpulang kepada kebijaksanaan suami membimbing rumah tangganya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.