Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 04/11/1998
Hadiah Nobel: Saintis sambut cabaran PM

Hadiah Nobel: Saintis sambut cabaran PM

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Para saintis dan ahli akademik sains negara menyambut baik cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya mereka menampilkan seorang pemenang hadiah Nobel sebelum tahun 2020.

Mereka berpendapat cabaran itu wajar disahut dengan komitmen para saintis mengadakan penyelidikan yang berterusan untuk penemuan sains yang berguna untuk manusia.

Jelas mereka, penyelidikan asas oleh para saintis yang menghasilkan penemuan baru dalam bidang sains mampu melayakkan seseorang saintis itu untuk meraih hadiah Nobel.

Pengarah Bahagian Sains dan Teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Prof. Ishak Ismail berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada para saintis dan akademik sains untuk menjalankan penyelidikan sains.

Menurutnya, pemberian geran penyelidikan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan syarikat swasta merupakan sokongan kerajaan supaya mereka mempergiatkan 'penyelidikan pintar' dan bukan sekadar penyelidikan bertahun-tahun sahaja.

Beliau menambah, usaha ke arah menampilkan saintis tempatan bertaraf dunia itu digiatkan melalui kerjasama dengan negara Hungary.

''Hungary dipilih berdasarkan kejayaannya sebagai sebuah negara kecil di Eropah yang melahirkan ramai saintis dan antara mereka pernah memenangi hadiah Nobel,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bioteknologi Direktokrat Bioteknologi Kebangsaan, Prof. Latif Ibrahim berkata, cabaran untuk menampilkan pemenang hadiah Nobel itu sewajarnya disahut oleh para saintis muda terutamanya yang berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Menurutnya, mereka perlu mempergiatkan penyelidikan dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencapai kejayaan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

''Usaha mencapai hadiah Nobel sebenarnya banyak bergantung kepada keaslian penyelidikan dan penemuan mereka yang mampu memberi pengetahuan kepada masyarakat.

Kenyataan itu turut disokong oleh Dr. Nahrul Khair Alang Md. Rashid dari Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) yang menjelaskan bahawa sesuatu penemuan sains itu memakan masa untuk diiktiraf penggunaannya oleh masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi MINT itu berkata, sumbangan para saintis dalam bentuk kaedah dan teori serta kemajuan semasa dalam bidang-bidang yang lain perlu ada bagi menyokong penemuan itu digunakan secara praktikal.

''Penemuan yang berjaya memenangi hadiah Nobel pula tidak semestinya dikomersialkan dalam masa singkat kerana kebanyakan penemuan bersifat penyelidikan asas dan bukannya penyelidikan gunaan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yakin saintis Malaysia mampu memenangi hadiah Nobel dengan sokongan masyarakat yang mempunyai kepekaan terhadap sains dan teknologi.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Johari Md. Saad berkata, seseorang saintis itu tidak boleh merancang untuk mendapat hadiah Nobel melalui penyelidikan dan penemuan.

''Para saintis biasanya tidak merancang untuk menang tetapi apabila mereka mendalami penyelidikan masing-masing dan memperolehi penemuan-penemuan baru yang meliputi kepentingan manusia, ia menjadi sesuatu yang berguna dan berharga,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN