VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 01/11/1998

Siti Nurhaliza dapat pengiktirafan di Jepun


ANGGUN... Siti Nurhaliza mengenakan salah satu daripada baju yang dipakai ketika mengadakan persembahan di Saga, Jepun baru-baru ini.


KALI pertama ditawarkan peluang untuk beraksi di Pop Queen Festival, hati kecil Siti Nurhaliza tertanya sendirian mampukah dia membuat persembahan yang terbaik. Berjayakah dia menambat hati peminat muzik di sana?

Baginya peluang yang ditawarkan kepadanya ketika itu adalah suatu tugas yang maha berat. Meskipun pemergiannya ke negara matahari terbit itu sekadar muncul sebagai penyanyi jemputan, namun sekali gus dia membawa nama dan imej negara.

Kata Siti Nurhaliza, ketika setibanya di sana dia dapat merasakan bahawa menerusi seni juga seluruh masyarakat dari segenap pelosok dunia dapat disatukan.

"Memang benar kata orang muzik itu cukup universal. Menerusi muzik kita dapat menyatukan manusia selain dapat menikmati hiburan serta lain-lain yang boleh membawa kepada satu usaha yang murni.

"Namun yang paling penting sekali pengamal muzik mestilah punya sikap bertanggungjawab terhadap tugasnya,'' ujarnya yang ditemani oleh ibunya, Siti Salmah Bachik dan Pengarah Urusan syarikat rakaman Suria Record, Tan Sook Loke.

Biarpun dia berada di Saga tempat berlangsungnya festival itu selama lima hari, namun Siti Nurhaliza hanya memperolehi peluang selama dua malam sahaja untuk 'menjaja' muzik Melayu - muzik yang menjadi kebanggaannya.

Cindai, Purnama Merindu dan Satu Cinta Dua Jiwa, tiga lagu yang menjadi pilihan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu untuk dipersembahkan kepada masyarakat di sana.

Selain Siti Nurhaliza sebagai wakil dari Malaysia, turut menjayakan persembahan di festival itu juga ialah beberapa artis terkenal dari negara Filipina dan Jepun sebagai tuan rumah.

Setiap artis jemputan yang menjayakan festival itu mendendangkan lagu-lagu popular mereka.

Menurut Siti Nurhaliza, daripada pengamatannya masyarakat di sana punya mentaliti yang hampir sama dengan peminat muzik di negara ini iaitu sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana penyanyi yang beraksi di negara mereka.

"Siti bersyukur dan gembira kerana kemunculan Siti mendapat sambutan yang cukup baik kerana daripada apa yang Siti lihat mereka bagaikan terpukau dengan keindahan melodi lagu-lagu Melayu.

"Daripada perbualan Siti dengan rakan-rakan artis dari negara Jepun dan Filipina juga mereka menyatakan kekaguman mereka terhadap lagu Melayu yang disifatkan punya keindahan dan keunikan yang tersendiri,'' kata Siti Nurhaliza yang mengenakan dua persalinan yang menampilkan ciri-ciri rekaan Malaysia ketika mengadakan persembahannya.

Mengenai matlamat festival yang diadakan itu, daripada apa yang diberitahu oleh pihak penganjur kepadanya, festival yang turut dikenali sebagai Saga Fiesta '98 itu diadakan secara tahunan bagi mengingati kematian bekas Gabenor daerah Saga (di mana berlangsungnya festival) yang merupakan satu-satunya Gabenor wanita yang menjadi pemerintah pada kira-kira 100 tahun lalu.

Berikutan itu kata Siti Nurhaliza lagi, festival itu dinamakan sebagai Pop Queen Festival atau dalam bahasa Melayu Festival Ratu Pop yang hanya mengetengahkan penyanyi-penyanyi wanita. Namun tidak dinafikan penyanyi lelaki juga mendapat tempat.

"Bagaimanapun kebelakangan ini pihak penganjur turut memberi laluan kepada penyanyi lelaki dan tidak terhad kepada penyanyi wanita semata-mata,'' katanya sambil memberitahu pemilihan dia sebagai wakil Malaysia dibuat oleh syarikat rakaman PonyCanyon (Malaysia) yang sudah sekian lama bertindak selaku perantara dengan pihak penganjur.

Pengalaman manis ini juga katanya, insya-Allah akan diulanginya sekali lagi pada pertengahan November ini kerana dia sekali lagi terpilih ke negara itu sempena dengan ekspo muzik yang akan berlangsung di Osaka.

Dalam nada penuh bangga Siti Nurhaliza berkata, dia berjanji untuk menampilkan persembahan yang lebih baik untuk memastikan nama baik dan reputasi negara terus terpelihara.

Sekembalinya dari Osaka, Siti Nurhaliza akan kembali sibuk kerana dia dan teman artis Noraniza Idris akan mengadakan persembahan When The Rivers Meet khusus untuk tetamu negara yang akan menjayakan Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Selepas berehat seketika, Siti Nurhaliza perlu bekerja keras sekali lagi untuk menjayakan pertandingan separuh akhir Muzik Muzik anjuran TV3 di mana empat lagu nyanyiannya terpilih menyertainya. - Oleh Saharudin Musthafa

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.