VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 26/10/1998

Populariti... bukan terletak pada gaya seksi


SITI NURHALIZA.


MENCARI artis yang bersopan dan beretika dalam berpakaian sebenarnya satu pencarian yang sukar.

Meskipun dunia seni tempatan semakin mewah dengan bakat-bakat baru, kebanyakan mereka nampaknya lebih senang untuk memilih imej dan konsep berpakaian yang mendedahkan.

Pada mereka, tidak 'sah' gelaran dinamakan artis jika mereka tidak tampil dengan imej seksi dan menjolok mata.

Keseksian seakan menjadi pra-syarat untuk dikenali apatah lagi dalam keadaan mereka terpaksa bersaing untuk merebut perhatian peminat.

Namun, masih terdapat beberapa kerat artis tidak rela menjadikan tubuh badan mereka sebagai bahan untuk dipertontonkan.

Nyata prinsip dan pilihan mereka tidak sia-sia. Walaupun tidak menampilkan imej seksi dan menjolok mata ketika berpakaian, mereka tetap memperolehi kejayaan cemerlang dan gemilang.

Penyanyi yang popular dengan lagu Renungan Terakhir, Nora dianggap sebagai penyanyi yang bersopan dan sering mengelak daripada terlibat dengan sebarang anasir yang boleh merosakkan nama baiknya.

Sebagai isteri dan ibu, Nora memilih untuk bersederhana dalam berpakaian dan dalam masa yang sama masih mengikuti perkembangan fesyen semasa.

''Bersopan bukan bererti kita tidak mengikuti peredaran fesyen semasa. Banyak fesyen baru yang diketengahkan dan sebahagiannya juga tidak menjolok mata si pemakai. Jadi kita boleh membuat pilihan dalam perkara ini,'' jelas Nora.

Penyanyi ini juga secara peribadi menyifatkan artis yang benar-benar berbakat tidak akan menggunakan keseksian untuk menarik perhatian.

Sebaliknya jelas beliau, artis yang menggunakan pendekatan seksi adalah mereka yang tidak yakin dengan bakat dan kemampuan diri sendiri.

'' Adalah penting bagi setiap artis untuk menonjolkan kemampuan sebenar mereka dalam bidang seni tanpa mengeksploitasikan diri sendiri,'' jelasnya.

Sementara itu, penyanyi remaja, Siti Nurhaliza juga mampu menjadi contoh kepada sebahagian artis lain.

Awal-awal pembabitannya dalam bidang seni tiga tahun lalu, penyanyi ini telah menolak apabila diminta untuk mengenakan pakaian seksi di dalam majalah mahupun di majlis keraian.

Walaupun pada mulanya timbul kontroversi dan ada yang mennyifatkan penyanyi ini sebagai 'kolot' dan ketinggalan zaman, Siti berjaya membuktikan, tanpa imej seksi, artis masih boleh menempa kejayaan yang gemilang.

Bahkan kerana prinsip itu, Siti semakin dihormati peminat dan dia muncul sebagai penyanyi paling popular ketika ini.

''Pada mulanya ada pihak yang mempertikaikan prinsip Siti yang tidak mahu berpakaian menjolok mata dan menolak untuk bergambar dengan artis lelaki untuk mengelak gosip.

''Bagaimanapun lama kelamaan mereka memahami prinsip Siti dan Siti bersyukur kerana peminat semakin menghormati Siti sebagai artis'' jelasnya.

Menurutnya, memilih karier sebagai penyanyi tidak bererti menggadaikan segala prinsip dan pegangan peribadi.

Baginya, sebagai remaja yang dikenali dia harus pandai menolak sebarang anasir yang boleh mencemarkan nama baiknya dan keluarga

''Sebagai artis, Siti sedar banyak tanggungjawab sosial lain yang harus dipikul. Jadi, Siti memilih untuk bersederhana dalam segala hal termasuk cara berpakaian.

''Siti mahu menampilkan bakat dan kebolehan suara yang dianugerahkan oleh Tuhan tanpa bersandarkan kepada keseksian,'' jelasnya.

Katanya, cara berpakaian adalah soal individu, tetapi artis harus ingat bahawa terdapat sebahagian remaja yang menjadikan artis sebagai idola mereka.

Liza Hanim pula memberitahu, cara pemakaian adalah hak individu dan seseorang artis tidak dipaksa dalam berpakaian.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan seksi tidak akan bertahan lama dan menyebabkan peminat hilang rasa hormat terhadap artis terbabit.

''Sampai bila kita mahu seksi? Mungkin hari ini kita boleh popular dengan pendekatan itu tetapi kita harus sedar, bahawa kita mempunyai tanggungjawab lain sebagai penyanyi,'' jelasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.