VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Ogos 2014 / 6 Syawal 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 09/10/1998

Kolej Ikram jamin pendidikan dan pekerjaan

Latihan teknikal melalui sijil selama empat semester (16 bulan) itu sesuai untuk lulusan SPM walaupun dengan kelulusan minimum pangkat tiga.

Menurut Pengerusi Kolej Ikram, Datuk Ir. Mohd. Haris Abas, dengan sijil yang dimiliki itu, mereka sudah layak memohon pekerjaan kerana sijil tersebut menyediakan mereka dengan kemahiran-kemahiran teknikal yang diperlukan di dalam pasaran pekerjaan.

''Lebih istimewa lagi Ikram akan bertanggungjawab mencarikan mereka pekerjaan di beberapa syarikat rangkaian kami yang sememangnya memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sains dan teknologi,'' katanya ketika melancarkan pakej berkenaan di Kajang, baru-baru ini.

Bagaimanapun tambahnya, sasaran Kolej Ikram ialah 60 peratus daripada pelajar yang menamatkan kursus di peringkat sijil akan meneruskan pengajian ke peringkat diploma. Menurut Ir. Mohd. Haris, pelajar yang cemerlang dalam dua semester pertama akan terus diserapkan ke peringkat diploma sementara mereka yang gagal di semester terakhir (semester empat) berpeluang menyambung pelajaran dalam program kemahiran selama enam bulan.

''Program kendalian Institut Latihan & Pendidikan Kembangan (ILPK) yang bermula setiap November itu antara lain menawarkan kursus-kursus seperti pendingin hawa, pendawaian elektrik, kejuruteraan automatif, jambatan, jalan raya, bangunan, peti sejuk, dan bekalan air,'' jelasnya.

Kata beliau lagi, kelonggaran pengambilan lulusan pangkat tiga SPM ini juga bertujuan mengurangkan gejala lepak dan peperiksaan berulang yang sedikit sebanyak menyumbangkan kesan psikologi kepada pelajar berkenaan.

Menjelaskan lanjut mengenai Kolej Ikram, Ir. Mohd. Haris berkata, Kolej Ikram mengamalkan konsep keanjalan mutlak kepada para pelajarnya. Ini dibuktikan melalui kelonggaran yang diberikan kepada mereka yang gagal meneruskan pengajian kerana ketiadaan wang, untuk berhenti belajar.

''Mereka boleh menyambung semula pengajian dalam tempoh lima tahun. Jangka masa tersebut ditetapkan memandangkan setiap kursus yang ditawarkan mungkin berubah-ubah dan tidak sesuai lagi dengan kehendak semasa,'' jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, hasil perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Tabung Pendidikan Negara (TPN), Kolej Ikram turut menyediakan biasiswa dan menguruskan pinjaman pendidikan pelajar dengan bayaran balik yang minimum.

Tambah Ir. Mohd. Haris, Ikram juga sedang dalam peringkat mendapatkan persetujuan daripada beberapa yayasan negeri dan syarikat terkemuka di negara ini seperti Petronas dan Renong bagi tujuan tajaan pelajar.

Kolej Ikram yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kerja Raya Malaysia menawarkan program francais diploma dan ijazah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UUM) dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT).

Ikram yang menjalankan latihan dan penyelidikan bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) itu juga mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti di United Kingdom seperti Universiti Strathclyde, Universiti Surrey, Universiti Birmingham dan Universiti Sheffield Hallam. Sesuai dengan motonya, 'Demi Ilmu Demi Insan' Ikram memberikan jaminan menjaga kebajikan pendidikan para pelajar dari peringkat paling bawah (sijil) hingga ke tertinggi Doktor Falsafah (Ph D.).

''Di Ikram, pelajar hanya perlu belajar. Bagi proses menyambung pelajaran atau soal kewangan, mereka tidak perlu risau kerana kami akan membantu sedaya upaya,'' jelasnya.

Ibu bapa berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Kolej Ikram boleh menghubungi pihak berkenaan di alamat Taman Ilmu Ikram, Jalan Serdang, 43000 Kajang, Selangor atau nombor telefon 03-8373320.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.