VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 28/09/1998

Jenis-jenis kecelaruan

PERSONALITI merupakan kualiti berkekalan yang terdapat pada seseorang bagi menunjukkan tingkah laku dan cara berfikir yang sama dengan individu lain dalam situasi yang berbeza-beza.

Kualiti inilah yang menjadikan seseorang kelihatan unik dan membolehkan individu lain membuat ramalan tentang tingkah laku dan pemikirannya.

Bagaimanapun, terdapat bermacam-macam personaliti (personality disorder) yang menunjukkan berlakunya gangguan pada fungsi kerja mahupun sosial.

Pakar Perunding Psikiatri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Zulkifli Ghaus memberitahu sekiranya keadaan ini tidak dikesan dan berterusan ia merugikan pesakit.

''Kecelaruan personaliti yang dibiarkan boleh merosakkan diri sendiri, rumah tangga serta menyebabkan seseorang boleh kehilangan pekerjaan,'' katanya.

Menurut beliau, perasaan malu yang menebal antara faktor yang menghalang individu terbabit untuk mendapatkan nasihat doktor.

Sebaliknya, perbincangan dengan doktor boleh membantu individu mencari kelemahan dan kekuatan diri seterusnya berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

PUNCA
Hingga kini, tidak ada satu teori kukuh untuk menjelaskan punca kecelaruan personaliti.

Antara faktor yang dikenal pasti ialah :

* Biologi (genetik)
Kajian anak kembar dan anak angkat yang telah dipisahkan daripada ibu bapa mendapati faktor genetik memainkan peranan penting dalam menimbulkan personaliti antisosial.

Sebanyak 20 sehingga 25 peratus anak-anak ini mempunyai personaliti yang sama dengan ibu bapa mereka yang mempunyai personaliti antisosial.

Sebahagian daripada pesakit yang mempunyai kecelaruan personaliti mempunyai bacaan Electro Encephalography (EEG) yang tidak normal.

Ini mungkin menggambarkan perkembangan otak yang kurang baik.

Terdapat teori mengatakan, pengeluaran hormon testosteron dan serotonin yang tinggi boleh menjadikan seseorang individu menjadi agresif.

Sebaliknya, kadar hormon endorfin yang rendah pula boleh menjadikan seorang pasif.

* Psikologi:
Sigmund Freud berpendapat, seorang individu perlu melalui beberapa peringkat-peringkat pengalaman sejak dilahirkan.

Peringkat-peringkat ini dikenal sebagai:
a. Peringkat mulut (oral phase).
b. Peringkat dubur (anal phase).
c. Peringkat kubul (phalic phase).
d. Peringkat pendaman (latency phase).
e. Peringkat kejantinaan (genital phase).

Apabila tahap-tahap ini tidak dilalui dengan baik maka terjadilah ''fixation'' pada tahap itu, misalnya terjadi keadaan yang kucar-kacir dalam keluarga pada peringkat oral.

Fixation pada tahap oral akan menyebabkan individu tersebut menjadi pasif, sangat bergantung (dependant) dan banyak syak wasangka.

Pada peringkat anal pula akan memberi suatu personaliti yang degil, kedekut dan obsesif.

Beberapa ahli psikoanalitik berpendapat ada faktor-faktor lain yang memainkan peranan penting.

Alfred Adler berpendapat perasaan rendah diri dan cara mengatasinya memainkan peranan dalam pembentukan personaliti.

Erikson pula menekan bahawa personaliti berkembang sehingga umur tua dan masa remaja adalah peringkat perkembangan yang sangat berpengaruh.

* Sosiobudaya:
Mengikut Stella Chess dan Alexander Thomas, gangguan pada personaliti mungkin terjadi hasil didikan orang tua.

Sebagai contoh, kanak-kanak mudah cemas apabila dijaga oleh ibu bapa yang mudah cemas, jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang dijaga oleh ibu bapa yang tenang.

Manakala teori Social Learning Theory berpendapat, personaliti hanya dapat dipelajari dari orang lain.

JENIS-JENIS KECELARUAN PERSONALITI:
* Paranoid
a. Selalu berperasaan syak wasangka.
b.Tidak mahu berbincang kerana takut orang lain akan bocorkan rahsianya.
c. Sangat sensitif dengan kritikan dan sering bertindak agresif.
d.Selalu berfikiran buruk terhadap orang lain.

* Schizoid
a. Tidak menyenangi hubungan sosial yang rapat.
b. Lebih menyukai kegiatan yang bersendirian.
c. Hanya sedikit aktiviti yang dapat memberikan kepuasan.
d. Boleh bersikap pelik jika dipuji atau sewaktu menerima cacian.
e. Dingin dari segi emosi.

* Schizotypal
a. Kepercayaan yang sangat kuat pada hal-hal yang karut, khayalan atau kuasa-kuasa ghaib yang menyimpang.
b. Pemikiran dan pendapat yang kurang jelas dan ganjil.
c. Seringkali bersikap syak wasangka.
d. Penampilan yang ganjil dan tidak sesuai dengan keadaan.
e. Kurang bergaul.

* Antisosial
a. Tidak mengikut norma-norma sosial dan selalu melakukan hal-hal yang melanggar undang-undang.
b. Suka menipu, memutarbelitkan fakta, berbohong untuk kepentingan diri sendiri.
c. Melakukan hal-hal yang tidak dirancang sebelumnya.
d. Suka marah, agresif dan sering kali berkelahi.
e. Tidak mementingkan keselamatan orang lain.
f. Tidak bertanggungjawab dan tidak ada perasaan menyesal.

* Borderline:
a. Selalu berusaha untuk menghilangkan perasaan ditinggalkan atau keadaan diabaikan.
b. Sukar untuk mengadakan suatu hubungan sosial yang stabil.
c. Terdapat gangguan identiti.
d. Melakukan hal-hal dengan tidak berfikir panjang.
e. Kerap melakukan percubaan bunuh diri.
f. Sering meluahkan ancaman bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.
g. Merasakan bahawa kehidupannya kosong dan sukar menangani perasaan marahnya.

* Histrionik:
a. Selalu inginkan perhatian orang lain.
b. Emosi yang sering berubah-ubah dalam jangka waktu yang pendek.
c. Menggunakan penampilan fizikalnya untuk menarik perhatian orang lain.
d. Suka membesar-besarkan hal yang remeh-temeh atau kecil.
e. Mudah dipengaruhi oleh kata-kata atau pendapat orang lain.
f. Menganggap sesuatu hubungan sosial itu lebih rapat dari keadaan sebenarnya.

* Kecelaruan Personaliti Nasisistik:
a. Suka membanggakan diri sendiri.
b. Selalu berfikir tentang kejayaan, khayalan, kecantikan dan kekuasaan.
c. Percaya bahawa dirinya unik dan tergolong dalam masyarakat kelas tinggi.
d. Amat suka mendapat kepujian yang berlebihan.
e. Suka mengambil kesempatan atas orang lain.
f. Kurang empati (keadaan di mana seorang itu dapat merasakan perasaan orang lain).
g. Suka cemburu atau dengki dengan kejayaan orang lain.
h. Perasaan bongkak dan suka memandang rendah atas orang lain.

* Avoidant (Mengelak):
a. Sering kali mengelak tugas yang diberikan kerana takut dikritik dan diketepikan.
b. Tidak suka bergaul kerana takut dimalukan atau diperkecilkan.
c. Selalu ada perasaan tidak mampu atau rendah diri.
d. Tidak mahu ambil risiko atau membuat aktiviti baru kerana takut gagal dan dipandang rendah.
e. Kecelaruan personaliti dependant (Ketergantungan):
f. Sukar untuk membuat keputusan dalam urusan seharian.
g. Memerlukan orang lain untuk membuat keputusan.
h. Sukar untuk membantah kerana takut kalau kehilangan sokongan orang tersebut.
i.Sukar untuk memulakan suatu projek.
j. Bersusah payah untuk mendapat sokongan orang lain.
k. Kurang serasi atau timbul perasaan tidak selesa bila bersendirian.
l. Cepat mencari pengganti bila suatu persahabatan atau hubungan sosial itu tamat.
m. Timbul rasa ketakutan yang tidak munasabah bila terpaksa berdikari.

* Obsessif-Kompulsif:
a. Selalu memikirkan cara atau hal yang tidak penting misalnya cara, perkataan yang digunakan atau kebersihan sehingga hal-hal yang lebih penting dan utama diabaikan.
b. Inginkan kesempurnaan dalam segala urusan sehingga menyusahkan orang lain.
c. Pengabdian yang berlebihan pada tugas-tugasnya.
d. Sangat sensitif dan tidak mahu bertolak-ansur dengan hal-hal yang berkaitan dengan moral dan nilai-nilai sosiobudaya.
e.Tidak mahu tugas-tugasnya diberikan pada orang lain kerana kurang yakin akan kemampuan orang lain.
f.Bersikap degil dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain.

DIAGNOSA
Diagnosa kecelaruan personaliti hanya dilakukan sekiranya personaliti itu mengganggu fungsi sosial atau pekerjaan individu itu.

Setiap individu akan mempunyai suatu personaliti tertentu dan biasanya personaliti ini mempunyai campuran dengan pelbagai personaliti lain.

Misalnya seorang itu boleh mempunyai sifat obsessif, sekali gus mereka juga suka mengelak dari tugas atau selalu bersikap syak wasangka di mana keadaan ini dianggap normal.

RAWATAN
* Ubat-ubatan biasanya tidak digunakan kecuali untuk gejala khusus seperti perasaan cemas, kurang tidur atau kemurungan.

Rawatan dengan ubat biasanya mempunyai jangka masa pendek sahaja kerana dikhuatiri pesakit akan menyalahgunakan ubat tersebut atau terlalu bergantung kepada ubat.

* Psikoterapi
Psikoterapi meliputi memberi sokongan moral dan melahirkan kepercayaan antara kakitangan dan pesakit.

Psikoterapi secara kelompok digunakan bagi menimbulkan kesedaran individu tentang kesan tingkah lakunya pada orang lain dengan harapan pesakit akan menukar pola tingkah lakunya.

Terdapat juga program serta terapi lain seperti Behaviour Therapy atau Cognitive Behaviour Therapy yang boleh digunakan untuk mengubah pola tingkah laku dan cara berfikir seorang individu itu.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.