VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/08/1998

Publisiti Sukan Komanwel di Australia

PUBLISITI menyeluruh Sukan Komanwel, Kuala Lumpur '98 mula dilancarkan di Australia. Iklan-iklan mengenai sukan kedua terbesar di dunia itu turut dipamerkan di televisyen Australia.

Iklan yang baru ditayangkan di televisyen Australia ialah mengenai syarikat penerbangan rasmi Kuala Lumpur '98. Iklan tersebut amat menarik, memperlihatkan sekumpulan pelumba basikal berlumba di atas sebuah Jumbo Jet.

Craig Skehan menulis dalam akhbar Melbourne Age: ''Jarang sekali penganjur Sukan Komanwel dibidas mengenai pra-Sukan Komanwel seperti yang diterima oleh Malaysia.

''Malaysia hanya mahukan pesta itu diteruskan!'' Tulis Skehan lagi. Tambahnya, Australia baru sahaja menghantar Chef-de-Mission, Don Stockins yang akan mengetuai 450 ahli sukan dan pegawai ke Kuala Lumpur.

Skehan memetik Stockins dalam tulisannya: ''Saya rasa kita akan menyertai acara sukan yang menarik. Dari segi tempat berlangsungnya acara, ia adalah yang terbaik. Saya tidak pernah melihat tempat berlangsungnya Sukan Komanwel seperti ini. Saya tidak dapat menemui sebarang kesilapan atau masalah.''

Tulisan Skehan mengesahkan Malaysia telah melaksanakan usaha yang gemilang untuk memastikan Sukan Komanwel yang pertama dilangsungkan di Asia, merupakan yang terbesar dan paling berjaya. ''Kuala Lumpur '98 dilihat sebagai acara ujian bagi Malaysia untuk mendapatkan hak menganjurkan Sukan Olimpik 2020.''

Menurut Skehan lagi, keupayaan untuk menganjurkan acara ini merupakan tanda dasar pembangunan 'berfikiran besar' Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memberitahu pembaca Melbourne, sekarang adalah masanya untuk melawat Malaysia kerana sekarang ini mata wang ringgit Malaysia merosot 30 peratus berbanding dolar Australia, menjadikan lawatan ke Malaysia lawatan yang mampu dilakukan oleh penduduk negara itu.

Ujar Skehan, Malaysia amat kecewa dengan laporan negatif media Australia dan Britain mengenai Malaysia, tetapi laporan negatif itu tidak benar sama sekali. Kualiti udara di Kuala Lumpur baik, di mana hujan yang turun berjaya menghapuskan jerebu.

Bagaimanapun , para pegawai Kuala Lumpur '98 juga masih tidak puas hati dengan laporan media Australia yang setakat ini tidak memperlihatkan laporan positif mengenai Malaysia.

Satu contoh laporan negatif media Australia berlaku apabila kerajaan Malaysia membatalkan penajaan syarikat pembuat minuman keras, Carlsberg. Media Australia mendakwa ini berpunca daripada 'fundamentalis Islam' di Malaysia.

'Fundamentalis Islam' adalah salah satu daripada ungkapan utama yang sering digunakan oleh media Australia apabila melaporkan sesuatu berita mengenai Kuala Lumpur '98. Ia merupakan satu laporan sensasi dan sama seperti laporan mengenai Iran. Media Australia juga berkata, pembatalan penajaan ini akan mencetuskan masalah kewangan.

Skehan menjelaskan mengenai salah faham ini dengan menulis, perkara utama yang dilupakan oleh media Australia dalam menghasilkan laporan mereka adalah fakta bahawa dana bagi Kuala Lumpur '98 adalah terjamin kerana keseluruhan projek Kuala Lumpur '98 dijamin oleh kerajaan.

Skehan memetik, Britain tidak dapat menghantar pasukan kriket kebangsaannya ke Kuala Lumpur '98 kerana mereka tidak mendapat 'peruntukan'. Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pasukan kriket kebangsaan Australia yang dihantar adalah pasukan yang telah memulakan latihan di Malaysia dengan menyertai pertandingan Siri 8.

Channel Nine Australia, kemungkinan rangkaian komersial terbesar telah mendapatkan hak penyiaran Kuala Lumpur '98, dan akan menghantar pasukan penyiaran berjumlah 400 orang, termasuk pengulas sukan terkemuka televisyen, Ray Martin.

Ini menyebabkan Sukom Ninety-Eight Berhad, syarikat yang mengendalikan Kuala Lumpur '98, membeli ruang iklan 30 saat bernilai A$30 juta (RM78 juta) dalam Channel Nine bagi menggesa penduduk Australia menyaksikan Sukan Komanwel di Malaysia.

Atlet-atlet Australia telah pula berlatih untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca Malaysia dengan mengadakan latihan di Darwin, Cairns dan Brisbane.

Don Stockins yakin Australia dapat menandingi jumlah pungutan pingat iaitu 182 termasuk 87 emas pada temasya Sukan Komanwel pada tahun 1994.

Ketua Menteri Victoria, Jeff Kennett akan berada di Kuala Lumpur semasa Sukan Komanwel bersama-sama dengan sekumpulan pelobi Australia dalam usaha Melbourne untuk melobi sokongan bagi mendapatkan hak menganjurkan Sukan Komanwel 2006.

Wakil dari Jawatankuasa Penaja Sydney bagi Sukan Olimpik 2000 pula akan memerhatikan dengan minat prestasi Malaysia.

Skehan memetik seorang pegawai Sukom yang berkata: ''Media Australia tidak berlaku adil terhadap kami. Mereka seperti berusaha untuk menjatuhkan kami''.

Seorang wartawan Australia yang tidak berusaha untuk menjatuhkan Malaysia menulis dalam Weekend Age. Tajuk tulisannya ialah 'Kuala Lumpur merupakan Bandar raya Asia pertama menganjurkan Sukan Komanwel'. Tricia Welsh menjelaskan mengapa ia pilihan yang baik.

Tulisannya: ''Infrastruktur yang mengagumkan, dan kelengkapan sukan yang hampir siap, stadium tertutup, pusat skuash, kompleks akuatik, pusat hoki dan stadium utama yang mampu menerima 100,000 peminat sukan, yang akan menjadi gelanggang utama serta acara pembukaan dan penutup.

''Pelancong yang pertama kali datang ke Kuala Lumpur pasti terpegun dengan keindahan bangunan moden dan bangunan lama yang merupakan binaan Cina serta kolonial,yang dibina sebelum perang seperti Kelab Diraja Selangor.

Menara berkembar Petronas, pada waktu malam dihiasi dengan lampu yang memperlihatkan menara itu seperti kerongsang yang unik.

Tulisan Tricia Welsh, dimuatkan dua pertiga muka surat akhbar itu, memperlihatkan pujian melambung mengenai Malaysia, Jalan Petaling, makanan tradisional, Pasar Budaya yang menempatkan kraf-kraf tradisional Melayu dan lauk kari pada harga yang murah.

Tricia Welsh juga menceritakan mengenai pusat-pusat membeli-belah yang besar serta kedai bebas cukai dan restoran-restoran besar yang membawakan imej 'Barat bertemu Timur'.

Beliau juga mencadangkan warga Australia tidak hanya melawat Kuala Lumpur tetapi harus melawat tempat-tempat lain seperti Pulau Pinang, Bandar Bersejarah Melaka, kawasan penanaman teh, Cameron Highlands, malahan lebih jauh dari itu dengan melawat Sarawak dan Sabah.

Welsh menamatkan tulisannya dengan menyatakan kemampuan penduduk Malaysia berbahasa Inggeris menyebabkan pengunjung mudah untuk pergi ke mana-mana, tambahan pula penduduk Malaysia adalah peramah dan baik hati.'' - Utusan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.