VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 22/06/1998

Mesin mudah alih berguna dalam pembinaan


ABDUL KARIM memberi penjelasan bagaimana mesin blok saling mengunci mudah alih beroperasi di sebuah makmal FKAUTM, Skudai, Johor, baru-baru ini.


Mesin itu dinamakan Mesin Pencetak Sistem Blok Konkrit Saling Kunci Tanggung Beban (Interlocking Load Bearing Hollow Block System).

Kata ketua penyelidiknya, Prof. Madya Abdul Karim Mirasa, mesin itu terdiri daripada timba (bucket), peloncat (hopper), acuan, alat penggetar dan alat pengawal mekanikal, yang boleh berfungsi serentak.

''Semua peralatan adalah buatan tempatan,'' katanya. Menerusi penemuan baru itu, kata beliau, kerja-kerja pembinaan bangunan sama ada untuk tujuan kediaman atau komersial akan menjadi lebih mudah dan jimat kos kerana tidak memerlukan ramai buruh mahir dan bentuk kotak (kerangka bangunan dari kayu), yang akan mengurangkan kos membeli kayu.

''Mesin ini berfungsi dengan menggunakan enjin diesel yang membekalkan kuasa yang diperlukan untuk mengangkat timba, menggetarkan acuan dan menggerakkan alat mekanikal,'' katanya.

Beliau berkata, campuran simen, air dan pasir akan dimasukkan ke dalam timba.

''Seterusnya, ia akan bergerak ke atas dan campuran berkenaan dituang ke dalam peloncat.

''Campuran tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam acuan.

''Acuan akan digetarkan serta dikenakan tekanan bagi memadat dan mengeraskan bahagian atas blok (konkrit).

''Kemudian, blok dikeluarkan daripada acuan dengan serta merta menggunakan alat pengawal acuan. Blok yang terhasil kemudian diletakkan pada rak pengering sehingga keras'' kata Abdul Karim.

Menurutnya, keseluruhan sistem kerangka dan sistem acuan direka bentuk untuk mengurangkan hentakan dan getaran daripada alat acuan kepada blok yang baru.

''Dengan kadar campuran yang sesuai serta pengawalan yang betul, blok tersebut tidak berubah bentuk dan dimensinya apabila telah mengeras.

''Blok yang dihasilkan juga memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.

''Mesin pembuat blok itu boleh digerakkan ke mana-mana tapak pembinaan.

''Ia menggunakan kuasa enjin diesel. Kaedah pembuatan blok menggunakan mesin ini ialah konkrit bancuhan kering dimasukkan ke dalam bekas di bawah dan dinaikkan ke atas kemudian dituangkan ke dalam peloncat,'' katanya.

Beliau menjelaskan, apabila pintu peloncat dibuka, konkrit akan masuk ke dalam acuan. Seterusnya acuan akan digetar dan pada masa yang sama konkrit di dalam acuan diberi tekanan bagi memadatkannya.

Acuan itu kemudiannya diangkat keluar dan blok yang terhasil akan diangkat oleh pekerja ke tempat penyimpanan.

Menurut Abdul Karim, mesin berharga kira-kira RM30,000 itu mampu membuat dua jenis blok berisipadu 200 lebar x 150 tinggi x 400 panjang dengan serentak.

Dengan dua orang tenaga pekerja, mesin ini mampu mengeluarkan sebanyak 500 biji blok sehari.

Beliau berkata, untuk memastikan blok yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi dan menepati piawaian yang ditetapkan, pihaknya telah menjalankan beberapa kajian dengan menggunakan pasir sungai sebagai bahan untuk membuat blok itu.

''Hasil kajian menunjukkan mesin ini mampu mengeluarkan blok dengan kekuatan tinggi walaupun pada bancuhan yang mempunyai kandungan simen yang rendah.

''Kadar penyerapan air juga didapati menepati piawaian,'' tegasnya.

Tambah Abdul Karim, kaedah pengawetan blok yang biasa digunakan oleh pembuat-pembuat blok di negara ini adalah kurang sesuai kerana ia membenarkan blok mengeras tanpa disirami air atau hanya kadang-kadang disirami air.

Kaedah itu, katanya akan menyebabkan kekuatan blok tidak memenuhi piawaian apabila digunakan dan konkrit akan mudah terdedah kepada pengecutan yang tinggi, berbanding blok yang dihasilkan dengan mesin mudah alih.

''Di makmal, terdapat satu kaedah mudah dan murah yang digunakan bagi memastikan blok mendapat pengawetan sempurna. Satu rumah awet beratapkan zink dibina dan di dalamnya dibina para-para bagi menyimpan blok. Pada dasar rumah awet ini diletakkan bekas-bekas air.

''Rumah awet ini kemudiannya ditutup dengan dinding yang diperbuat daripada plastik bagi mengelakkan kelembapan keluar.

''Dengan cara ini, blok akan mengawet pada kadar kelembapan serta suhu yang tinggi terutamanya pada waktu siang hari,'' jelas Abdul Karim.

Menurut beliau, antara kelebihan penggunaan mesin ini dalam industri binaan adalah blok boleh dibuat tapak-tapak binaan. Dan ini sekali gus dapat menjimatkan kos pengangkutan dan kos mendirikan kilang.

Tambahan pula, pembinaan blok menggunakan mesin mudah alih ini, tidak memerlukan acuan atau formwork semasa pembinaan kerana ia boleh dilakukan dengan sekali gus.

Selain itu, blok yang dihasilkan hanya perlu disusun untuk dijadikan dinding, dan tiada mortar (campuran simen, pasir, air dan kapur) diperlukan.

Ini menjadikan kerja-kerja pembinaan menerusi kaedah ini jauh lebih menjimatkan kos buruh berbanding kaedah menyusun blok tanggung beban biasa.

''Kerana blok hanya perlu disusun, maka kita juga dapat menjimatkan kos tenaga buruh di mana kita juga boleh menggunakan tenaga buruh separuh mahir dan tidak mahir,'' kata Abdul Karim.

Katanya lagi, blok yang dihasilkan melalui mesin mudah alih itu memberi ruang kepada pemaju untuk memasukkan konkrit cair dan juga tetulang - jika perlu, bagi memberikan kekukuhan dan kekuatan yang lebih tinggi bagi dinding.

Ini kerana pada setiap blok yang dihasilkan, terdapat rongga-rongga yang bersambung dari atas ke bawah, yang juga boleh digunakan untuk kerja-kerja pemasangan paip bagi bekalan elektrik dan sebagainya, tanpa perlu memecahkan dinding bangunan.

''Oleh kerana ia menjimatkan kos pembinaan dan tempoh pembinaan, maka ia amat sesuai untuk digunakan dan dimajukan sebagai industri kecil dan sederhana,'' kata Abdul Karim.

Oleh: YULPISMAN ASLI

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.