|
KUALA LUMPUR 3 Jun - Petronas bersedia menyertai perang harga dengan mengurangkan harga minyak petrolnya jika keadaan itu yang menjadi kemahuan para pesaingnya.
''Petronas bersedia melakukan apa yang perlu untuk melindungi pasarannya,'' kata Presiden Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican hari ini.
Katanya, perbincangan akan diadakan dengan syarikat-syarikat minyak yang terbabit untuk mengetahui apa yang akan berlaku sekarang dan pada masa depan.
Beliau berkata: ''Kita ingin tahu sejauh mana mereka (syarikat-syarikat minyak) mahukan perang itu.''
Hassan ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunan Petronas Gas Bhd., di sini berkata, perkara seumpama itu pernah berlaku di negara-negara lain, tetapi tidak menguntungkan industri dan pengguna.
Esso Malaysia Bhd., merupakan syarikat pertama yang menawarkan potongan harga tiga sen seliter mulai 30 Mei hingga 14 Jun ini.
Minyak tanpa plumbum kini dijual pada harga RM1.10 bagi setiap liter.
Hassan berkata, sebelum ini ada persefahaman antara syarikat-syarikat minyak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna terhadap soal harga, hadiah dan insentif tetapi kini dimungkiri.
''Pada tahun 1990, kita menghadapi keadaan yang sama apabila sebuah syarikat menyediakan hadiah dan insentif secara besar-besar sehingga industri tidak stabil.
''Apa yang telah berlaku berulang kembali tetapi kali ini ia mengaitkan perniagaan minyak petrol. Dahulu ia melibatkan perniagaan bukan minyak petrol.''
Katanya, tahun 1990, Petronas merupakan pihak yang terakhir bertindak melindungi pasarannya tetapi tindakan yang diambilnya mengakibatkan para pesaing ke meja rundingan.
''Persefahaman memang ada di antara pemain-pemain pasaran dan kerajaan dalam soal harga, penyediaan hadiah dan insentif tetapi ia kini dimungkiri dan melahirkan ketidakstabilan dalam pasaran,'' katanya.
Beliau menambah, Petronas sedang menunggu sama ada syarikat-syarikat minyak mahu mengubah keadaan yang telah ada.
''Ini bukan tarikh akhir atau ancaman,'' katanya tetapi enggan mengulas sama ada keputusan mengurangkan harga akan dibuat dalam masa dua minggu lagi.
Hassan berkata, harga petrol yang kenaikan akhir dibuat pada tahun 1988, ditentukan paras tertinggi oleh kerajaan melalui Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang dikaji setiap bulan dengan mengambil kira harga minyak mentah, kos penghantaran dan tukaran asing.
Oleh: MOWARDI MAHMUD
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|