VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 01/05/1998

Kecederaan kepala menyebabkan berlaku perubahan personaliti

Ketika perayaan berkembar kongsi raya baru-baru ini, terdapat peningkatan jumlah kemalangan secara mendadak. Angka kematian dilaporkan sebanyak 307 orang, di mana 234 kematian berlaku hanya dalam masa 13 hari pertama operasi trafik bermula pada 21 Januari 1998. (Mengikut laporan The New Straits Times pada 7 Februari 1998).

Banyak kemalangan jalan raya di negara kita berlaku disebabkan oleh pemandu yang cuai. Ada yang memandu ketika mabuk, memandu terlalu laju dan berlumba ketika memandu.

Keadaan jalan raya yang berbahaya seperti ketiadaan tanda dan lampu jalan, selekoh maut dan lubang yang dikorek-timbus menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan.

Mengikut laporan polis, 24 peratus daripada punca kemalangan di Malaysia disebabkan oleh kombinasi faktor manusia dan persekitaran jalan raya. (Laporan Cawangan Trafik Polis Bukit Aman: 'Mengkaji keberkesanan Ops Pacak: Ukuran Kematian dan Perubahan Tingkah Laku' 1997).

Kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik, Selzer dan kumpulan penyelidikannya yang disiarkan dalam majalah perubatan American Journal of Psychiatry mendapati bahawa 20 peratus pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut mengalami 'peristiwa yang tidak mereka senangi' sekurang-kurangnya enam jam sebelum kemalangan.

Jika dikaji daripada segi peristiwa dalam kehidupan mereka (life events), maka didapati banyak perubahan yang telah berlaku ke atas mangsa 6 bulan sebelum terjadinya kemalangan.

Perubahan hidup itu termasuklah menghidapi penyakit fizikal, bertukar kerja, keruntuhan rumah tangga dan perceraian. (Whitlock, Australia & New Zealand Journal of Psychiatry).

Di antara penyebab utama kecederaan kepala adalah kemalangan jalan raya. Selain itu kemalangan di tempat kerja, kemalangan ketika bersukan lasak seperti tinju dan motor sport, cubaan merompak, pergaduhan dan penganiayaan fizikal ke atas kanak-kanak juga boleh menyebabkan kecederaan yang sama berlaku.

Kecederaan kepala boleh terjadi disebabkan kesan langsung atau tidak langsung. Kesan langsung ialah apabila objek yang mencederakan itu atau selaput otak yang koyak atau tempurung yang pecah memberi impak dengan kuat lantas mencederakan tisu otak.

Tenaga hentakan ini akan memutuskan serat-serat jirim putih yang panjang, lantaran menyebabkan kecederaan sel-sel saraf (axon) yang menyeluruh.

Disebabkan otak terletak di dalam kompatmen yang kukuh (tempurung kepala), sebarang hentakan di hadapan akan menyebabkan kecederaan di bahagian belakang otak juga.

Kecederaan tidak langsung berupa hentakan luar kepala yang boleh menimbulkan kerosakan sel-sel dan tisu dalaman.

Kerosakan berlaku apabila tisu otak terpaksa melakukan gerakan memusing untuk mengikuti arah gerakan memusing tempurung kepala yang mengalami hentakan kuat dari luar. Justeru, gerakan ini boleh menyebabkan koyaknya selaput dan salur darah otak mengakibatkan terjadilah pendarahan dan hernia otak (transtentorial hermination).

Sukan tinju juga diketahui boleh menyebabkan kecederaan seperti yang dialami oleh legenda tinju dunia Muhammad Ali.

Istilah puncak drunk digunakan untuk menjelaskan fenomena tersebut. Pesakit mengalami kesukaran untuk menuturkan perkataan, sukar berjalan, susah mengingat sesuatu dan menjadi pelupa. Kerosakan kepada struktur otak yang dikenali sebagai substantia nigra akan menyebabkan Parkinsonism.

Selain daripada kesan di atas, kecederaan kepala adalah berbahaya kerana membeku dan jangkitan kuman berlaku.

Kejadian sawan pada mulanya hanya bersifat fokal (setempat) akan tetapi lama-kelamaan melibatkan keseluruhan tubuh badan.

Kecederaan kepala menyebabkan berlaku perubahan personaliti di mana seseorang yang kemas bertukar menjadi selekeh dan seseorang yang sabar menjadi panas baran.

Semakin serius kecederaan, memperlihatkan perubahan personaliti yang semakin ekstrim seperti keadaan sosial dan tingkah laku yang tidak terurus, tidak mengambil berat tentang diri sendiri, panas baran dan beremosi-mudah mengalirkan air mata atau buntu-emosi.

Keadaan yang paling serius dalam dimensi psikologi akibat kecederaan kepala adalah penyakit psikosis seperti skizofrenia, kemurungan dan mania.

Pada masa yang sama mereka mengalami masalah neuro-kognitif. Penyakit ini memerlukan rawatan yang khusus daripada pakar perubatan psikiatri.

Kecederaan kepala selepas kemalangan secara ringkasnya dikenali dengan nama sindrom pasca-konkusi (postconcussional syndrome).

Sidrom adalah sekumpulan gejala dan tanda-tanda sementara konkusi (concussion) adalah kecederaan kepala yang disebabkan oleh hentakan yang kuat.

Gejala yang sering dialami adalah sakit kepala, badan lemah dan tak bermaya, kurang penumpuan, terasa berpinar-pinar dan penglihatan menjadi bertindih.

Adakalanya, selepas daripada beberapa minggu terjadinya kecederaan di kepala, pesakit baru mengadu mengalami satu atau beberapa tanda seperti di atas.

Statistik menunjukkan bahawa kekerapan untuk mendapat penyakit psikatri bagi mereka yang menghidap tanda-tanda sindrom pasca-konkusi sepuluh kali lebih banyak berbanding dengan orang lain.

Selain daripada kemerosotan dalam sistem saraf, faktor-faktor psikososial turut menyumbangkan kepada kekalnya aduan pesakit berkenaan. Kesakitan akan dialami berpanjangan dan pesakit akan mengadu secara konsisten kepada doktor mereka dari masa ke semasa.

Akibatnya, timbul suatu istilah perubatan yang dikenali sebagai litigation neurosis.

Istilah ini diperkenalkan oleh Millar pada tahun 1961, untuk menjelaskan akibat daripada kecederaan kepala yang bukan disebabkan oleh kesan langsung hentakan tetapi disebabkan oleh situasi kompensasi insurans yang ditagih oleh mangsa kemalangan.

Sekiranya andaian Millar benar, ia bukan suatu penyakit dalam ertikata sebenarnya, tetapi ''suatu keadaan sosial akibat daripada psikologi kompensasi''.

Saya fikir ada di antara anda yang kurang bersetuju dengan pendapat di atas. Anda mungkin berupaya mempertahankan pendapat anda kerana ada banyak kajian saintifik dan bukti klinikal lain yang menyanggah pendapat di atas dan menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Mekanisme yang membawa kepada pengekalan gejala dan tanda adalah seperti berikut. Tanda mulanya disebabkan oleh kesan fizikal kecederaan terus ke atas fungsi otak.

Kemudian, ia di modulasi oleh ketrampilan pesakit menangani kesan psikologi dan sosial yang timbul dan cara bagaimana pesakit menangani tanda-tanda awalnya. Seperti yang telah dijelaskan faktor-faktor psikososial juga turut menyumbang.

Apa yang saya jelaskan di atas adalah suatu fenomena yang biasa ditemui di dalam praktis psikiatri dan ini tidak bermakna bahawa semua kes sindrom pasca-konkusi berhajatkan kompenssasi.

Saya percaya banyak kes-kes genuine yang memerlukan rawatan perubatan sewajarnya. Saya berharap pengamal perubatan tidak mengambil pandangan yang mudah apabila berhadapan dengan pesakit berkenaan.

Dapatkan pandangan pihak ke tiga supaya mereka mendapat keadilan dan rawatan yang saksama.

Pendekatan yang holistik sangat diperlukan. Ini termasuk merawat kecederaan fizikal, memahami makna kecederaan dan hilang upaya selepas mengalami tekanan serta menyelami kualiti perhubungan di antara manusia yang telah terjejas selepas kemalangan.

Faktor-faktor ini sangat perlu diambil kira sebelum suatu bentuk rawatan pemulihan yang komprehensif hendak dimulakan.

Rawatan ubat-ubatan menolong mengurangkan kesakitan. Ini membolehkan pesakit berasa selesa dan dapat berfungsi kembali di dalam kehidupannya sehari-hari.

Sekiranya pesakit didapati menghidapi tanda-tanda stres selepas trauma, ubatan Imipramine didapati sangat berguna untuk menolong pesakit. Penyakit psikologi memerlukan rawatan khusus dengan ubatan antipsikosis.

Rawatan kaunseling dan psikoterapi diberi berdasarkan keperluan kes. Kaunseling jangka pendek membantu mengurangkan risiko penggantungan kepada seseorang dan membantu memendekkan aduan terhadap tanda-tanda penyakit.

Sokongan dan kefahaman yang mendalam (empati) daripada suami isteri, ibu bapa, kawan-kawan dan saudara mara membantu mengurangkan masalah pesakit.

Oleh: DR. MOHD JAMIL HAJI YAACOB

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.