VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/04/1998

Faedah pelaburan amanah saham

RAKYAT Malaysia pelbagai kaum boleh menyumbang kepada usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi dan menstabilkan ringgit dengan meningkatkan tabungan negara. Salah satu cara ialah dengan menyertai pelaburan dalam industri amanah saham. Secara tidak langsung, anda turut mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Ada pelbagai bidang pelaburan yang boleh diceburi oleh bakal pelabur. Selain melabur di pasaran saham terbuka (Bursa Saham Kuala Lumpur - BSKL), orang ramai boleh juga melabur dalam dana amanah saham.

Dana amanah saham ialah sejenis skim pelaburan jangka sederhana dan panjang yang mana pengurus-pengurus dana yang berpengalaman akan menguruskan pelaburan anda. Mereka akan melaburkan wang anda dalam syarikat-syarikat yang dikenal pasti boleh berkembang. Ini termasuk di sektor kewangan, perdagangan, hartanah, perkhidmatan dan pertanian. Sebagai faedah, pemegang unit akan menikmati keuntungan dalam bentuk pengagihan dividen, keuntungan daripada nilai saham seunit dan keuntungan daripada peningkatan modal.

Ada beberapa syarikat pengurusan saham amanah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Antaranya ialah KL Mutual Fund Bhd., Mayban Unit Trust Management Bhd., Asia Unit Trust, BIMB Unit Trust Management Bhd., (ASBI), dan ASM Mara Unit Trust Management Berhad.

ASM Mara Unit Trust Management Berhad (ASM Mara) adalah antara perintis industri amanah saham. Ia sudah bertapak sejak lebih 30 tahun lalu apabila Tabung Kumpulan Modal Bumiputera Pertama (KMB1) dilancarkan pada 1968.

Kini ASM Mara memiliki dana melebihi RM500 juta dengan menguruskan 15 dana amanah saham. Ia mula diperbadankan sebagai syarikat pengurusan amanah saham pada 15 Januari 1993. Sebelum ini, pengurusan dana amanah saham dilakukan oleh syarikat induk iaitu Amanah Saham Mara Berhad (ASMB).

Selain mewujudkan tabung Kumpulan Modal Bumiputera, ASM Mara juga melancarkan empat tabung yang terbuka untuk semua kaum. Ia adalah Dana Al-Aiman (diurus berlandaskan hukum syariah), ASM Tanjung Piai Balanced Fund, ASM First Public Fund, ASM Primier Fund. Manakala Amanah Saham Pekerja-Pekerja TNB dibuka khusus untuk kakitangan TNB.

Pelabur yang bijak boleh membuat pilihan untuk melabur dalam mana-mana tabung dengan mengambil kira pencapaian dan portfolio tabung berkenaan. Portfolio ialah seleksi pelaburan yang terdapat di dalam tabung tersebut.

Berbanding pelaburan di BSKL yang berisiko tinggi dan memerlukan modal besar, bentuk pelaburan dalam industri amanah saham ini kurang risikonya dan lebih selamat.

Ini kerana wang anda dijamin dan diuruskan oleh kumpulan pengurus dana yang profesional dan cekap. Bakal pelabur juga dibenarkan membuat pelaburan permulaan sekurang-kurangnya 100 unit. Ia juga sejenis pelaburan jangka sederhana dan panjang yang mana pemegang unit boleh menjual balik kepada ASM Mara atau menebus unit saham bila-bila masa jika anda memerlukan wang tunai. Pelabur perlu memastikan harga penebusan seunit (menurut harga pasaran) lebih tinggi daripada harga unit ketika anda membelinya dulu. Ini bagi memastikan pelabur tidak menanggung kerugian.

Harga jual ialah harga unit saham yang dijual oleh pihak pengurusan ASM Mara pada hari itu. Manakala harga beli ialah harga penebusan unit saham oleh pihak pengurusan.

Harga-harga unit ASM Mara akan disiarkan dalam akhbar harian. Harga unit dalam tabung akan berubah-ubah mengikut harga saham syarikat yang terdapat di dalam portfolio tabung berkenaan dan harga ini dipengaruhi oleh gelagat pasaran.

Menurut Pengurus Besar ASM Mara, Aminah Jaafar, pihak pengurusan dana akan mengenakan caj ke atas pembelian unit-unit saham yang ditawarkan kepada pelabur pada kadar yang ditetapkan bagi tabung berkenaan.

Bagaimanapun, mana-mana syarikat pengurusan amanah saham berhak mengikut budibicaranya, untuk mengenakan caj tidak melebihi 10 peratus daripada Nilai Aset Bersih (NAV) tabung berkenaan.

Menurut Aminah lagi, ASM Mara mengenakan caj 1.5 peratus hingga 7 peratus ke tahap setiap pembelian unit oleh pelabur. Kadar ini katanya adalah yang terendah dikenakan berbanding syarikat-syarikat pengurusan amanah saham yang beroperasi di negara ini.

Sebaliknya, pemegang unit tidak akan dikenakan sebarang caj sekiranya bercadang untuk menjual balik unit-unit amanah saham mereka.

ASM Mara akan mengisytiharkan pengagihan dividen pada setiap akhir tahun kewangan tabung berkenaan. Ia juga akan memberi unit-unit tambahan kepada pemegang unit pada bila-bila masa difikirkan perlu oleh pihak pengurusan.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai profil tabung berkenaan, bakal pelabur dinasihatkan membaca prospektus yang dikeluarkan oleh ASM Mara pada setiap akhir tahun.

Dengan lebih 30 tahun bertapak kukuh, skim Amanah Saham Kumpulan Modal Bumiputera menjamin pulangan yang menguntungkan, melebihi keuntungan yang diperoleh daripada kadar faedah simpanan tetap di bank.

Seperti juga pelaburan saham di pasaran terbuka, semua jenis pelaburan mempunyai risiko, bergantung kepada perubahan keadaan pasaran yang memberi kesan positif dan negatif kepada nilai pelaburan anda. Pengurus dana yang cekap sekalipun, tidak berupaya mengawal keadaan pasaran yang turun naik.

Pemegang unit dalam tabung-tabung berkenaan akan turut terdedah kepada risiko pasaran. Ini kerana antara 70 hingga 80 peratus pelaburan anda dalam tabung berkenaan dilabur dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL.

Di samping itu, pemegang unit juga terdedah kepada risiko portfolio. Ia ada kaitan dengan prestasi sesebuah syarikat di mana tabung berkenaan melaburkan modalnya. Harga unit dalam tabung berkenaan akan turut terjejas jika syarikat berkenaan menanggung kerugian. Pihak pengurusan ASM Mara juga tidak menjamin pulangan modal pemegang saham sekiranya berlaku kegawatan ekonomi. Bagaimanapun, menurut Aminah, pihak pengurusan akan sedaya upaya melindungi kepentingan pelabur.

Pihak pengurusan juga tidak menjamin pulangan modal atau deposit pelabur yang membeli saham yang menggunakan kemudahan pinjaman bank jika pelabur tidak sanggup membayar kadar faedah bank dan bank terpaksa menebus balik daripada pihak pengurusan. Akibatnya, pemegang unit dianggap hilang pegangannya.

Dengan mengambil kira pelbagai faktor itu, ASM Mara selaku pengurus tabung tidak menjamin pengagihan dividen setiap tahun dan kadar pembayaran dividen juga tidak ditetapkan lebih awal.

Menurut Aminah lagi, kesan daripada kegawatan ekonomi dan krisis mata wang serantau, tidak dinafikan harga unit-unit saham di pasaran rata-rata mengalami kerugian sejak pertengahan tahun lalu.

Begitu juga ada antara tabung amanah ASM Mara turut mengalami kejatuhan sehingga 60 peratus. Bagaimanapun, katanya, ada juga Tabung ASM Mara yang berupaya menandingi prestasi Indeks BSKL. Umpamanya Dana Al-Aiman dan ASM Tanjung Piai Balanced Fund. Kedua-dua tabung ini dapat mengekalkan kedudukannya di paras yang stabil.

Namun, katanya, inilah masa untuk melabur dalam industri amanah saham memandangkan harganya yang rendah. Beliau juga menjangkakan industri amanah saham mempunyai potensi untuk berkembang dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurut Aminah, ASM Mara bercadang untuk melantik bank, firma broker saham dan syarikat pengurus dana bertauliah sebagai ejen bagi memudahkan pelabur tabung ini berurus niaga.

Buat masa sekarang, pelabur boleh berurusan dengan wakil-wakil jualan yang dilantik oleh ASM Mara di seluruh negara. Bagaimanapun, bakal pelabur perlu mengesahkan ejen-ejen ini mempunyai kad kebenaran sebagai ejen ASM Mara yang disahkan oleh Persekutuan Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM). Ejen-ejen berkenaan hanya boleh menjual unit saham kepada bakal pelabur, dan akan menerima komisen tidak melebihi 3.5 peratus daripada nilai unit yang dijual. Manakala urus niaga jualan balik unit saham masih dilakukan sendiri oleh pemegang saham di ibu pejabat ASM Mara di Kuala Lumpur.

Di samping itu, bakal pelabur juga boleh menggunakan kemudahan Skim Pelaburan Simpanan Ahli KWSP untuk melabur dalam mana-mana tabung yang diurus oleh ASM Mara.

Melalui skim ini, ahli KWSP yang belum bersara dan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM55,000 dalam Akaun I (Akaun Persaraan) dibenarkan melabur sebanyak RM1,000 dan tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah caruman.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.