VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 04/04/1998

Pencerobohan perairan negara

KEKERAPAN operasi bersepadu membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Imigresen, Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut dalam operasi skala besar-besaran, seperti Ops Nyah Bersepadu di perairan Selat Melaka selama sepuluh hari bermula dari 21 Mac lalu nyata membuktikan kesungguhan pihak berkuasa Malaysia menangani pencerobohan dan kemasukan secara haram pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran yang sebahagian besarnya rakyat Indonesia.

Daripada maklumat yang diperolehi Polis Marin, kawasan-kawasan sekitar termasuk Pulau Bengkalis, Riau, Pulau Batam Tengah, Lombok dan beberapa lokasi lain telah menjadi 'pangkalan hadapan' oleh lebih 10,000 sehingga 20,000 pendatang tanpa izin yang hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menceroboh masuk ke perairan negara.

Komander Marin PDRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya II Abdul Malek Abdul Hamid yang mengetuai operasi bersepadu ini turut meninjau pergerakan operasi dan beliau menjangkakan angka pencerobohan pendatang tanpa izin akan terus meningkat dengan mendadak sehingga 3,000 ke 4,000 seorang setiap minggu berikutan krisis ekonomi dan bencana musim kemarau yang melanda Indonesia sekarang.

Keadaan lebih meruncing dengan wujudnya tekong-tekong darat dan laut yang dilengkapi peralatan teknologi moden, misalnya alat perhubungan jarak jauh dan radar pengesan yang menyukarkan pihak berkuasa menjejaki pergerakan mereka.

Walau bagaimanapun, penggunaan radar sistem pengawalan laut Swasla, buatan Kanada yang canggih dan pertama digunakan di Asia Tenggara berjaya menyekat dan menyulitkan pergerakan tekong-tekong darat dan laut membawa masuk secara haram 'komando-komando' Indonesia, sekali gus memberi tamparan hebat kepada 'operasi haram' mereka.

Kebimbangan situasi ini turut dinyatakan oleh Perdana Menteri sendiri apabila pencerobohan sekiranya tidak dikawal, Malaysia dan dunia akan sekali lagi menghadapi masalah 'orang hanyut' seperti yang dialami oleh pelarian Vietnam dahulu ekoran kegawatan ekonomi yang melanda Asia Tenggara kini.

Tegas beliau, masalah ini boleh menyebabkan negara dibebani dengan pelbagai masalah terutamanya terpaksa berbelanja lebih untuk menangani pencerobohan dan masalah sosial yang melibatkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Kehilangan pekerjaan dan kemiskinan yang mula mencengkam penduduk Asia Tenggara akhirnya akan turut menjadi masalah kepada negara-negara lain apabila berlaku penghijrahan lebih besar.

Babak 'orang hanyut' pelarian Vietnam yang menghantui Malaysia dan mencetuskan masalah kepada dunia pada tahun-tahun 70-an boleh berulang sekiranya kegawatan ekonomi berterusan.

Implikasi mendalam terhadap krisis ekonomi Asia Tenggara telah mengakibatkan berjuta-juta penduduknya secara tiba-tiba kehilangan pekerjaan dan sumber rezeki dan seterusnya kehilangan punca keperluan asas manusia yang menjadi hak setiap manusia.

Fenomena ini lebih merupakan pencabulan hak asasi manusia dan satu ketidakadilan apabila jutaan penduduk menghadapi kekurangan makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas yang lain.

Perdana Menteri sendiri merasakan isu ini wajar dibawa ke Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di London yang kini sedang berlangsung agar segala punca dan masalah dapat diselesaikan dan ditangani dengan lebih berkesan.

Kedudukan geografi kepulauan Indonesia yang luas dan sukar untuk dikawal serta krisis kegawatan ekonomi yang meruncing di negara tersebut tidak dinafikan sebagai pemangkin masalah kebanjiran rakyatnya berhijrah ke negara jiran, terutamanya Malaysia yang mempunyai kestabilan politik dan ekonomi yang lebih kukuh berbanding negara jirannya, Indonesia.

Walaupun penghijrahan rakyat Indonesia sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa Indonesia, ini tidak bermakna kerajaan Indonesia boleh berpeluk tubuh dengan mengambil langkah tunggu dan lihat tanpa sebarang tindakan atau kawasan mencegah pencerobohan secara haram ke negara ini.

Kerajaan Malaysia boleh bertolak-ansur dan bertoleransi terhadap kesukaran pihak berkuasa Indonesia menangani masalah ini, tetapi beban yang ditanggung haruslah dipikul bersama melalui semangat kejiranan ASEAN dan persaudaraan Nusantara di antara kedua-dua buah negara tanpa perlu menunding jari kepada mana-mana pihak yang cuai atau sengaja membiarkan masalah ini lebih meruncing.

Isu pencerobohan dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin sebenarnya turut menyentuh isu kedaulatan sempadan tanahair terutamanya di sepanjang perairan Selat Melaka di pantai barat Semenanjung, Selat Johor yang terletak di perairan selatan negara dan di sekitar perairan Sabah. Kedaulatan perairan negara sewajarnya tidak boleh dianggap mudah dan remeh oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh kerajaan sendiri apabila kedaulatan perairan negara dengan mudahnya dicerobohi dan dibolosi oleh pendatang tanpa izin ini.

Meningkatnya jumlah pendatang haram ke negara ini menunjukkan bahawa pencerobohan masih lagi berlaku dan semakin berani mereka sanggup bergadai nyawa menyeberangi lautan semata-mata untuk mendarat secara haram ke negara ini dan menyambung kehidupan yang belum tentu untung nasibnya.

Jika diteliti situasi ini dengan lebih mendalam, pencerobohan pendatang tanpa izin ini lebih menyerupai pencerobohan tentera asing yang mahu menawan negara ini dengan melakukan pendaratan di sekitar pantai-pantai yang strategik khususnya di kawsan-kawasan yang kurang kawalan pihak berkuasa seperti di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Akibatnya, negara ini akan menjadi 'negara tawanan' pendatang tanpa izin sekiranya tiada tindakan dan pencegahan yang berkesan oleh pihak berkuasa untuk menghalang pencerobohan daripada terus berlaku.

Tugas dan operasi kawalan serta pencegahan perairan negara sewajarnya tidak seharusnya dipikul semata-mata oleh pihak berkuasa kerajaan sahaja. Masyarakat awam terutamanya penduduk tempatan tidak boleh membisu dan kaku berhadapan dengan krisis ini dengan hanya bergantung tanggungjawab kepada pihak berkuasa kerajaan sahaja. Sebagai warganegara yang tidak sanggup melihat negara dicerobohi, sewajarnya mereka bersama-sama berganding bahu mempertahankan kedaulatan tanahair demi menjaga maruah dan keselamatan negara. Ibarat menangguk di air yang keruh, perbuatan segelintir rakyat negara ini yang tergamak mengambil kesempatan dengan menjadi tekong-tekong darat dan laut lebih menyerupai pengkhianat dan petualang negara. Jenayah yang mereka lakukan bukan sahaja menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara malahan boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

Perbuatan mereka ini ibarat gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan onar dalam belukar kerana demi mengejar keuntungan dengan menjalankan 'operasi haram', mereka lupa bahawa dengan bersubahat menolong pendatang tanpa izin, mereka juga bertanggungjawab menjahanamkan kedaulatan tanahair. Mereka yang bertindak sebagai pelindung kepada pendatang tanpa izin ke negara ini boleh didakwa kerana melindungi pendatang asing di bawah Akta Imigresen 1970, jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Sudah tiba masanya kerajaan memandang serius isu pencerobohan ini kerana melibatkan keselamatan negara yang boleh menjadi punca utama kestabilan rantau ini diganggu-gugat oleh kebanjiran dan pendaratan yang semakin menjadi-jadi. Melalui operasi bersepadu di antara jabatan dan agensi kerajaan seperti dalam Ops Nyah Bersepadu 1 serta meningkatnya rondaan di sepanjang perairan negara, belum tentu boleh menyekat pencerobohan ini daripada terus berlaku. Malah secara logiknya, pencerobohan akan terus berlaku apabila tamatnya sesuatu operasi yang berskala besar seperti ini. Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa mengeluarkan sejumlah besar peruntukan demi menangani krisis ini dengan lebih berkesan lagi. Mewujudkan beberapa lagi Pusat Kawalan Maritim yang dilengkapi peralatan canggih, pertambahan kapal dan bot peronda TLDM, Unit Marin PDRM dan Jabatan Laut dan meningkatnya rondaan perairan dan udara merupakan langkah berkesan kerajaan melindungi kedaulatan perairan negara daripada sebarang pencerobohan.

Perlunya undang-undang yang lebih tegas dan berkesan terutamanya menyentuh keselamatan negara wajar diberi penekanan. Hukuman di bawah Akta Imigresen misalnya, wajar dikaji semula dengan mengenakan bentuk hukuman yang lebih berat kepada jenayah pencerobohan negara. Demikian juga, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin dalam isu sebegini agar penjenayah pencerobohan negara termasuk tekong-tekong darat dan laut serta pelindung pendatang tanpa izin boleh dikenakan hukuman di bawah akta ini kerana menggugat keselamatan negara.

Apa yang penting, masyarakat terutamanya sebagai warganegara yang bertanggungjawab perlu mempunyai jati diri kesedaran terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara. Undang-undang tidak akan berkesan selagi masyarakat tidak dapat menerima kesedaran dan kepentingan sesuatu akta. Matlamat undang-undang pencerobohan negara mestilah jelas dan mempunyai tindakan yang berkesan sekiranya mahukan undang-undang sebagai alternatif penyelesaian yang bijak dan tepat.

Sewajarnya, hubungan diplomatik dan persaudaraan Nusantara antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia dipraktikkan dalam situasi sebegini dalam mencapai persefahaman bersama agar tidak timbul prasangka dan curiga. Rakyat Indonesia yang berhijrah beramai-ramai ke negara ini tidak boleh dipersalahkan secara total kerana penghijrahan mereka merupakan survival of the fittest seperti mana yang berlaku di negara-negara dunia ketiga yang lain seperti Mexico, Cuba, Vietnam, dan di negara-negara yang dilanda post war insurgency atau bencana alam seperti China, Bangladesh, Filipina, Albania dan di sempadan Iraq dan Turki.

Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Demikian jugalah keputusan persefahaman serantau yang sepatutnya dicapai dalam perbincangan dua hala ini. Malaysia memahami situasi pergolakan politik dan ekonomi Indonesia, sebaliknya kerajaan Indonesia perlu memahami bahawa sempadan kedaulatan sesebuah negara apatah lagi negara jiran terdekat, sama sekali adalah isu yang sensitif dan tidak boleh diperkotak-katikkan. Sekiranya, kerajaan kedua-dua negara terus menerus menjalankan operasi mencegah pencerobohan dan mengharamkan penghijrahan tanpa izin, nescaya isu pencerobohan sempadan negara akan berkurangan dan dapat dikawal.

Sepertimana pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sendiri bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam sebarang bentuk pencerobohan negara dan tidak akan membiarkan negara sewenang-wenangnya dibolosi oleh penceroboh. Sempadan-sempadan negara yang terletak Utara dan Selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk sempadan perairan di Selat Melaka, Selat Johor, Selat Sulu dan Laut China Selatan bukan sahaja menandakan persempadanan negara malah secara teknikalnya merupakan battle point dan front line dalam unjuran strategi pertahanan negara sebelum kemaraan pasukan musuh mencerobohi negara.

Bayangkan, sekiranya dalam masa terdekat ini, pencerobohan pendatang asing ibarat kemaraan pasukan musuh yang tiak dapat dikawal maka dalam peperangan sebenarnya kelak kita akan tertewas mempertahankan kedaulatan negara kerana sememangnya kita membiarkan sempadan negara dibolosi dan dicerobohi. Tragedi ini dapat dielakkan sekiranya kerajaan melalui usaha pihak berkuasa tertentu seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan dan pengawasan sempadan meningkatkan lagi operasi dan rondaan di kawasan sempadan.

Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) antara Malaysia dan Indonesia perlu mengkaji semula prosedur dan etika sempadan sejajar dengan matlamat mencari penyelesaian su pencerobohan kedaulatan negara. Menambahkan lagi pos-pos kawalan, meningkatkan kerjasama pihak berkuasa antara kedua-dua buah negara dan mewujudkan undang-undang dan peraturan yang seragam dan berkesan serta memperbaharui konsep strategi pertahanan sempadan merupakan antara alternatif yang memungkinkan sempadan negara sukar untuk dibolosi sekali gus menjadikan kawasan sempadan sebagai vacuum frontier apabila tiada sesiapapun boleh menceroboh tanpa dapat dikesan oleh pasukan keselamatan yang mengawal sempadan sepanjang masa.

Alternatif yang wujud untuk mengawal persempadanan negara bukanlah isu yang boleh dimanupulasikan atau dijadikan sensational hostile intenton dalam perhubungan akrab kedua-dua buah negara, sebaliknya wajar dilihat dalam konteks keselamatan negara dan kedaulatan keamanan yang perlu dipertahankan demi menjamin kestabilan serantau. Asia Tenggara dalam dekad progresif dan intelektual bukan lagi 'colonial region' bahkan sudah muncul sebagai wilayah peradaban dan ketamadunan baru dunia termasuklah malaysia yang mempunyai kedudukan strategik di tengah-tengah rumpun ASEAN yang berpotensi menerajui kepesatan ekonomi, politik dan tamadun Asia Tenggara. Jelaslah, keselamatan sempadan termasuk sempadan perairan negara penting demi mempertahankan kedaulatan tanahair sekaligus tidak boleh diperkotak-katikkan apatah lagi dengan pendaratan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Oleh: ZULHELMY HASAN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.