VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 27/03/1998

9 korban rusuhan -- Seorang anggota FRU turut terbunuh di Depot Tahanan Semenyih


ABDUL Rahim Noor menunjukkan senjata tajam yang diperbuat daripada besi pagar dan digunakan oleh pendatang tanpa izin Indonesia dalam rusuhan di Depot Tahanan Sementara Imigresen di Semenyih, Selangor, semalam. - Gambar ROSNI MASRI.


KAJANG 26 Mac - Seorang anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan tiga pendatang tanpa izin Acheh, Indonesia terbunuh dalam rusuhan di depot tahanan sementara Imigresen di Semenyih, dekat sini awal hari ini.

Pada masa yang sama, sebanyak 41 lagi anggota polis cedera dalam usaha meleraikan rusuhan yang berlaku di dua depot tahanan iaitu 38 di Semenyih dan tiga di Machap Umboo, Melaka, hari ini.

Anggota FRU yang terbunuh itu ialah Koperal Nasaruddin Yeop, 35, dari unit FRU, Ipoh, Perak.

Sebahagian daripada mereka yang cedera masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang dan Hospital Melaka. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Penguasa Polis (PP) Ghazali Md. Amin berkata, kejadian di Semenyih tercetus apabila pendatang tersebut memberi tentangan keras terhadap operasi besar-besaran polis untuk menghantar mereka pulang ke Indonesia mulai pukul 1 pagi tadi.

''Para pendatang itu telah bertindak agresif dan menggunakan besi-besi tajam dan batu sebagai senjata untuk menentang proses penghantaran mereka,'' katanya ketika ditemui di luar depot tahanan sementara Semenyih petang ini.

Ghazali menambah, para pendatang di depot tahanan Semenyih telah membakar lima blok kediaman, bermula di Blok B menyebabkan empat daripadanya hangus.

Katanya, walaupun mendapat tentangan, operasi itu tetap diteruskan juga dan sehingga kini 282 pendatang tanpa izin telah dibawa keluar dari depot tahanan Semenyih untuk dihantar pulang.

Penghantaran pulang di Semenyih dibuat secara berperingkat-peringkat mulai pukul 9 pagi ini dengan dikawal ketat oleh para anggota FRU.

Sehingga 2 petang ini, sebanyak 30 trak dan empat bas polis kelihatan keluar dari kem Semenyih menuju ke Lumut, Perak.

Menurut Ghazali, operasi yang sama dijalankan serentak di tiga depot tahanan sementara Imigresen iaitu di Lenggeng di Negeri Sembilan, Machap Umboo di Melaka dan Juru di Pulau Pinang.

Tambahnya, terdapat 493 pendatang dari Acheh di keempat-empat depot tahanan sementara itu dan kesemua mereka dihantar pulang hari ini juga melalui pelabuhan Lumut.

Beliau memberitahu, mereka akan dihantar pulang dengan kapal Tentera Laut Indonesia.

Menurut beliau, operasi menghantar pulang kumpulan pendatang tanpa izin dari Acheh ini dijalankan kerana mereka telah lama berada di depot-depot tahanan berkenaan.

Sementara di depot tahanan sementara Imigresen Machap Umboo, Melaka, tiga anggota polis cedera ketika cuba mengawal rusuhan yang membabitkan kira-kira 120 pendatang tanpa izin Indonesia pagi ini.

Pada kejadian yang bermula kira-kira pukul 7.45 pagi ini menyebabkan berpuluh-puluh pendatang terbabit turut cedera.

Kesemua anggota polis yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka manakala perusuh yang cedera dirawat oleh beberapa doktor dan unit ambulans yang tiba di depot itu sejak malam tadi.

Rusuhan itu dipercayai berlaku apabila polis cuba memasuki depot itu untuk menangkap pendatang terbabit yang berlindung di salah sebuah daripada empat bangunan depot itu sejak kira-kira 6 petang semalam.

Beberapa rusuhan kecil dan kebakaran di beberapa bahagian tertentu di depot berlaku dan kira-kira pukul 7.30 pagi ini, mereka mula bertindak ganas sebelum menyerang anggota polis dengan menggunakan senjata kayu, zink, serpihan bata, kayu runcing dan kayu berpaku.

Keadaan bagaimanapun terkawal pada pukul 8 pagi setelah polis menembak gas pemedih mata dan pancutan air ke arah perusuh dan setengah jam kemudian beberapa kumpulan kecil perusuh, mula menyerah diri berperingkat-peringkat.

Kesemua 120 tahanan terbabit bertolak ke Lumut mulai 11.40 pagi dengan menaiki tujuh buah trak polis.

Di depot tahanan sementara Imigresen Lenggeng, 67 pendatang berjaya dihantar pulang setakat ini manakala 103 yang lain melarikan diri dan masih bebas.

Oleh itu, polis meminta orang ramai di sekitar Lenggeng supaya tidak memberi perlindungan kepada para pendatang tersebut, sebaliknya menghubungi polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai mereka.

Menurut Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Penolong Kanan Pesuruhjaya II Mohd Radzali Shah Lason, berikutan rusuhan itu, 247 tahanan yang terdiri daripada rakyat Indoneia, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan melarikan diri ke kawasan belukar dan ladang getah di belakang depot itu.

Di Juru, operasi menghantar pendatang tanpa izin pulang berjalan lancar kerana mendapat kerjasama daripada kesemua 29 pendatang yang ditempatkan di kem itu.

Mereka merupakan kumpulan terakhir pendatang tanpa izin dari Acheh yang di tahan di depot itu sejak Januari 1991.

Oleh: RADZI MOHD. ZAIN, TEON EG, AZIAN ABD. AZIZ dan MIR AZRI

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.