VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Julai 2014 / 3 Syawal 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 21/03/1998

Agromedia penuhi keperluan masyarakat tani

Sebelum negara dilanda kegawatan ekonomi, banyak bahan bacaan muncul termasuklah majalah hiburan, ekonomi, politik dan semasa serta yang memberi tumpuan khusus kepada bidang komputer atau IT.

Bagaimanapun majalah yang membincangkan secara khusus mengenai bidang pertanian agak berkurangan.

Jika ada pun, majalah seumpama itu akan mengalami nasib yang sama seperti sektor pertanian itu sendiri yang kurang mendapat sambutan atau perhatian daripada masyarakat.

Menyedari hakikat inilah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil langkah mengisi kekosongan tersebut dengan menerbitkan majalah pertanian, Agromedia.

Sebagai sebuah institusi yang fungsinya menyebarkan maklumat hasil kegiatan penyelidikannya, Agromedia dijangka dapat memenuhi keperluan masyarakat yang berminat dalam bidang pertanian.

Agromedia yang diterbitkan dalam keadaan kegawatan ekonomi dan ketika negara menggalakkan rakyat bertani jelas menunjukkan keyakinan MARDI bahawa majalah seperti ini masih diperlukan.

Apa yang penting isi kandungan majalah berkenaan dapat diolah sebaik mungkin dengan persembahan yang mampu menarik minat pembaca untuk memilikinya.

Persembahan dalam bentuk yang ringan, mudah difahami dan menarik menjadi faktor ke arah melahirkan majalah yang benar-benar mampu memikat hati pembaca walau dalam apa bidang sekalipun.

Inilah yang menjadi matlamat MARDI ketika melahirkan Agromedia yang turut menambah lagi koleksi majalah pertanian yang sebelum ini diterbitkan oleh agensi kerajaan lain atau pihak swasta.

Agromedia dilancarkan oleh Menteri Pertanian Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud pada bulan Februari lalu. Majalah ini diterbitkan mulai Disember lalu dan akan menemui pembaca setiap tiga bulan sekali.

Bahan-bahan rencana pula ditulis oleh para penyelidik MARDI yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sama ada di ibu pejabat Serdang atau di stesen cawangan seluruh negara.

Menurut Ketua Editor Agromedia, Siti Petimah Hassan, selama ini terdapat kecenderungan institusi penyelidikan menerbitkan bahan bacaan dan rujukan dalam bentuk teknikal dan separa teknikal. Antaranya seperti jurnal, laporan, pasca sidang dan berbagai-bagai jenis buku.

''Bahan-bahan sedemikian disasarkan kepada para saintis, penyelidik, ahli akademik dan pelajar di peringkat pengajian tinggi,'' katanya.

Dalam usaha untuk memasyarakatkan segala ilmu yang terkandung dalam bahan yang berbentuk terlalu ilmiah itu, maklumat perlu dipersembahkan dalam bentuk yang lebih ringan, mudah difahami dan menarik.

Untuk tujuan ini MARDI ingin melihat Agromedia dapat memenuhi matlamat itu dengan kumpulan sasarnya meliputi semua ahli masyarakat, daripada penyelidik, pelajar, petani, pengusaha dan suri rumah.

Bahan-bahan rencana yang menjadi tumpuan majalah ini ialah dalam bidang pertanian, makanan dan alam sekitar.

Bagi memenuhi matlamat untuk menarik pembaca dari segenap lapisan, majalah ini turut memuatkan beberapa rencana dalam bahasa Inggeris.

Selain sebagai penyampai maklumat, majalah ini diharap menjadi bahan rujukan atau panduan kepada pembaca menerokai sesuatu bidang atau hobi atau sekurang-kurangnya menimbulkan minat dalam bidang tertentu.

Setiap keluaran, Agromedia akan dimuatkan dengan rencana khas, rencana umum di samping beberapa ruangan tetap seperti petua, al-Quran dan pertanian, teknologi terkini, aktiviti pertanian, panduan usahawan dan soal jawab pertanian.

Dalam keluaran sulung yang lalu, antara lain majalah ini menghidangkan rencana mengenai beberapa isu seperti kepelbagaian biologi, landskap, pemprosesan produk makanan dan beberapa petua.

Rencana ini diselitkan dengan gambar-gambar berwarna-warni. Landskap misalnya telah membincangkan secara menyeluruh mengenai kesenian landskap tumbuh-tumbuhan. Ia mengupas mengenai pelbagai jenis tumbuhan yang boleh menjadi komponen penting dalam mewujudkan landskap yang menarik.

Terdapat juga rencana mengenai manggis sebagai tanaman landskap yang sesuai. Pokok manggis ini sesuai dijadikan landskap berbentuk pagar. Begitu juga dengan pokok palma yang bukan sahaja sesuai untuk landskap malahan bernilai tinggi di pasaran.

Sesuai dengan isu landskap ini, pembaca juga dibawa melawat taman bunga yang terkenal di dunia iaitu Butchart Garden, yang terletak di Victoria, ibu negeri British Columbia, Kanada.

Pelbagai gambar bunga, landskap dan pemandangan yang menarik disiarkan bagi menunjukkan keindahan taman yang menggunakan lebih satu juta anak benih bunga terdiri daripada 700 varieti setiap tahun itu.

Pembaca juga dihidangkan dengan rencana kopi;

Kafein - adakah memudaratkan atau sebaliknya?;

Coklat - makanan untuk semua; Teknologi in vitro - bank benih;

Bougainvilla ataupun bunga kertas pelbagai jenis dan beraneka warna.

Dalam bidang penternakan pula, isu yang dibincangkan ialah menghasilkan anak unggas berkualiti dan klon-klon haiwan : Dolly, Polly, Gene...ke manakah arahnya.

Keajaiban bawang putih membincangkan ciri-ciri perubatan yang menakjubkan yang terdapat pada bawang putih. Ia dianggap sebagai herba atau makanan ajaib. Rekod Sanskrit menunjukkan bawang putih telah digunakan sebagai bahan perubatan tradisional hampir 5,000 tahun lalu manakala masyarakat Cina telah menggunakannya sejak 3,000 tahun lalu.

Koleksi tanaman unik bagi siri pertama pula membincangkan mengenai tumbuhan udara Tillandsia.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sos cili boleh mendapatkan panduan di bawah tajuk ''Sos cili - enak dan mudah diproses''.

Ruangan tetap Petua - panduan diberi mengenai cara memilih tandan kelapa; Ruangan al-Quran dan pertanian - Penyelidikan:

Konsep membaca, melihat dan menulis; Teknologi terkini - Padi baru MR 185 ; Aktiviti pertanian - 'Kebun dapur cegah inflasi dan jimatkan belanja'; Panduan usahawan - memproses kicap.

Rencana dalam bahasa Inggeris pula ialah 'Ecosystem management - a new paradigm in biodiversty conervation for sustainable agricultural development; Photoessay: Sweet potato cultivation in Vietnam dan Clones: promise or myth?'

Bagi keluaran akan datang majalah ini menyiarkan rencana khas bertajuk What is Health Food?

Rencana umum pula ialah; Makanan sihat untuk jantung sihat; Ubat dalam makanan: Menurunkan tekanan darah; Ikan cerdaskan fikiran; Glass noodles;

Kemiskinan luar bandar masih membara; Dong qual - the ultimate herb for women; Photoessay: Restoring the peatlands in Germany.

Menanam nona serikaya secara komersial; Pisang untuk makanan segar sesuai ditanam di pekarangan rumah; Penanaman buah-buahan di Lembah Mekong;

Sayur bermutu alaf baru; Diam-diam ubi mengundang ringgit; Hellconia - unik dan menarik; Pokok tembakau untuk hiasan dan isu mengapa harga ayam mahal.

Ruangan tetap Petua memperkatakan tentang Tapai - kisah benar; Al-Quran dan Pertanian - Korporat dan pertanian; Teknologi terkini - Josapine-hibrid nanas baru; Aktiviti pertanian - industri makanan tradisional mampu buat usahawan bumiputera hidup mewah;

Koleksi tanaman unit siri II: Tanaman karnivor dan ruangan Panduan Usahawan membincangkan tentang perusahaan memproses kek.

Majalah ini dijual pada harga RM7 bagi Semenanjung Malaysia, RM8 untuk Sabah dan Sarawak, Brunei BR$9 dan Singapura DS$9.

Oleh: HASSAN MOHD NOOR

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.