VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 16/03/1998

Hak pekerja yang dipecat majikan

SEKIRANYA anda diberhentikan oleh majikan atas sebab salah laku tanpa berpeluang membela diri apakah yang akan anda lakukan?

Adakah anda akan menerima sahaja tindakan majikan itu tanpa banyak soal kerana anda adalah salah seorang pekerja yang setia dan akur kepada arahan pemecatan itu. Apakah yang akan terjadi kepada anda sekiranya menerima notis pemecatan dengan pihak majikan tidak mengadakan siasatan yang sewajarnya terhadap kesalahan anda?

Mungkin juga anda mengakui pernah melakukan salah laku ketika berkhidmat menyebabkan anda menerima sahaja tindakan pemecatan yang dilakukan oleh majikan terhadap anda.

Mungkin juga anda seorang pekerja yang tidak mengetahui hak anda sebagai pekerja menyebabkan anda tertipu dengan tindak-tanduk majikan yang telah memecat anda hanya atas alasan salah laku.

Sebenarnya, dalam Akta Pekerja 1955 Seksyen 14 (1) ada menyebut bahawa pekerja mesti diberikan 'siasatan yang sewajarnya' sebelum apa-apa tindakan boleh diambil oleh majikan ke atas pekerja atas sebab salah laku.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Kamal Halili, Seksyen 14 (1) akta itu memperuntukkan bahawa: Seseorang majikan boleh atas alasan salah laku..., selepas siasatan yang sewajarnya ;

a. Memecat pekerjanya tanpa notis;

b. Menurunkan pangkat pekerja;

c. Mengenakan hukuman yang lebih ringan.

''Untuk tujuan siasatan tersebut, pekerja boleh digantung kerja selama tidak lebih dua minggu dengan bayaran gaji tidak kurang daripada setengah bulan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas-kerja bertajuk Interpretasi dan Pelaksanaan Akta Pekerja di Seminar Pembangunan Sumber Manusia anjuran Jabatan Psikologi UKM dan Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Kata Prof. Madya Kamal, siasatan sewajarnya seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 14 (1) adalah satu tindakan yang mesti diambil sebelum seseorang itu dipecat atas sebab salah laku.

Katanya, ia adalah satu peruntukan mandatori bagi pekerja yang diliputi di bawah Akta Pekerja.

Tambahnya, perkara itu disahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd., lwn. Wong Seh Yen dengan mahkamah memutuskan bahawa bagi pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja, adalah mandatori siasatan diadakan sebelum dipecat atas sebab salah laku. ''Begitu juga Mahkamah Perusahaan mengesahkan hak pekerja itu misalnya dalam kes Bumiputera Bhd lwn. George Thomas mahkamah tersebut menyatakan ''...dalam konteks Akta Kerja siasatan dalaman adalah mandatori.

''Seksyen 14 (1) itu tidak terpakai kepada pekerja yang tidak dilindungi oleh Akta Pekerja.

''Bagi pekerja-pekerja lain, keadilan menghendaki siasatan diadakan sebelum keputusan diambil untuk memecat seseorang pekerja,'' kata Prof. Madya Kamal.

Jelasnya, dengan kata lain siasatan dalaman bukanlah sesuatu yang mandatori bagi pekerja-pekerja eksekutif. Ini kerana, katanya, Mahkamah Perusahaan tidak akan terus memutuskan sebagai tidak sah sesuatu pemecatan pekerja eksekutif yang tidak didahului dengan siasatan dalaman.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah masih boleh bertindak mendengar kes majikan yang memecat pekerja seolah-olah ia mengadakan siasatan dalaman bagi pihak majikan.

Katanya, trend seumpama itu tidak boleh dilakukan ke atas pekerja-pekerja yang dilindungi dalam Akta Pekerja 1955. Akta Kerja 1955 itu, katanya hanya terpakai kepada 'pekerja' di Malaysia dan terpakai kepada pekerja tanpa mengira apa jenis pekerjaannya.

''Upah yang didapatinya sebanyak RM1,500 sebulan atau kurang. Akta itu juga meliputi pekerja yang bekerja sebagai pekerja manual dengan tidak mengira jumlah upah yang diterimanya,'' ujarnya.

Maksud pekerja manual tidak ditakrifkan oleh akta namun bolehlah kita simpulkan sebagai pekerja kolar biru atau ereka yang bukan dalam pengurusan atau eksekutif, katanya. Lain-lain kategori pekerjaan yang diliputi oleh mereka itu ialah pekerja-pekerja yang terlibat dengan pengendalian pengangkutan, penyelia pekerja manual, berkhidmat dengan kapal dan pekerja domestik.

''Akta tersebut hanya dipakai kepada pekerja di sektor swasta sahaja,''.

Berkaitan dengan cara dan peraturan sesuatu siasatan dalaman itu harus dilakukan, kata Prof. Madya Kamal, terpulanglah kepada majikan tentang cara untuk menjalankan siasatan itu.

Tambahnya, siasatan itu boleh dilakukan asalkan ia boleh membawa keadilan kepada pekerja.

Jelasnya, perinsip-perinsip yang mesti direalisasikan dalam siasatan tersebut ialah:

(a) Pihak yang membuat keputusan itu tidak berat sebelah;

(b) Hak untuk didengar.

''Bagi perinsip (a) di atas, pihak yang membuat keputusan mestilah tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang boleh menjejaskan keadilan sesuatu kes.

''Sementara bagi perinsip (b) pula, pekerja yang dituduh hendaklah diberi peluang untuk membela dirinya,'' katanya.

Mahkamah Perusahaan pula menyenaraikan beberapa panduan yang harus diikuti oleh pihak yang membuat siasatan bagi memastikan keputusan yang dibuat itu adil.

Kata Prof. Madya Kamal garis panduan tersebut ialah;

(i) Siasatan dijalankan secepat mungkin;

(ii) Pekerja-pekerja diberikan butir-butir kesalahan dalam masa yang berpatutan sebelum siasatan dalaman diadakan;

(iii) Pekerja-pekerja hendaklah diwakili/ditemani oleh wakil kesatuan sekerja, jika ada, semasa siasatan;

(iv) Siasatan hendaklah didengar oleh orang-orang yang tidak ada kaitan dengan kes yang disiasat;

(v) Pemeriksaan ke atas saksi dibenarkan;

(vi) Nota-nota berhubung pemeriksaan dan keputusan hendaklah direkodkan.

Kata Prof. Madya Kamal, kesemua prinsip yang dinyatakan itu adalah bertujuan untuk memberikan jaminan kekal dalam pekerjaan kepada pekerja.

Sehubungan itu, pekerja-pekerja yang dilindungi oleh Akta Pekerja 1955 itu mempunyai hak untuk mendapatkan pengadilan sewajarnya dalam kes-kes salah laku.

''Ia bagi merealisasikan suatu hak asasi seperti mana yang ditegaskan oleh Hakim Sri Ram, hak pekerja adalah seperti 'satu hak dalam kehidupan','' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.