Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 24/02/1998
Tradisi menyimpan wang

Tradisi menyimpan wang

BERAPAKAH jumlah wang simpanan anda sekeluarga setiap tahun? Bolehkah mencapai ke paras RM180,000 atau kurang? Jumlahnya pastilah berbeza-beza mengikut pendapatan masing-masing.

Bagi mereka yang menceburi bidang perniagaan ketika keadaan ekonomi begitu baik, mereka mungkin menyimpan lebih RM180,000 setahun. Ketika situasi ekonomi tidak begitu segar seperti beberapa bulan yang lalu, jumlah simpanan mungkin merosot di bawah paras tersebut. Bagi mereka yang mendapat gaji tetap, umpamanya yang bekerja di sektor awam, mungkin sukar untuk menyimpan sebanyak RM180,000 setahun.

Di peringkat antarabangsa, masyarakat Jepun dikenali sebagai antara bangsa yang paling berjaya menyimpan wang setiap tahun. Mereka menduduki tempat kedua selepas orang-orang Itali.

Menyimpan wang telah menjadi tradisi turun-temurun, yang diperkukuhkan atas kesedaran terhadap persiapan untuk hari tua, pendidikan anak-anak yang kian mahal setiap tahun, kos perubatan yang tinggi, kos sara hidup yang terus meningkat, juga biaya pengkebumian yang mahal.

Kedudukan geografi Jepun yang terdedah kepada bencana alam, terutamanya gempa bumi, mungkin juga menjadi faktor yang mendorong kesedaran terhadap penyimpanan wang yang banyak di kalangan masyarakat mereka. Kerosakan rumah dan harta benda lainnya akibat bencana alam tidak dilindungi oleh insuran.

Oleh yang demikian mereka perlu mempunyai simpanan untuk membaik pulih atau mengganti harta benda yang musnah akibat bencana alam.

Nilai mata wang yen yang mengalami gelombang tinggi dan rendah, serta resesi di dunia ekonomi dan dagang juga menjadi faktor pendorong untuk masyarakat Jepun lebih banyak menyimpan wang. Kemelut di sektor ekonomi dan dagang biasanya menempiaskan kesan terhadap kadar hutang mereka. Justeru itu simpanan yang lumayan diperlukan untuk menghadapi sebarang risiko.

Masyarakat Jepun, menurut perangkaan sejak lebih sepuluh tahun yang lalu, menyediakan simpanan yang jauh lebih banyak berbanding wang yang digunakan untuk membayar hutang piutang.

Sebagai contoh, pada tahun 1996 pada umumnya setiap keluarga menyediakan bayaran hutang piutang sebanyak 4.8 juta yen (kira-kira RM144,000), tetapi mempunyai simpanan tahunan sebanyak 12.7 juta yen (kira-kira RM381,000).

Sejak lebih sepuluh tahun lalu, jumlah simpanan setiap keluarga per tahun telah menunjukkan peningkatan yang berterusan.

Pada tahun 1965 setiap keluarga hanya menyimpan kira-kira 659,000 yen (kurang lebih RM19,000), meningkat kepada 1.4 juta yen pada tahun 1970; 2.9 juta yen pada tahun 1975; 4.7 juta yen pada tahun 1980; 6.9 juta yen pada tahun 1985; 10.5 juta yen pada tahun 1990; 12.6 juta yen pada tahun 1995 dan 12.791 juta yen pada tahun 1996.

Masyarakat Jepun dikenali dengan sikap bekerja keras serta disiplin yang tinggi. Dengan rumah yang relatif 'sempit' yang menempatkan dua atau tiga generasi, tidak suka bermewah-mewah (kecuali generasi mudanya hari ini) serta tidak ramai yang melancong ke luar negara, tidaklah menghairankan jika setiap pendapatan dapat dimasukkan ke dalam tabung simpanan.

Dengan demikian masyarakat Jepun menduduki tempat kedua (selepas Itali) sebagai masyarakat penyimpan wang yang terbesar di dunia, diikuti oleh orang Jerman, Perancis, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Jika ada ungkapan ''keteguhan ekonomi sesebuah negara bermula di rumah'', maka Jepun menunjukkan contoh yang tepat. Jumlah simpanan seisi rumah yang begitu besar, yang disimpan di pejabat pos, bank, syarikat insuran, sekuriti dan sebagainya dapat dimanfaatkan untuk menjana kesuburan ekonomi melalui kebijaksanaan pengurusan kewangan institusi-institusi berkenaan.

Di permulaan makalah ini penulis sekadar meletakkan paras simpanan RM180,000 sebagai simpanan seisi rumah keluarga Malaysia per tahun. Jumlah tersebut kurang lebih setengah daripada simpanan seisi rumah keluarga Jepun per tahun. Paras tersebut mungkin dianggap ekstrim untuk diterima secara umum, lebih-lebih lagi akibat kesan kegawatan ekonomi yang melanda negara kita sejak beberapa bulan lalu, yang baru menunjukkan tanda-tanda untuk pulih semula.

Akan tetapi setiap keluarga seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menabung sebanyak mungkin. Jika tabungan setiap keluarga kurang daripada paras di atas, bermakna masih jauhlah lagi keupayaan kita untuk menyaingi atau menyamai keupayaan menabung masyarakat Jepun.

Adalah wajar untuk melihat hikmah di sebalik kegawatan ekonomi baru-baru ini, dengan memperkukuh tekad untuk berjimat cermat serta menambah tabungan kita.

Banyak cerita sedih tentang ''roda'' ekonomi yang telah kita dengar - yang dulu mengangkat seseorang ke mercu kemewahan, kini menggelek mereka ke lembah kemiskinan dan kemuflisan. Ungkapan-ungkapan seperti 'Berjimat Sebelum Habis'' dan ''Sediakan Payung Sebelum Hujan'' sentiasa relevan dalam kehidupan umat manusia, terutamanya yang terjebak dalam sistem pasaran bebas.

Sebab itulah masyarakat Jepun selalu bersedia (dari segi kewangan dan strategi pasaran) bagi menjamin keteguhan ekonomi keluarga khasnya dan negara pada amnya. Tidaklah menghairankan jika anak-anak yang dibesarkan dalam tradisi ini apabila dewasa kelak dan diberi tanggungjawab mengurus dana syarikat atau negara akan dapat memperkukuh ekonomi yang ditangani dalam skala yang lebih besar. Dalam soal kewangan, telah lama Jepun menjadi negara pemberi bantuan, bukan penerima bantuan.

Di manakah masyarakat Jepun menyimpan wang mereka? Sebanyak 26.1 peratus di simpan dalam bank perdagangan; 16.6 peratus di pejabat pos; 10.1 peratus lagi di institusi lain. namun jumlah simpanan yang lebih besar disalurkan melalui syarikat insuran nyawa, iaitu sebesar 32.4 peratus; sementara 10.5 peratus untuk pasaran sekuriti (termasuk 4.9 peratus dalam pasaran saham) dan lain-lain lagi sebanyak 4.2 peratus.

* Anwar Ridhwan kini bertugas sebagai Profesor Pelawat Pengajian Malaysia di Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.

Oleh: ANWAR RIDHWAN

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN