VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Ogos 2014 / 5 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 17/02/1998

Filem tempatan Perbaiki kelemahan diri sendiri

BARU-BARU ini ada suatu rencana dalam akhbar tempatan menyoalkan tentang filem Melayu yang gagal menembusi pasaran antarabangsa.

Apa yang menarik perhatian adalah keupayaan penulis memberi sebab-sebab mengapa filem dan drama aliran Cina lebih berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Malangnya tiada sebab mengapa filem atau drama Melayu kurang mendapat sambutan di pasaran dunia tidak ditekankan.

Sebagai seorang yang benar-benar mengikuti perkembangan filem tempatan dan antarabangsa sudah tentu sedar mengapa agaknya filem Melayu tempatan kurang mendapat sambutan.

Cuba bandingkan filem seperti Isteri, Perempuan dan ..., XX-ray dan Red Haired Tumbler in Malaya dengan Sembilu, Gemilang dan Suratan Kasih.

Tiga filem awal yang disebutkan itu cuba menukar selera atau mood filem tempatan yang majoritinya berunsurkan cinta.

Isteri, Perempuan, dan ... cuba menyingkap kisah hidup seorang perempuan yang pernah bekerja sebagai pelacur yang kemudiannya menjadi isteri.

Masalah

Perasan benci suami terhadap dirinya dan tingkah laku seorang pelacur yang masih ada dalam jiwanya telah menimbulkan pelbagai masalah.

Manakala filem XX-ray pula merupakan sebuah filem sains fiksyen hasil kreativiti Aziz M. Osman.

Keberanian Aziz M. Osman memecahkan monopoli filem tempatan yang lebih mengutamakan soal cinta harus dipuji.

Begitu juga filem Red Haired Tumbler In Malaya yang cuba menonjolkan kehidupan sekumpulan akrobat Cina di Tanah Melayu.

Filem ini membawa kita ke tahun 60-an.

Persoalannya adakah filem-filem sebegini yang menduduki tangga teratas dalam jumlah kutipan filem tempatan? Satu kelemahan industri filem tempatan adalah terlalu bergantung kepada cerita-cerita cinta sahaja.

Rasanya tidak perlu dinyatakan tajuk filem-filem cinta ini kerana ramai yang sudah mengetahui dan menontonnya.

Terlalu banyak filem berunsurkan cinta akan menjadikan penonton dapat meramal kesudahan atau apa yang akan berlaku seterusnya dalam sesuatu babak.

Ini menyebabkan penonton jemu dengan filem-filem tempatan dan beralih kepada filem-filem luar negara yang lebih banyak pilihan daripada komedi, seram hinggalah aksi dan sebagainya.

Akhirnya pengeluar filem tempatan merungut penonton lebih menghargai filem-filem luar negara dan tidak memberi sokongan kepada perkembangan filem tempatan.

Apa yang menyedihkan adalah sikap pengeluar filem yang tetap menghasilkan filem berunsur cinta dan sebagai daya penarik mereka menggunakan penyanyi popular sebagai hero dan heroin.

Para peminat setia penyanyi berkenaan pun sanggup mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat penyanyi pujaan mereka berlakon dan bukannya kerana minat atau ingin mengetahui kisah yang dipaparkan.

Mungkin pengeluar filem tersebut dapat mengaut keuntungan yang tinggi daripada filem itu dan seterusnya muncul pula sambungan cerita itu.

Sehingga siri ke berapakah filem ini dapat bertahan? Penonton lama-kelamaan akan jemu dan sedar daripada 'penipuan' itu dan akhirnya mereka akan kembali kepada filem luar negara.

Masalah ini kemudiannya berpusing semula kepada roda.

Para pengeluar filem seharusnya cuba menghasilkan filem yang bukan berunsur cinta agar filem tempatan dapat bersaing dengan filem luar negara.

Mengapa pengeluar filem kita tidak berani melibatkan diri dalam pembikinan filem yang bukan berunsurkan cinta? Takut kerana rugi? Jika begitu tidak hairanlah mengapa industri filem negara tidak maju-maju.

Masalahnya ialah perasaan takut pengeluar filem dalam menanggung kerugian.

Mereka sentiasa inginkan keuntungan besar atau kecil tidak menjadi masalah, apa yang penting adalah untung.

Mungkin kata-kata 'gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya' tidak wujud dalam hidup mereka.

Malah ada yang mengatakan mereka ini punya minda niaga tetapi bukan minda filem.

Kemajuan industri perfileman negara bukanlah bergantung kepada seorang pengeluar filem sahaja tetapi memerlukan komitmen semua pihak.

Jika hanya seorang dua sahaja yang berani membuat filem yang bukan berunsurkan cinta adalah tidak memadai untuk memajukan industri filem negara.

Menurut Sharif Ahmad Ketua Pengarah Finas, "salah satu sebab mengapa industri filem negara kurang maju adalah kerana orang yang dipanggil produser filem bukan produser filem.

Mereka hanya ada duit dan berminat mengeluarkan filem.

Dia pada dasarnya orang filem yang tahu tentang filem, sejarah filem, teori filem, apresiasi filem, seni filem dan segala yang berkaitan dengan filem'' (Dewan Budaya September 1997).

Di samping itu, alasan yang sering diberikan apabila ditanya mengapa tidak membuat filem yang bukan berunsurkan cinta, jawapan yang diberi tidak lain daripada kerana penonton tempatan minat cerita cinta.

Adakah benar alasan yang diberikan ini? Jika ya, kenapa pula filem-filem luar negara seperti Anaconda, Men In Black, Mr. Nice Guy, dan Con Air menjadi pilihan penonton tempatan sedangkan filem-filem itu bukannya filem yang bertemakan cinta? Istilah filem luar negara digunakan kerana sekarang ini bukan sahaja filem Barat yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa malah filem Iran dan China juga telah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Keberanian para pengeluar filem luar negara mengeluarkan kos yang begitu tinggi sehingga puluhan juta untuk sesebuah filem membuktikan kesungguhan mereka dalam memastikan filem terbitannya betul-betul bermutu.

Malah filem arahan Jacky Chan iaitu Who Am I? menelan kos sebanyak AS$66 juta.

Kos yang tinggi bukan sahaja diperlukan dalam menyediakan peralatan atau prop tetapi termasuklah kajian yang dijalankan di perpustakaan, muzium atau melalui pakar-pakar tertentu.

Sebagai contoh watak naga di dalam filem Dragon Heart dicipta dengan begitu teliti.

Pencipta watak tersebut telah menggabungkan ciri-ciri dinosaur dan naga untuk mewujudkan watak itu.

Kesesuaian warna, pergerakan dan sifat-sifatnya juga diteliti agar berpadanan dengan skrip atau peranan yang dimainkan dalam cerita itu.

Itu baru hendak mencipta satu watak belum lagi kos untuk perkara-perkara lain seperti set, pakaian, pengangkutan dan kesan bunyi.

Sebaliknya kebanyakan pembuat filem tempatan membuat sekadar 'bolehlah' sahaja.

Filem tempatan yang berunsurkan cinta tidak memerlukan kajian dan rujukan dilakukan.

Ini menjimatkan kos.

Hasilnya, filem yang tidak ada pembaharuan, kurang bermaya, mendatar dan stereotaip.

Tidakkah para pengeluar filem tempatan ingin menikmati keuntungan yang berjuta ringgit dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa? Filem Men in Black telah berjaya mengutip AS$245 juta dan filem animasi Hercules pula mengutip AS$98 juta.

Janganlah menjadikan kemajuan teknologi dan tenaga pakar sebagai sebab mengapa filem tempatan tidak dapat menandingi filem luar negara.

Pengeluar filem Barat adakalanya menghadapi masalah yang sama tetapi mereka sanggup mengimport tenaga pakar atau meminjam peralatan daripada syarikat lain.

Adakalanya mereka mengadakan usaha sama dengan syarikat yang memiliki peralatan yang mereka tidak ada.

Perkongsian teknologi ini dapat menjimatkan kos dan pada masa yang sama menghasilkan filem yang baik.

Contohnya filem Ivan Reitman iaitu Space Jam yang menggunakan 800 orang animator dan 18 buah syarikat dari seluruh dunia.

Walaupun syarikat Grand Brilliance ada memasarkan filem tempatan di peringkat antarabangsa seperti Jimmy Asmara ke selatan Jepun dan Korea tetapi adakah filem ini mendapat sambutan di luar negara? Jatuh bangunnya industri perfileman negara banyak bergantung kepada pengeluar filem itu sendiri.

Cubaan Aziz M. Osman dalam mengubah selera penonton daripada filem berunsurkan cinta kepada sains fiksyen seperti XX-ray dan Scoop pula mengisahkan kehidupan seorang ahli sukan patut diberi pujian.

Sekurang-kurang ada juga pengeluar filem tempatan yang cuba memajukan industri filem negara.

Malangnya hanya seorang dua sahaja pengeluar filem yang berani mencuba dan ini tidak dapat memajukan industri filem negara.

Sebenarnya rencana ini ditulis bukan hendak memalukan atau menghina industri filem negara atau mengagung-agungkan filem luar negara tetapi inilah yang berlaku di negara kita.

Sebenarnya para pengeluar filem sedar akan semua ini dan forum demi forum diadakan untuk memajukan industri filem negara.

Malangnya apa yang dikatakan dan dicadangkan berakhir di meja forum sahaja.

Apabila filem baru dikeluarkan tidak sedikit pun yang dikatakan atau dirancangkan itu dipraktikkan.

Mungkin kita terlalu kagum dengan kemajuan industri filem luar negara sehinggakan kita terlupa untuk melihat kelemahan diri sendiri dan tidak bersungguh dalam memajukan industri filem sendiri.

Jika kita ingin betul-betul memajukan industri filem negara pengorbanan daripada pihak pengeluar filem terutamanya amatlah diperlukan.

Semoga para pengeluar filem dan penonton saling memberi kerjasama mereka dan memainkan peranan masing-masing agar industri filem tempatan akan bergerak maju seiringan dengan kemajuan negara.

NG SOK EI, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:25
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.