|
Ketabahan hati ibu kepada tiga anak lelaki ini menghadapi kekecewaan setelah disahkan menghidap kanser buah dada serta kekentalan semangatnya menempuhi kehidupan selepas dibuang sebelah buah dadanya begitu mengagumkan.
Marsita yang ditemui di kediamannya baru-baru ini mengakui pada mulanya agak sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia 'terpilih' untuk menghadapi ujian daripada Allah s.w.t. itu.
''Bagaimanapun sebagai umat Islam serta seorang hamba yang daif, saya akur dengan apa yang telah disuratkan. Apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan tanpa berputus asa dalam mengubati penyakit.
''Sebetulnya saya tidak terasa apa-apa sewaktu doktor memberitahu saya terpaksa dibedah. Bagaimanapun suami saya agak terperanjat dengan berita berkenaan tetapi akhirnya beliau juga terpaksa akur,'' jelasnya.
Bekas agen insuran ini berkata, pada peringkat awal pemeriksaan doktor mengesahkannya mempunyai ketulan pada kiri buah dada. Bagaimanapun, jelas Marsita, suaminya agak kecewa kerana beliau terpaksa menjalani dua kali pembedahan.
Kali pertama beliau terpaksa membuang ketulan pada buah dada dan kali kedua buah dadanya terpaksa dibuang kerana hasil kajian mendapati ia mengandungi sel kanser.
''Pada Ogos 1996, saya menjalani pembedahan membuang buah dada saya dan ini adalah selepas tiga bulan saya jalani untuk membuang ketulan.
''Paling teruk saya mengalami gangguan tidur dan badan sentiasa kesejukan selepas menjalani pembedahan kali kedua. Ini mungkin kerana kesan sampingan daripada pembedahan dan ubat-ubatan yang saya ambil,'' kata Marsita.
Beliau juga memberitahu sebelum mendapat penyakit tersebut beliau pernah mengerjakan umrah bersama suaminya.
Selepas itu tanpa disedari beliau tidak mempunyai rasa marah atau lain-lain sifat negatif terhadap anak-anak, suami, keluarga serta sesiapa sahaja.
''Sehinggalah saya disahkan mengidap kanser, saya tidak melenting, kecewa atau putus asa dengan apa yang dialami.
''Sedih tu memang ada. Nasib baik suami, anak-anak serta keluarga banyak memberi sokongan kepada saya.
''Saya amat bertuah mempunyai suami yang bertanggungjawab dan sanggup melakukan tugas harian yang dilakukan oleh saya seperti cuci pinggan, membasuh kain hinggalah menyediakan makan minum anak-anak ketika saya sakit,'' kata Marsita memuji suami tercinta, Sanip Abdullah, 50, seorang kontraktor.
Marsita mengakui kesabaran dan semangat yang kuat dalam menempuh sisa-sisa hidup memainkan peranan dalam menghadapi situasi seperti itu.
Ini kerana hampir setiap minggu selepas menjalani pembedahan beliau perlu pula menjalani rawatan radioterapi dan kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau menyifatkan dirinya agak bernasib baik kerana walaupun menjalani kimoterapi rambutnya tidak gugur seperti orang lain.
Kata Marsita, badannya juga seram sejuk walaupun di waktu tengah hari serta urat-urat badan terasa tegang, sakit lebih-lebih lagi selepas menjalani pembedahan.
''Saya juga mengalami putus haid sebelum waktunya.
Paling teruk saya pengsan sejam selepas keluar daripada bilik pembedahan di Pusat Rawatan Islam dan masih tidak sedarkan diri ketika pulang ke rumah. Apa yang dibayangkan ketika itu hanyalah mati sahaja.
''Untuk mengurangkan sejuk, saya mengambil ubat-ubatan seperti jamu dan ginseng. Jika urat tegang pula saya akan pergi berurut walaupun agak sukar mencari tukang urut yang sesuai di sini.
''Alhamdulillah, berkat doa dan rahmat Allah s.w.t., sehingga kini saya masih bersama keluarga serta berupaya meneruskan hidup seperti wanita normal lain,'' kata Marsita.
Ditanya apakah kegiatannya kini, beliau berkata, hidupnya kini lebih terasa berseri dengan menghabiskan masa bersama-sama kanak-kanak di Taska Taman Melawati di sebelah pagi dan selebihnya beliau peruntukan kepada suami dan anak-anak.
Beliau yang telah 25 tahun mendirikan rumah tangga dengan Sanip dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Zaid Zira, 26, Jaimy, 22 dan Amir Azizi, 15.
Kini Marsita banyak belajar mengenali dirinya dengan membaca buku-buku dan kitab-kitab agama.
''Pasti ada hikmahnya Allah memberikan dugaan ini kepada hamba-Nya. Apa saya boleh cakap, saya reda dengan apa yang saya terima. Pada saya, berfikiran negatif hanya lebih menjadikan jiwa kita merana.
''Kita sebenarnya tidak sakit tetapi kita betul-betul sakit sekiranya jiwa kita yang sakit,'' katanya mengakhiri perbualan.
IKLAN@UTUSAN
|